MESYUARAT AGUNG TAHUNAN (MAT) PPM 2020 BERTUKAR LOKASI PENGANJURAN

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Tuan/Puan,

Dukacita dimaklumkan bahawa program-program yang dirancang oleh Persatuan Pustakawan Malaysia kini tidak terlepas daripada kesan fenomena penularan wabak COVID-19 yang sedang berlaku.

Hal ini termasuk penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PPM 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 26/3/2020. Pihak PPM telah menerima nasihat daripada pihak Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Multimedia University (OSHE MMU) meminta MAT PPM 2020 dilaksanakan di tempat yang lain.

Oleh yang demikian, pada waktu ini tarikh dan ketetapan baru belum diputuskan. Sebarang keputusan muktamad akan dimaklumkan kemudian. Sebarang perkembangan dan perubahan juga akan dimaklumkan dari semasa ke semasa di media sosial rasmi dan laman web rasmi PPM.

Kami mohon maaf atas sebarang kesulitan. Terima kasih.

Persatuan Pustakawan Malaysia

10/03/2020

Laporan AGM / MAT PPM 2018/2019

Oleh: Dr. Khasiah Zakaria, Setiausaha Kehormat Persatuan Pustakawan Malaysia

 

Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) 2018/2019 Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) telah berlangsung pada 28 Mac 2019 di Auditorium Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) , Kuala Lumpur.  MAT kali ini telah disempurnakan dengan jayanya melalui kehadiran 280 ahli mesyuarat yang terdiri dari para pustakawan.   Disamping menghadiri MAT, Ahli PPM juga berpeluang melawat tujuh buah reruai dari pelbagai syarikat yang bergiat langsung membekalkan perkhidmatan berkaitan perpustakaan.

Pendaftaran kehadiran di MAT 2018/2019
Presiden PPM 2018/2020 menyampaikan ucapan perasmian
Ahli PPM di MAT 2018/2019

 

Sepanjang tahun 2018, PPM telah berjaya mengadakan pelbagai program antaranya IFLA Global Vision Workshop, Sanggar Kerja, Bengkel WIM (Written Instructional Manual), Knowledge Café Biblioterapi, Bengkel Infografik, Bengkel UniqQuizz, Pameran poster Library Boulevard IFLA-WLIC 2018 serta pameran Reruai PPM. dan Program Dekat di Hati SK Sg. Mas (JHEOA), Sungei Lembing. Jawatankuasa Penerbitan pula telah bekerja keras menerbit artikel dan berita melalui Berita PPM dan Jurnal PPM. Selain daripada itu, dua penerbitan,Standard Perpustakaan Universiti dan Buku Panduan Persatuan Pustakawan Malaysia, telah dihasilkan.

 

Namun pencapaian tertinggi dalam sejarah bidang kepustakawanan di Malaysia adalah apbila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kepada 84th International Federation of Library Associations and Institutions World Library International Congress 2018. IFLA WLIC 2018 telah diadakan di KLCC, Kuala Lumpur dari 24 hingga 30  Ogos 2018  bertemakan “Transform Libraries, Transform Society” dengan tagline “Reaching to the Hard to Reach”.

 

IFLA WLIC 2018 telah dianjurkan oleh PPM bersama dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) serta disokong oleh Kementerian Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Malaysia dan Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB).

 

Kejayaan diperingkat tempatan pula adalah penganjuran Persidangan Tahunan Perpustakaan Malaysia (PTPM) 2019  dari 26 hingga 27  Mac 2019 yang berjaya mengumpul lebih 400 warga kerja perpustakaan di Malaysia. Objektif utama PTPM 2019 kali ini ialah menjadi landasan perbincangan mengenai budaya dan tabiat membaca warga Malaysia, memapar usaha perpustakaan dan  NGO memupuk budaya membaca dengan masyarakat setempat agar dapat  memperkasa peranan perpustakaan menyokong gagasan Dekad Membaca Kebangsaan.

