FB LIVE: PROGRAM SANTAI BERSAMA PROJEK BIBLIOFIL ANJURAN PERSATUAN PUSTAKAWAN MALAYSIA SEMPENA KUALA LUMPUR IBU KOTA BUKU DUNIA 2020

Pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) menyaksikan pelbagai siri aktiviti pembacaan dan perbukuan diadakan sepanjang tempoh berkenaan. Sebagai sebuah badan professional dalam bidang kepustakawanan, Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) tidak ketinggalan menganjurkan Program Galakan Membaca Heritage Trail 2 secara dalam talian bagi menggalakkan lagi amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Poster Program Santai Bersama Projek Bibliofil

Program Santai Bersama Projek Bibliofil yang dihoskan oleh Dr Zahrah Yunos, penulis buku Projek Bibliofil: Melawan Mitos Bangsa Malas Membaca telah diadakan pada 14 Disember 2020, bermula dari 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari secara langsung di laman Facebook Persatuan Pustakawan Malaysia.

Dikendalikan sendiri oleh penulis, ia merupakan sebuah program perkongsian santai berkenaan buku Projek Bibliofil yang mengandungi pelbagai tip dan topik berkaitan amalan membaca. Selain tiga segmen utama bersama penulis, tiga orang panel turut dijemput bagi membicarakan tiga topik berbeza. Mereka ialah Encik Iman Danial Hakim; penulis buku Aku Ingin Membaca 100 Tahun Lagi, aktivitis Akademi Berbagi Buku, pengulas dan pempengaruh buku di laman Instagram @athirah_bookstagrammer Cik Athirah Amri dan Encik Tawfiq Arif Ahmad penulis buku Travelog Memoir 20 Pengembara dan ahli komuniti buku Beluncas Book Club.

Dr. Zahrah Yunos

Segmen pertama bertajuk “Malas Membaca: Mitos Atau Realiti” membincangkan fenomena malas dan tidak suka membaca dalam kalangan masyarakat serta langkah penyelesaiannya. Diikuti segmen bersama panel jemputan pertama, Encik Iman Danial Hakim bertajuk “Membaca Dalam Era Norma Baharu” membincangkan trend membaca dan usaha dalam menarik minat membaca seiring perubahan ke arah norma baharu semasa pandemik Covid-19.

Encik Iman Danial Hakim

Segmen kedua bertajuk “Nak Baca Buku Apa Hari Ini?” membincangkan pilihan buku yang ada untuk dibaca dan jenis-jenis pembaca. Segmen “Fikir Dulu Sebelum Beli : Tip Memilih Buku Untuk Dibaca” merupakan tajuk yang dibincangkan bersama panel jemputan kedua, Cik Athirah Amri. Segmen ketiga, “Apabila Hilangnya Keseronokan Membaca” pula membincangkan masalah reader’s block atau rintangan pembaca serta tip-tip menanganinya, diikuti segmen bersama Encik Tawfiq Arif Ahmad bertajuk “Kembara dan Komuniti Buku”. Pada penghujung setiap segmen, soalan kuiz diberikan kepada para penonton untuk dijawab di bahagian komen.

Sebelum program tamat, Dr Zahrah Yunos mengajak para penonton untuk merefleksi diri melalui segmen penutup “Erti Hidup Seorang Bibliofil” dan kuiz penutup yang menghendaki para penonton menyenaraikan tajuk-tajuk buku yang telah disebutkan sepanjang program berlangsung.

Interaksi dan maklum balas yang diterima semasa dan selepas program begitu menggalakkan. Santai Bersama Projek Bibliofil telah mencatat sejumlah 1.7k tontonan, 114 sukaan, dan 116 komen. Diharapkan program galakan membaca seumpama ini dapat meningkatkan kesedaran dan amalan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira usia dan latar belakang.

#klwbc2020 # KLBaca #ProgramGalakanMembacaPPM

BICARA ILMU SIRI KE-4. SIAPAPUN PERLU MINAT MEMBACA

OLEH: JULIAWATI BINTI SAKIMAN

GPM SMK Dato’ Abu Bakar Baginda, Sepang, Selangor

AJK JK TETAP PSS, PPM

Sekali lagi, Pertubuhan Guru Perpustakaan Media Malaysia(PGPMM) telah berkolaboratif dengan Persatuan Pustakawan Malaysia(PPM) dengan menganjurkan Bicara Ilmu bagi siri yang ke-4 dengan tajuk Siapapun Perlu Minat Membaca. Bicara ilmu ini telah diadakan pada 25 Mei 2021 (Selasa) dari 8.30 hingga 10.30 malam melalui pelantar Streamyard dan live streaming di YouTube dan Facebook PGPMM. 

