MAKLUMAT PENGANJURAN: IFLA WLIC 2018

International Federation of Library Associations and Institutions (IFLA),
World Library and Information Congress (WLIC)
TARIKH: 24 – 30 Ogos 2018
LOKASI: Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC)

Oleh: Jawatankuasa Kecil Pemasaran, Jawatankuasa Kebangsaan IFLA WLIC 2018

IFLA International Federation of Library Associations and Institutions (Persekutuan Antarabangsa Persatuan Institusi Perpustakaan) adalah merupakan badan antarabangsa terkemuka yang mewakili perpustakaan, perkhidmatan maklumat, persatuan perpustakaan dan pengguna perpustakaan di seluruh dunia. Ia adalah suara global yang mewakili lebih 500,000 pustakawan dan profesional maklumat dengan lebih 1,400 ahli di hampir 150 negara di dunia. Badan bukan kerajaan ini memperjuangkan kepentingan akses sejagat dan saksama kepada maklumat sebagai satu cara untuk mempromosikan kesejahteraan sosial, pendidikan, budaya, demokratik dan ekonomi dan mempunyai misi untuk mempromosikan piawaian yang tinggi dalam penyediaan dan penyampaian perpustakaan dan perkhidmatan maklumat di seluruh dunia.

WLIC World Library and Information Congress (Kongres SeDunia Perpustakaan dan Maklumat) adalah merupakan persidangan tahunan anjuran IFLA pada setiap bulan Ogos, yang membincangkan bidang kepustakawanan  dan maklumat di peringkat antarabangsa. Peserta dapat meningkatkan ilmu pengetahuan, sebagai perkongsian dan kaloborasi di peringkat  antarabangsa dengan 3,000 ke 4,000 peserta daripada lebih 140 buah negara.

 

Kongres ini dianjurkan oleh IFLA, Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya dan Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (My CEB).

 

Peluang menganjurkan  IFLA WLIC adalah bukan mudah untuk diperolehi kerana ini adalah penganjuran kali ke 84.  Malaysia ialah negara ketiga di kalangan negara anggota  ASEAN  yang menjadi hos IFLA WLIC selepas Thailand pada tahun 1999 dan Singapura pada tahun 2013. Merupakan negara kelima di Asia setelah China, Thailand, Korea Selatan dan Singapura.

Antara objektif penganjuran ialah:

  1. Memperkukuhkan kepimpinan profesional di Malaysia dalam mempromosikan perpustakaan dan pustakawan di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa;
  2. Memberi peluang kepada pustakawan Malaysia untuk mempamerkan dan berkongsi amalan terbaik dalam bidang pengurusan pustakawan dan maklumat serta teknologi komunikasi (ICT);
  • Menyokong aspirasi kerajaan Malaysia dalam memenuhi cabaran berkembang melalui inovasi, meningkatkan produktiviti, penggunaan pengetahuan yang lebih berkesan untuk pembangunan ekonomi dan sosial yang lebih tinggi;
  1. Memberi peluang kepada pustakawan muda Malaysia untuk mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran mereka ke arah profesionalisme yang lebih besar; dan
  2. Mengadakan persidangan itu juga menyokong salah satu objektif utama Persatuan Pustakawan Malaysia iaitu untuk memeterai pakatan strategik dengan organisasi nasional, serantau dan antarabangsa yang membawa kepada globalisasi perpustakaan dan profesion dan perkhidmatan maklumat.

 

Penganjuran melibatkan perbelanjan yang besar kerana melibatkan penyertaan dan jentera kerja yang ramai. Dana diperolehi daripada Persatuan Pustakawan Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, MyCEB, SKMM, DBKL dan pihak penaja yang lain dari pelbagai syarikat dan organisasi dan juga pihak IFLA juga.

 

Pihak IFLA dan K.I.T. Core Professional Congress Organizer (PCO) akan mengendalikan lokasi/kemudahan di KLCC, pendaftaran, kertas persidangan, penajaan antarabangsa, pameran, protokol dan kawalan kualiti.