 

Projek utama seterusnya yang sedang diusahakan oleh PPM ialah Projek WIM (Written Instructional Manual) . Projek ini adalah usaha untuk membangun Standard Kemahiran Pekerjaaan Kebangsaan atau National Occupational Skills Standard (NOSS) bagi bidang Kepustakawanan. WIM yang dibangunkan bagi Pembantu Pustakawan untuk Tahap 2 dikenali sebagai Kepustakawanan (Operasi) dan Tahap 3 dikenali sebagai Kepustakawanan (Pengawasan).

 

MAT PPM 2018/2019 juga menyaksikan seramai empat orang pelajar menerima   Anugerah Pingat Emas PPM 2018.   Mereka terdiri dari;

  1. Khyronesa binti Abdul Karim – Pelajar Terbaik Program Sarjana Perpustakaan dan Sains Maklumat (Penyelidikan), Kulliyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia;
  2. Nor Faezah binti Ismail – Disertasi Terbaik Program Sarjana Perpustakaan dan Sains Maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya;
  3. Puteri Khairunniza binti Zaha Riffin, Pelajar Terbaik Program Ijazah Sarjana Muda Sains Perpustakaan, Fakulti Komunikasi, Seni Visual & Komputer Universiti Selangor;
  4. Nadia Shakiera binti Mohd Bahiran, Pelajar Terbaik Program Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan,Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara.
Tahniah kepada empat (4) orang penerima Anugerah Pingat Emas Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) 2018!

Kesemua anugerah telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Nafisah Ahmad, Presiden PPM merangkap Ketua Pengarah PNM.

Pembentangan laporan MAT 2018/2019
Perbahasan semasa MAT 2018/2019
Sebahagian dari Ahli Majlis PPM Penggal 2018/2020

 

Mesyuarat Agung Tahunan PPM Kali ke-62

Oleh: Mohd Jefri Abu Hassan, Ketua Shearn Delamore & Co, Kumpulan Editor Berita PPM

Mesyuarat Agung Tahunan PPM 2017/2018 di UPM

Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke 62 pada 26 Mac 2018 di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia (UPM). MAT kali ini telah dirasmi oleh YBrs. Cik Saraya binti Arbi, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Seramai lebih 350 ahli telah menghadiri mesyuarat kali ini.

Semasa ucapan perasmian, Presiden PPM Dato’ Nafisah Ahmad telah menyatakan bahawa perjuangan PPM selama ini telah memberi impak kepada Malaysia dengan tertubuhnya Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau juga menjelaskan bahawa cabaran bagi tempoh semasa dan akan datang kepada pustakawan dan perpustakaan adalah:-

  • Menjayakan penganjuran International Federation of Library Associations and Institutions World Library and Information Congress (IFLA WLIC ) 2018 di Kuala Lumpur.
  • Memastikan pustakawan lestari diiktiraf oleh masyarakat sebagai ejen yang membantu mereka dalam dunia maklumat sama ada dalam bentuk fizikal dan digital.
  • Mengangkat martabat kepustakawanan dengan menyokong agenda TN50 dan kursus yang diiktiraf oleh kerajaan.
  • Memperkasakan kerjaya pustakawanan dalam dunia digital meskipun telah dipersoalkan kerelevenannya dengan adanya Mr. Google.

Namun, Presiden menyeru sekali lagi bahawa pada tahun ini adalah amat penting bagi semua pustakawan diseluruh negeri memperkukuh kerjasama menjayakan IFLA WLIC 2018 yang julung kalinya diadakan di Malaysia. Pustakawan perlu memainkan peranan menghebah luas maklumat serta mengalakkan penglibatan pustakawan sesama sendiri dan juga para pelajar universiti dalam IFLA WLIC 2018 di setiap negeri mahupun serata dunia. Dengan usaha sebegini, barulah Persatuan Pustakawan Malaysia akan kekal dilihat relevan dan diiktiraf oleh agensi-agensi penting kerajaan seperti Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Selain itu, pada majlis tersebut seramai empat orang graduan telah menerima Anugerah Pelajar Terbaik Sains Perpustakaan 2017 bagi universiti masing-masing. Penyampaian Anugerah Tokoh Pustakawan dan Pustakawan Harapan 2017 serta Jawatankuasa dan Kumpulan paling Aktif turut diraikan.