Bicara ilmu kali ini agak berlainan iaitu tidak seperti sebelum ini yang mana pada kali ini, Pengawas Pusat Sumber telah dijemput untuk turut sama menonton dan mendengar sendiri tips-tips serta motivasi yang diberikan oleh panel jemputan. Seramai lebih kurang 1,940 peserta dalam kalangan murid dan juga Pengawas Pusat Sumber Sekolah dan ahli berdaftar telah menyertai bicara ilmu pada kali ini.

Ahli panel yang terlibat merupakan individu yang sangat layak untuk membincangkan tajuk pada kali ini dan masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang penulisan dan motivasi.

  1. Pn Ain Maisarah bt Dalimin (Seorang penulis novel dan pemilik syarikat Blink Sdn Bhd)
  2. En Ahmad Fadzli bin Abd Aziz (Seorang motivator dan bekas ahli kumpulan nasyid UNIC)

Panel jemputan istimewa :

Datin Hajjah Che Normadiah bt Haji Che Abbas (Pengerusi Tetap JK PSS, PPM)

Moderator :

Pn Juliawati binti Sakiman (GPM SMK Dato’ Abu Bakar Baginda, Sepang, Selangor)

Poster Program

PN AIN MAISARAH BINTI DALIMIN

MEMBACA MEMBENTUK INSAN BERJAYA

Pn Ain Maisarah telah memulakan bicaranya tentang ciri-ciri orang yang berjaya iaitu individu itu mestilah ada karisma, bercakap mengikut fakta dan bijak berbicara. Menurut beliau, untuk menjadi orang yang bijak berbicara, kita mestilah suka membaca. 

Beliau turut berkongsi rahsia bagaimana untuk hidup dengan lebih baik. Antaranya, cari satu ilmu dalam satu hari. Beliau turut berkongsi fakta berkenaan Bill Gates, lelaki terkaya di dunia yang membaca 50 buah buku setahun. Ini bermakna, untu kerjaya seperti Bill Gates kita perlu membaca satu buku setiap minggu.

Pn Ain Maisarah turut menekankan tentang kepentingan membaca buku yang menarik dan yang kita sukai. Ini dapat membantu kita menghayati isi kandungannya dan seterusnya berkongsi ilmu tersebut dengan rakan-rakan yang lain. Menurut beliau lagi, membaca akan membezakan orang yang tahu dengan orang yang tidak tahu.

Membaca bahan ilmiah dan mencatat apa yang dibaca agar dapat disebarkan kepada orang lain mampu menjadikan seseorang yang pada asalnya ‘zero’ kepada menjadi lebih tahu.

Puan Ain Maisarah dalam Slot Pertama

DATIN HJH CHE NORMADIAH BT HJ CHE ABBAS

IMPAK MEMBACA DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

            Datin Hjh Che Normadiah merupakan panel jemputan khas pada bicara ilmu kali ini. Ini disebabkan oleh tajuk perbincangan yang sangat dekat dengan hati beliau. Beliau telah membincangkan tentang impak membaca terhadap anak-anak dan masyarakat. Antaranya, membaca dapat memberikan ketenangan dan dapat merawat jiwa semasa pandemik ini. Jika kuat akal dan iman, kita dapat menimbang apa sahaja yang dibaca pada musim pandemik ini, hidup akan jadi lebih baik dan sentiasa positif.

Murid yang suka membaca juga dapat mengubah kehidupan dan amalan mereka seharian. Lebih berjaya, seronok dan sentiasa dahagakan ilmu tanpa membuat perkara tidak berfaedah.

Membaca juga memberi kesan terhadap kepimpinan. Pemimpin yang baik diadun oleh pemikiran yang rasional, komunikasi berkesan, serta mempunyai kemahiran kepimpinan yang tinggi. Semua kenahiran ini dapat diserap melalui pembacaan dan juga membawa kepada kebahagian dan keseronokan dalam diri seseorang.

Siapa yang tidak seronok jika kita tahu semua benda dan perkara yang berlaku dalam dunia ini. Membaca memberikan satu keseronokan kerana secara tidak langsung seseorang boleh menjadi ‘pakar rujuk’ kepada orang lain. Ilmu pengetahuan yang ada juga dapat memberi manfaat jika disebarkan kepada orang lain.

Membaca juga merupakan asas utama kepada kemahiran belajar sepanjang hayat. Dengan membaca, kita menimba, menambah ilmu dan mendapat kemahiran baharu.