 

Jawatankuasa Kebangsaan (NC) yang dipengerusi bersama oleh YBhg. Dato’ Nafisah Ahmad sebagai Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia dan Presiden Persatuan Pustakawan Malaysia dan YBhg. Dato’ Dr. Zaiton Osman yang merupakan penasihat Persatuan Pustakawan Malaysia dan juga merupakan mantan Ketua Pustakawan Universiti Malaya. NC mengendalikan majlis sosial; upacara pembukaan/penutup dan malam kebudayaan; host kepada resepsi Lembaga Pengurusan (GB) IFLA, sukarelawan, lawatan ke perpustakaan, penajaan serta promosi dalam negara.

 

NC yang bermesyuarat setiap bulan terdiri dari 25 orang ahli yang mewakili Persatuan Pustakawan Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, Fakulti Sains Perpustakaan, Perpustakaan Akademik, Perpustakaan Awam, Pusat Sumber Sekolah dan meliputi jawatankuasa kecil pemasaran, promosi, teknologi maklumat, sukarelawan, lawatan,  Library Boulevard, Mesyuarat Satelit, Logistik, penerbitan, sosial/malam kebudayaan.

 

Program kesedaran IFLA WLIC 2018 telah bermula seawal Disember 2016 yang dengan lebih dari 20 aktiviti kesedaran dan Roadshow yang melibatkan lebih 1000 penyertaan. Ahli Majlis PPM, Jawatankuasa Tetap dan Kumpulan Persatuan Pustakawan Malaysia juga digerakkan untuk membantu memberi kesedaran dan mempromosi penganjuran. Warga perpustakaan perlu tahu  aktiviti yang melibatkan WLIC yang mana bukan hanya sebagai peserta sahaja malah sebagai pembentang kertas kerja, boulevard perpustakaan, pertandingan poster, lawatan ke perpustakaan, sukarelawan, mesyuarat satelit, mesyuarat profesional IFLA dan lain-lain yang berkaitan dengan WLIC. Kesedaran ini dapat memberi pemahaman tentang IFLA dan WLIC serta meningkatkan penglibatan dan penyertan warga perpustakaan. Pihak perpustakaan juga boleh membuat perancangan teliti dalam setiap penglibatan ini.

 

Perjumpaan dengan ketua perpustakaan dan syarikat serta organisasi yang berkaitan dalam bidang diadakan dari masa ke semasa. Surat dihantar kepada ketua pentadbiran yang boleh memberi kelulusan untuk mempelawa penyertaan.

 

Aktiviti promosi dan pameran di lebih 33  lokasi di dalam dan luar negara semasa di persidangan/seminar/mesyuarat anjuran pelbagai pihak seperti di Amerika Syarikat, China, Hong Kong, India, Myanmar,  Filipina, Poland, Thailand, Japan, Azerbaijan, Indonesia, Korea dan juga di Malaysia. Promosi melalui media sosial, penerbitan buku berjudul Libraries in Malaysia: Towards Transformation and Community Outreach, pelbagai penulisan untuk mempromosi IFLA WLIC 2018 dan juga mengenai perpustakaan di Malaysia. Sidang media telah diadakan dan promosi juga diadakan dalam media elektronik dan cetak  dari masa ke semasa.

 

Penawaran geran lebih 200 kepada warga perpustakaan dalam negara dan negara Asean samada dengan pembiayaan penuh atau sebahagian telah memberi peluang kepada peserta untuk menyertai persidangan. Ini juga merupakan ganjaran kepada ahli Persatuan Pustakawan Malaysia dan mereka yang telah menabur bakti kepada persatuan yang telah berusia lebih dari 60 tahun.

Warga perpustakaan mengambil peluang untuk membentangkan kertas kerja sebagai perkongsian dengan peserta persidangan. Peserta boleh menghadiri sebanyak 260 sesi profesional yang dijalankan secara serentak dimana pembentangan kertas kerja mempunyai 46 sub-tema yang meliputi semua jenis perpustakaan dan hal berkaitan bidang kepustakawanan dan maklumat. Seramai 665 orang pembentang yang akan terlibat.

Tema persidangan adalah Transformasi Perpustakaan, Transformasi Masyarakat (Transform Libraries, Transform Societies) dengan tagline Mencapai Yang Sukar Dicapai (Reaching Out to the Hard to Reach) dipilih sebagai pengiktirafan terhadap peranan yang dimainkan oleh perpustakaan dalam pembangunan sebuah negara terutama dalam kemampuan untuk mengubah masyarakat. Perkhidmatan dan sumber daya perpustakaan yang menyumbang kepada rancangan pembangunan nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan dipertimbangkan.