Antara Penerima Anugerah PPM
Antara Penerima Anugerah PPM

Senarai penerima anugerah adalah seperti berikut:-

No Nama / Jawatankuasa / Kumpulan Kategori Anugerah
1 Dr Nor Edzan binti Che Nasir Anugerah Tokoh Pustakawan 2017
2 Encik Ali bin Rashid Anugerah Pustakawan Harapan PPM 2017
3 Saudara Mohd Sahril Bin Ibnu Sahad Anugerah Pingat Emas (Program Sarjana Muda Sains Perpustakaan dan Maklumat Universiti Teknologi MARA)
4 Saudari Arunnasundari a/p Ramani Anugerah Pingat Emas (Program Sarjana Muda Sains Perpustakaan dan Malumat, Universiti Selangor)
5 Saudari Hamizah binti Hafit Anugerah Pingat Emas (Program Sarjana Sains dan Maklumat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)
6 Saudari Nurfarawahidah binti Badrulhisham Anugerah Pingat Emas (Tesis Terbaik Program Sarjana Sains Perpustakaan dan Maklumat Universiti Malaya)
7 Jawatankuasa Perpustakaan Undang-undang Anugerah Jawatankuasa PPM Paling Aktif 2016-2018
8 PPM Kumpulan Timur Anugerah Kumpulan PPM Paling Aktif 2016-2018

 

Seterusnya adalah Pelancaran “Standard Perpustakaan Universiti” dan Penyerahan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) Kepustakawan yang telah disempurnakan oleh YBrs. Cik Saraya binti Arbi. Sebelum majlis pelancaran berlangsung, beliau ada menyatakan bahawa akan sentiasa menyokong aktiviti serta mengangkat setiap usul dan cadangan yang dibawa oleh PPM diperingkat Kementerian.

Akhir sekali sebelum sesi jamuan pagi berlangsung, Majlis Perasmian MAT diakhiri dengan lawatan tetamu kehormat ke reruai pembekal buku dan pangkalan data serta peralatan perpustakaan.

PELANCARAN STANDARD PERPUSTAKAAN UNIVERSITI (UNIVERSITY LIBRARY STANDARDS)

Ahli Majlis PPM bagi Penggal 2018/2020

Selepas sesi jamuan pagi selesai, majlis diteruskan pula dengan sesi Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PPM. Sesi mesyuarat kali ini mendapat perhatian yang sangat luar biasa daripada beberapa ahli ketika membincangkan beberapa usul utama. Selain itu, pelbagai isu sampingan juga dibincangkan meskipun tidak disampaikan melalui borang cadangan seperti yang diedarkan sebelum ini. Sesi mesyuarat berlangsung bermula pada pukul 12:00 tengahari dan ditangguhkan pada pukul 1.45 petang. MAT kali ini menyaksikan kemenangan ahli majlis sesi penggal sebelum ini kekal dalam pilihanraya.

Pelancaran Program Sumbang Buku Kongsi Ilmu

Pada pukul 2:30 petang, satu ceramah mengenai Big Data telah disampai oleh YBrs. En. M. Poobalan a/l Masilamani, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kerajaan Digital, Seksyen Pengurusan Data Raya dari Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Bagi melengkapkan kemeriahan MAT, aktiviti selingan menjawab kuiz dalam talian menggunakan aplikasi Kahoot juga diadakan dan beberapa orang pemenang berjaya mendapat hadiah. Sebagai penutup, ramai ahli mesyuarat yang hadir meluahkan perasaan gembira apabila majlis kali ini berjaya dijalankan dengan baik.