Membaca juga memberi impak kepada penulisan. Apa yang dibaca akan diserap oleh otak, akan dilontarkan oleh kata-kata melalui penulisan, dizahirkan melalui perbuatan. Jika banyak bacaan puisi, maka kata-kata dan penulisan juga berbentuk puisi dan puitis.

Bersama Panel Jemputan Istimewa Datin Hajjah Che Normadiah

EN AHMAD FADZLI BIN ABD AZIZ

MEMBINA KELUARGA MEMBACA

            Slot seterusnya menampilkan seorang motivator yang juga merupakan seorang motivator keluarga berdaftar. Encik Ahmad Fadzli Abdul Aziz telah menerangkan tentang peranan institusi kekeluargaan dalam membina keluarga membaca kerana segala-galanya bermula dari rumah.

Dalam sesi ini, beliau telah menerangkan tentang bagaimana cara menggalakkan anak-anak minat membaca dengan memberi penekanan terhadap Iqra’ yang merupakan ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi. Jelaslah menunjukkan membaca ini bukanlah satu keperluan tetapi kemestian yang patut diamalkan dan menjadi darah daging dalam diri manusia.

Ibu bapa juga merupakan individu yang perlu menggalakkan anak-anak membaca. Ibu bapa perlu minat membaca dan sentiasa memperuntukan masa membaca bersama anak-anak agar dapat menanamkan bibit-bibit tabiat membaca dalam diri mereka.

Menyediakan ruang bacaan dengan bahan-bahan yang menarik serta digemari sama ada bahan ilmiah atau lain-lain juga merupakan salah satu cara untuk menarik minat anak-anak membaca. Menggunakan ruang bacaan di rumah sebagai ruang kualiti keluarga agar dapat menyuburkan benih minat membaca.

Jadikan buku sebagai ganjaran dan hadiah kepada anak-anak agar mereka kenal dan dekat dengan buku. Tak kenal, maka tak cinta.

Sentiasa menjadi pendorong dan memantau kegemaran anak-anak. Ibu bapa juga perlu memberi ruang dan peluang anak-anak untuk memilih bahan bacaan kegemaran mereka. Namun, dalam masa yang sama ibu bapa perlu memantau dan memberi nasihat dalam proses membuat pilihan bahan yang berkualiti.

Menjawab kepada persoalan Aplikasi digital: Mengundang masalah ataupun sebenarnya memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada anak-anak untuk meneroka sesuatu di luar kotak.

Slot Kedua bersama En Fadzli Aziz

Tumpuan diberikan sepenuhnya kepada perbincangan tentang transformasi digital yang semakin pesat serta telah menukar fenomena membaca. Beberapa penekanan dan nasihat berguna telah diberi melihatkan kepada kegusaran beliau sebagai motivator terhadap kegemaran anak-anak pada masa kini terhadap penggunaan aplikasi digital. Beberapa nasihat telah diberikan antaranya:

  1. Kalau kita nak popular, biarlah kita popular dengan ilmu
  2. Kalau kita nak popular, biarlah kita popular dengan adab dan akhlak
  3. Kalau kita nak popular, biar kita popular dengan kebaikan dan kebajikan
  4. Jangan popular hanya dengan kecantikan
  5. Jangan popular dengan mendedahkan sesuatu yang tidak sepatutnya didedahkan
  6. Jangan popular dengan dosa dan maksiat.

PGPMM ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr Zuridah Hanim (GPM SMK Sultanah Bahiyyah, Kedah), Pn Shazrizuliana binti Salimon (GPM SK Lukut, N. Sembilan) dan Pn Roslinda bt Abdullah (GPM SK Matang Gerdu, Perak) kerana telah berkongsi idea penulisan melalui media sosial di Facebook.

WEBINAR: MENYINGKAP IDENTITI SELANGOR – Siri 3

oleh Puan Hikmah Hassan, Penolong Pustakawan Kanan PPAS.

Pada 16 Disember 2020, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) dan Yayasan Bank Rakyat, telah menganjurkan WEBINAR: MENYINGKAP IDENTITI SELANGOR – SIRI 3 ANJURAN PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM SELANGOR, (PPAS) secara Zoom dan Live menerusi FB PPAS dan FB Persatuan Pustakawan Malaysia, dari 9.00 pagi hingga 4 petang yang dihoskan oleh PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM SELANGOR (PPAS)

Program ini adalah bagi meraikan Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020.