Antara tajuk perbincangan dalam persidangan ini adalah berkaitan penyelidikan; literasi media dan maklumat; pengurusan pengetahuan; teknologi maklumat; analisis subjek dan akses; media baru dalam pengetahuan; teknologi maklumat; kepimpinan; pengurusan dan pemasaran; perpustakaan digital; pemeliharaan dan pemuliharaan bahan; manuskrip;  serta pembangunan dan perkhidmatan perpustakaan khusus dalam pebagai bidang termasuk undang-undang, parlimen, pendidikan, kesihatan dan perubatan, agama, pertanian, sains dan teknologi, sejarah dan sebagainya.

Ucaptama oleh YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara. Pembentang planeri ialah YBhg. Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dan YBhg. Dato’ Ali Hanafiah Mohd Yunus.

Diadakan juga mesyuarat profesional IFLA yang melibatkan Jawatankuasa Profesional (PC); Lembaga Pengarah (GB) dan Jawatankuasa Tetap (SC) yang ada terbuka dan tertutup kepada peserta WLIC yang berminat. Mesyuarat ini memberi peluang ahli untuk melaporkan aktiviti dan peristiwa; membincangkan isu semasa yang penting; meninjau anugerah dan penerbitan; dan merancang tindakan untuk tahun yang akan datang. Peserta dapat memerhatikan pakar-pakar antarabangsa IFLA dalam tindakan mereka mengikut tajuk yang diminati.

CAUCUS pula adalah perbincangan kumpulan berdasarkan lokasi geografi atau bahasa untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan kawasan mereka.

5 minutes Lightning Talk adalah  adalah format terbaharu  yang mana merupakan sesi perkongsian pengetahuan dan berkongsi projek inovatif masing-masing  sama ada projek kumpulan terpinggir, usaha menambah keahlian persatuan, idea untuk menyelesaikan masalah di perpustakaan tertentu dan semangat untuk berkongsi,  selepas 5 minit, mereka perlu menyerahkan mikrofon.

Terdapat juga Expo Pavilion yang mempamerkan produk serta perkhidmatan perpustakaan dan maklumat tempatan dan antarabangsa terkini dan yang terdapat dalam bidang ini yang melibatkan 70 pempamer. Persatuan Pustakawan Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, Sarawak, Selangor & Johor juga menyertai reruai pameran. Terdapat juga sesi perkongsian produk dan perkhidmatan semasa Expo tersebut.  Peserta juga boleh mendapatkan t-shirt IFLA WLIC 2018, barangan cenderahati PPM, setem/sampul hari pertama IFLA WLIC 2018, jualan buku terbitan PPM dan Book Drop (sumbangan buku kepada sekolah dan perpustakaan awam) di reruai pameran Persatuan Pustakawan Malaysia.

Malam kebudayaan diadakan pada 27 Ogos di MaTIC dan WOWKL merupakan satu majlis untuk rangkaian dengan rakan perpustakaan di seluruh dunia.

Pertandingan poster disertai lebih 120 peserta dari seluruh dunia yang dikendalikan oleh pihak IFLA. Boulevard perpustakaan tempatan juga disertai oleh 116 pameran poster tentang produk serta perkhidmatan perpustakaan di Malaysia sahaja. Perkongsian poster ini adalah bagi meningkatkan kesedaran dan  mempamerkan aplikasi dengan idea-idea inovatif bagi sektor perkhidmatan perpustakaan dan maklumat tempatan dan antarabangsa; pengiktirafan oleh komuniti perpustakaan antarabangsa mengenai pembangunan perpustakaan; meningkatkan kesedaran dan pengiktirafan mengenai kepentingan dan perkaitan perpustakaan kepada pihak berkepentingan; dan pembangunan diri dan organisasi.

 

Turut diadakan sebanyak 17  mesyuarat satelit termasuk 13 di Lembah Kelang,  satu (1) Pulau Pinang, satu (1) di Sarawak, satu (1) di Singapura dan (1) di Kolkata, India sebelum dan sesudah persidangan. Anjuran Seksyen IFLA (terdapat 44 seksyen) dan Special Interest Groups (SIGs) (terdapat 17 SIGs) dan organisasi host tempatan yang fokus kepada perbincangan tajuk yang lebih spesifik.  Ini juga merupakan peluang bagi peserta untuk menyertai jika tiada dapat  menyertai IFLA WLIC.