 

Lawatan Ke Pameran bersama YBhg Cik Saraya Arbi serta dif kehormat
Mesyuarat Agung Tahunan Kali ini Meriah

 

Dr Nor Edzan Penerima Anugerah Tokoh Pustakawan PPM 2017

Disunting Oleh : Kumpulan Editor Berita PPM

 

Dr Nor Edzan menerima Anugerah Tokoh Pustakawan 2017

Dr Nor Edzan Che Nasir dilahirkan pada 29 Mei 1957 di Hospital Besar Kuantan, Pahang di mana arwah bapa, Nasir bin Ismail, bertugas sebagai radiographer dan arwah ibu, Zabedah binti Zainal, bertugas sebagai guru. Pendidikan rendah dan menengah beliau adalah di sekolah di sekitar Kuantan. Beliau mendapat Diploma in Fisheries dari ITM; B.Sc. (Honours) dalam bidang marine biology dari USM Pulau Pinang; Postgraduate Diploma in Information Management (Librarianship) dari University of New South Wales melalui biasiswa Australian University International Development Programme dan mendapat M.Sc. (Information Studies) dari Leeds Metropolitan University melalui Hadiah Latihan Cuti Belajar.

 

Pada Mei 1983, beliau memegang jawatan Pegawai Tadbir di Perpustakaan USM Pulau Pinang. Pada Februari 1986, beliau dilantik sebagai Pembantu Pustakawan dan bertugas di Perpustakaan USM Cawangan Perak di Ipoh dan Tronoh. Beliau diterima sebagai Pustakawan di Perpustakaan UM pada April 1991. Pada November 1999, beliau memasuki bidang akademik dengan menjawat jawatan pensyarah di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UM. Jawatan akademik tertinggi yang dipegang oleh beliau adalah sebagai Profesor Madya mulai 2003 dan Timbalan Dekan Ijazah Tinggi di Fakulti berkenaan pada tahun 2007. Pada waktu yang sama, beliau memperoleh ijazah Ph.D. Pada November 2007, beliau kembali semula ke kerjaya pustakawan apabila dilantik sebagai Ketua Pustakawan di UM.

 

Sebagai Ketua Pustakawan UM, beliau adalah Ahli Pengurusan Tertinggi UM dan terlibat dalam pelbagai aktiviti dan mewakili universiti di pelbagai platform. Diantara tugasan yang membanggakan beliau adalah penjenamaan semula UM Archives dan UM Institutional Repositories; pemuliharaan mural Ibrahim Hussein; penubuhan UM Art Gallery; rejuvinasi rangkaian perpustakaan UM; dan penggunaan media sosial sebagai alat penghubung perpustakaan dengan komuniti. Tetapi beliau juga menekankan kejayaan ini dicapai atas dasar team work yang menjadi budaya kerja beliau.

 

Dr Nor Edzan dari kiri semasa Majlis Jasamu Dikenang Untuk Ketua-ketua Pustakawan Universiti diraikan oleh Majlis Ketua-ketua Pustakawan

 

Edzan senantiasa berusaha untuk memartabat kerjaya pustakawan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau bergerak aktif dalam PPM dan kerap mendapat undangan dari organisasi, syarikat serta universiti untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan. Pengalaman beliau dalam bidang ini menjadikan beliau orang perseorangan yang sering dirujuk serta dijemput untuk sesi percambahan idea di dalam dan luar negara. Beliau juga pernah menjadi ahli panel penilai MQA bagi program pengajian sains maklumat dan sains perpustakaan, perlantikan yang amat beliau hargai kerana ia membolehkan beliau mengambil bahagian dalam penentuan jaminan kualiti kerjaya pustakawan.