Poster Program

Webinar MENYINGKAP IDENTITI SELANGOR anjuran PPAS ini telah bersiaran selama 3 siri. Sasaran Webinar pada kali ini bertujuan untuk mendokumentasikan maklumat-maklumat kebudayaan negeri Selangor. Sasaran umumnya adalah kepada rakyat Selangor. Namun yang lebih utama adalah khusus kepada penyelidik, pelajar orang awam dan institusi berkenaan yang berhasrat menjalankan kajian berkaitan topik yang dibincangkan. Ruang lingkup webinar ini menjangkau nusantara, disebabkan Selangor yang wujud pada penghujung kurun ke-18 memiliki hubungan sejarah dan budaya dengan wilayah-wilayah lain seperti Minangkabau, Riau dan Sulawesi.

Empat (4) topik menarik telah dibentang dalam program Webinar kali ini dengan 3 orang pembentang telah ditaja oleh PPM.

Nama pembentang: Dr. Junaini Binti Kasdan

Tajuk pembentangan: Dialek Selangor: andaian atau kenyataan

Tajuk ini menfokus kepada dapatan kajian mengenai wujudnya dialek di Selangor seperti dialek: Jawa, Banjar, Bugis, Minang,Rawa. Dialek jika tidak dituturkan pada generasi muda akan berpotensi untuk lenyap.

Ramai yang tidak sedar bahawa Selangor turut mempunyai dialeknya sendiri. Kewujudan dialek Selangor turut dibuktikan melalui kajian Dialek Perak yang telah dilakukan sebelum ini. Dialek Selangor turut dipengaruhi oleh unsur persempadanan dan bentuk muka bumi. Sebagai contoh; kawasan Sabak Bernam yang bersempadan dengan Hilir Perak. Walau bagaimanapun kajian dialek Selangor masih berada di peringkat awal dan masih memerlukan tumpuan untuk dilengkapkan. Usaha sedang dilakukan untuk mengelompokkan dialek Selangor kepada sub-dialek Kuala Lumpur dan sub-dialek Selangor Barat.

Dr Junaini bt Kasdan

Nama pembentang: Dr. Abu Hanifah Bin Haris

Tajuk pembentangan: Sejarah Pendidikan Tinggi Islam di Selangor: Perkembangan dan Sumbangan Kolej Islam Malaya, 1955-1970

Penubuhan Kolej Islam Malaya merupakan langkah pertama ke arah penubuhan sebuah Universiti Islam. Kolej ini dibangunkan di atas Istana Jemaah Klang yang telah diwakafkan oleh Sultan Selangor, Sultan Hisamuddin Alam Shah. Tujuan penubuhannya adalah bagi memartabatkan kedudukan pendidikan Islam pada tahap tertinggi dan istimewa setanding dengan universiti-universiti lain. Mendapat sokongan penuh daripada kerajaan Tanah Melayu dan Raja-raja Melayu serta mendapat sokongan dan bantuan daripada kerajaan Mesir seperti tenaga pengajar, sukatan pelajaran dan bahan pembelajaran. Kolej ini telah melahirkan ramai tokoh ulama dan cendekiawan sepanjang dua dekad penubuhannya. Kolej Islam Malaya terpaksa ‘dikorbankan’ bagi memberi laluan kepada penubuhan Fakulti Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dr Abu Hanifah b Haris

Nama pembentang: Dr. Hamdi Bin Ibrahim

Tajuk pembentangan: Perjuangan Sosial Abu Urwah

Pembentangan mengkhusus kepada tokoh negeri Selangor iaitu Yang Berhormat Tuan Saari Sungib atau nama penanya Abu Urwah dan susur galur sejarah perjuangan beliau. Tokoh anak jati Selangor yang menyumbang kepada ketamadunan umah. Penulis telah menghasilkan lebih dari 60 karya. Abu Urwah menubuhkan JIM dengan matlamat untuk menfokus kepada pendidikan dan kebajikan masyarakat

Webinar satu hari ini telah dikendalikan oleh Puan Hikmah Hassan, Penolong Pustakawan Kanan PPAS, yang juga selaku Setiausaha Persatuan Sejarah Lisan Malaysia. Penonton turut berpeluang mengemukakan beberapa soalan kepada panel yang semuanya telah dijawab secara langsung semasa program berkenaan.

Dr Hamdi b Ibrahim

Program Galakan Membaca ‘Heritage Trail 2’ Dalam Talian Sempena Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020

Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia(KLWBC) oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi tahuun 2020. Pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia Ke-20 ini merupakan bukti komitmen tinggi oleh Malaysia dalam penganjuran aktiviti, promosi buku dan pembacaan.