 

Peserta boleh mengikuti lawatan ke 44 buah perpustakaan terpilih di Lembah Kelang, Kuantan, Melaka dan Pulau Pinang pada hari akhir persidangan. Kita juga boleh mempromosi perpustakaan dan bidang kepustakawanan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa serta berkongsi amalan terbaik perpustakaan di Malaysia.

 

Seramai 305 sukarelawan telah dilantik untuk membantu melancarkan penganjuran yang melibatkan  tugasan seperti sambutan di lapangan terbang; pengedaran kertas persidangan; majlis pembukaan/penutup/ malam kebudayaan; sesi pameran, poster; sokongan IFLA dan pembentang; meja maklumat/pengendalian VIP; lawatan ke perpustakaan; tunjuk arah; pendaftaran/ dan Zone Internet; pembantu bilik/kawalan badge; sokongan terjemahan  dan pembantu media sosial.

Kriteria pemilihan sukarelawan adalah komited, yakin, bermotivasi, empati, kemahiran komunikasi, kesihatan fizikal  kerana mereka akan mewujudkan suasana yang positif dan mesra kepada peserta dalam membantu tuan rumah menganjurkannya secara professional.Ini adalah peluang kepada warga perpustakaan dan pelajar dalam bidang sains perpustakaan dan maklumat untuk menyertai persidangan kerana mereka hanya perlu bertugas selama 3 hari sahaja. Mereka juga dapat membuat rangkaian dengan warga perpustakaan dan pusat maklumat di seluruh dunia dan pengiktirafan bertugas di peringkat antarabangsa.

Wellness Programme iaitu senaman pagi juga diadakan pada pada  25 hingga 28 Ogos 2018. Simbol kepada kepentingan kesihatan kepada warga di perpustakaan.

Kejayaan  ini harus dibanggakan dan dikongsi bersama. PPM dan PNM sebagai peneraju utama dan akan dibantu oleh pelbagai pihak serta perpustakaan di Malaysia. Ini merupakan satu pencapaian yang amat  tinggi dalam bidang kepustakawanan di negara kita. Ini dapat meningkatkan visibiliti dan peranan perpustakaan dan pusat maklumat di Malaysia.

 

Ini adalah peluang bagi negara tuan rumah untuk mempamerkan status perpustakaan dan perkhidmatan maklumat di negara dan rantau ini  selain berkongsi pengalaman profesional mereka bersama pustakawan antarabangsa dan menjalin hubungan antarabangsa dengan cara yang unik.

Semoga semua yang terlibat dalam dunia kepustakawanan samada organisasi kerajaan mahupun swasta dapat mengembeling tenaga untuk menjayakan persidangan yang berprestij ini dan semoga penganjuran ini dapat menaiktaraf lagi bidang kepustakawanan.

Peserta akan memperolehi ilmu yang tidak ternilai dan akan didedahkan kepada trend terkini, inisiatif utama dan juga mempunyai peluang untuk berinteraksi dengan pemimpin pemikir dalam profesion kita.

Persidangan yang diharap menjana pendapatan sebanyak RM44.4 juta kepada negara Malaysia dengan kemasukan peserta dari seluruh dunia kerana ini merupakan acara professional dan perdagangan antarabangsa yang berprestij  bagi  sektor perpustakaan dan perkhidmatan  maklumat.

Syarikat dan organisasi dalam bidang kepustakawanan dan maklumat juga dialu-alukan untuk terlibat.

Semoga semua warga perpustakaan tidak melepaskan menyertai dan turut terlibat dengan persidangan yang julung kali diadakan di Malaysia. Persidangan selama 6 (enam) hari dengan yuran hanya EUR 595 (ahli IFLA), terdapat yuran pelajar dan tiket harian juga.

Sebarang maklumat dan pelbagai artikel mengenai IFLA WLIC 2018: https://2018.ifla.org/

Tarikh kemaskini: 20 Ogos 2018

 

 

#WLIC2018

Leave a comment