 

Jawatan tertinggi dalam PPM yang disandang oleh beliau adalah sebagai Presiden PPM bagi penggal 2014/2016. Sumbangan terpenting beliau kepada PPM adalah menghidup kembali Jurnal PPM dengan menerbit jilid pertama pada 2006 sehingga jilid kesebelas pada 2017. Beliau telah menjadi Editor kepada Jurnal ini dari 2006 hingga 2013 dan Editor-in-Chief dari 2014 hingga kini.

 

Bagi menyedarkan masyarakat setempat dan antarabangsa mengenai aktiviti-aktiviti yang dijalankan di perpustakaan akademik di Malaysia, beliau sering menulis artikel dalam jurnal serta membentang kertas kerja di persidangan tempatan dan antarabangsa. Beliau amat mementingkan keperluan untuk mendokumentasi dapatan penyelidikan serta projek yang dijalankan sebagai sumber rujukan. Dari 1993 hingga kini, beliau telah menerbit sebanyak 25 artikel dalam jurnal berwasit; menulis dan membentang 19 kertas persidangan; menerbit 2 buah buku sebagai pengarang bersama dan 14 bab dalam buku; dan membuat 36 pembentangan. Beliau telah menyelia 14 orang pelajar sarjana bagi penghasilan disertasi dan menilai 15 buah disertasi dan 26 tesis tempatan dan antarabangsa.

 

Edzan telah bersara pada 28 Mei 2017. Masa beliau kini dihabiskan bersama keluarga; membuat kerja terjemahan serta suntingan; menulis; membaca dan melancong. Beliau juga masih bergerak aktif dengan PPM – sebagai volunteer di IFLA WLIC 2017 di Wroclaw, ahli National Committee IFLA WLIC 2018 dan ahli Majlis PPM. Bila ditanya kenapa beliau tidak bersara secara total dari bidang kepustakawanan, beliau tanpa ragu-ragu menyatakan “I want to give back to the profession that has supported me and my family since 1983”.

“I want to give back to the profession that has supported me and my family since 1983”.

Anak Jati Sarawak Penerima Anugerah Pustakawan Harapan PPM 2017

Disunting Oleh: Kumpulan Editor Berita PPM

Penerima anugerah Pustakawan Harapan 2017 kali ini merupakan anak kelahiran dari Bandaraya Perpaduan, Kuching Sarawak dan merupakan alumni graduan Sarjana Muda Sains Pengajian Maklumat Pengkhususan (Pengurusan Pusat Sumber Maklumat) UiTM Shah Alam pada tahun 2002.

Encik Ali Rashid menerima Anugerah Pustakawan Harapan 2017

Selepas sahaja bergraduasi pada Oktober 2002, beliau terus ditawarkan berkhidmat di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan telah berkhidmat selama 7 tahun di Ibu pejabat PNM sebelum berpindah khidmat di Politeknik Kota Kinabalu, (PKK) Sabah. Dari situlah beliau terus melebarkan sayap dengan memperhebatkan aktiviti galakan Membaca sehingga mendapat liputan media setiap minggu.

Maka tidak hairanlah, Perpustakaan PKK di bawah teraju pimpinan beliau, cukup disegani dan dikenali sehingga 3 kali menerima Anugerah Perpustakaan Paling Aktif dalam Menganjurkan Aktiviti Galakan Membaca di Malaysia oleh PNM.

Melalui strategi menyebar luas peranan Kelab Rakan Pustaka dan Pengerusi Biro Sosial dan Kebudayaan, PPM Kumpulan Sabah ketika itu, beliau telah banyak menghasilkan penulisan khasnya di dalam dada akhbar Utusan serta Borneo menjalin hubungan ukhuwah di antara Perpustakaan PKK dengan Perpustakaan Akademik di Indonesia, Singapura dan Brunei.

Kini beliau telah kembali bertugas di PNM sebagai Timbalan Pengarah, Bahagian Pinjaman dan memegang pot folio penting di dalam Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) sebagai Ahli Majlis iaitu Penolong Bendahari Kehormat dan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sosial dan Khidmat Masyarakat 2016/2018.