Sebagai badan profesional dan bukan kerajaan(NGO) Persatuan Pustakawan Malaysia(PPM) telah menerima dana bagi melaksanakan beberapa program dengan kerjasama perpustakaan awam, akademik, khusus serta penulis buku yang terpilih.

Pelbagai program bermula dari 23 April 2020 hingga 22 April 2021 telah diatur oleh PPM sejajar dengan slogan KL Baca, iaitu: Menyantuni Masyarakat Melalui Pembacaan. Ia melibatkan agensi kerajaan seperti Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Majlis Tindakan Buku Negara, Perpustakaan Negara Malaysia, Perbadanan Kota Buku dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Turut terlibat ialah agensi swasta serta badan pertubuhan profesional dan bukan kerajaan.

Bagi memeriahkan sambutan, PPM merancang melaksanakan program di sepanjang Heritage Trail 2 iaitu di Jalan Melaka dan Jalan Raja Chulan. Namun, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) telah dikuatkuasakan dan ia kemudian ditukar kepada format secara dalam talian dengan latar belakang penganjur(host) yang berbeza.

Sebanyak 13 Siri Program Galakan Membaca secara dalam talian telah dilaksanakan sepanjang bulan Disember 2020 lalu dengan pelbagai tajuk menarik. Sepanjang bersiaran ia telah berjaya meraih seramai 20,878 tontonan, 2,302 sukaan dan 5,869 ulasan. Antara program yang mendapat sambutan hangat ialah penampilan khas oleh dua orang tokoh selebriti Dr Soo Wincci dan Tuan Amin Idris seorang motivator, penulis, dan pengacara TV. Mereka berdua telah yang berkongsi pendapat masing-masing mengenai budaya membaca.

Disamping program yang dinyatakan di atas, PPM turut menganjurkan aktiviti Reading in the Park secara dalam talian pada 17 Disember dan Bookhunt pada 25 Disember bermula dari 10.00 pagi hingga 1.00 petang. Lain-lain program ialah majlis Pelancaran Kebun Bandar PPM dan Little Free Library(LFL) sempena program Bookwalk & Bookhunt@Bunus River.

PPM juga sempat 13 kali bersiaran secara Live di Facebook dan setiap kali bersiaran, penonton berpeluang menyertai kuiz yang hadiahnya adalah buku sebagai galakan kepada aktiviti membaca. Kemuncak program ialah pada 31 Disember 2020 apabila PPM bersiaran dari Jalan Melaka Kuala Lumpur.

Adalah diharapkan semua program yang dilaksanakan dapat mencapai objektif meningkatkan budaya membaca, meningkatkan literasi maklumat dan media serta kepentingan dan faedah membaca dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Setinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah mengambil bahagian baik secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan program yang dirancang khususnya kepada Sekretariat KLWBC, Yayasan Bank Rakyat, Jawatankuasa Kerja Aktiviti PPM, pasukan host, ahli panel jemputan, moderator, petugas teknikal dan lain-lain. Terima kasih juga kepada semua yang menonton dan telah mengambil bahagian dalam program yang dilaksanakan.

PPM dan BERNAMA juga telah menyumbang buku untuk diletakkan di kiosk buku di Heritage Trail di hadapan Bank Muamalat. Antara buku yang disumbangkan ialah buku yang mempunyai elemen biblioterapi(terapi buku). Buku seumpama ini sesuai di baca oleh semua peringkat umur agar dapat merawat emosi dan minda terutama semasa situasi pandemik Covid-19 melanda yang mana lebih banyak masa dihabiskan di rumah.

Walaupun tempoh sebagai Ibu Kota Buku Dunia Ke-20 ini akan berakhir, namun PPM dan semua perpustakaan di Malaysia akan terus komited dan tidak jemu menganjurkan program serta aktiviti galakan membaca. Semoga setelah berakhirnya pandemik Covid-19 yang melanda dunia kini, kegiatan pembacaan boleh dijalankan seperti sebelumnya dan ditambah pula dengan format secara dalam talian.

PPM merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan yang profesional dalam bidang kepustakawanan dan maklumat dalam Malaysia. Sejak ditubuhkan pada tahun 1955 PPM telah berjaya menganjurkan pelbagai persidangan, kursus, bengkel dan aktiviti dalam bidang berkaitan dengan perpustakaan dan maklumat peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Semoga segala perkongsian bermanfaat bagi meningkatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat dalam negara kita. Tahniah kepada semua agensi yang telah menjadi host program kerana telah memberikan komitmen yang tinggi bagi menjayakannya.