Posted in Librarians, News from Malaysian Libraries

Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kuala Penyu Dibuka Kepada Umum

Oleh: Perpustakaan Negeri Sabah

 

Pada 5 September 2017, Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) telah mencatat satu lagi sejarah dengan berlangsungnya majlis perasmian bangunan baharu iaitu PNS Cawangan Kuala Penyu. Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Limus bin Jury, Ahli Dewan Undangan Negeri bagi N26 Kuala Penyu. Antara dif jemputan yang hadir ialah Ketua Penolong Setiausaha bagi Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Puan Noraini Shafie dan, Encik Abdul Rahim@Rosli Yacob selaku Pegawai Daerah Kuala Penyu.

 

Pada hari perasmian, beberapa ruang pameran telah dibuka kepada umum dan disertai oleh PEMADAM, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN), Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am dan Perpustakaan Negeri Sabah sendiri.

 

Para pelajar dari SK Rimbaan yang merupakan sekolah angkat PNS Cawangan Kuala Penyu telah memeriahkan slot aktiviti mewarna gambar, membuat penanda buku, lipatan origami dan hiasan decoupage. Penampilan badut dengan ketrampilannya membentuk belon berwarna-warni telah menghiburkan lagi pengunjung yang hadir.

 

Menyorot sejarah awal perkhidmatan PNS Cawangan Kuala Penyu, perpustakaan ini bermula dengan pembukaannya di bangunan kayu Balai Raya Pekan Kuala Penyu pada tahun 1965. Ketika itu perkhidmatan hanya dibuka separuh masa dan pada tahun 1979, perpustakaan dibuka tiga kali seminggu kepada orang awam pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat serta dikendali oleh seorang kakitangan sambilan. Pada tahun 1980, perpustakaan telah berpindah ke Bangunan Baru Urus Setia Pejabat Daerah Kuala Penyu. Perkhidmatan dibuka sepenuh masa dengan koleksi buku lebih kurang 6000 naskhah ketika itu. Keluasan ruang adalah 3’ x 5’ dan hanya dapat memuatkan dua buah meja sahaja. Pada November 1982, perpustakaan berpindah pula ke bekas bangunan Rumah Rehat Kerajaan yang telah diubah suai berhampiran dengan kawasan Padang Daerah Kuala Penyu. Keluasan bangunan adalah 46’ x 14’ dan diperluaskan lagi untuk menjadi 62’ x 14’ pada tahun 1990 dengan penambahan meja kaunter, dua unit lampu dan dua unit pendingin udara. PNS Cawangan Kuala Penyu telah menerima Anugerah Perpustakaan Terbaik Kumpulan Kecil sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1987, 1991 dan 1992.

 

Sekitar bulan Februari 1996, sekali lagi perpustakaan berpindah dan kali ini ke bangunan baharu Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Pekan Baru Kuala Penyu dengan keluasan 30’ x 40’. Pihak perpustakaan telah menyewa tingkat bawah dan tingkat satu bangunan tersebut. Tingkat bawah diguna bagi perkhidmatan pembaca, manakala tingkat atas diguna sebagai ruang pejabat serta ruang menjalankan aktiviti-aktiviti perpustakaan.

 

Akhirnya, PNS Cawangan Kuala Penyu mempunyai bangunan sendiri pada tahun 2014 dan dibuka kepada orang awam mulai 31 Julai 2014 dengan koleksi buku sebanyak 41,481 naskhah dan 56 unit bahan sumber media pada hari perasmian bangunan tersebut. Selain perkhidmatan pinjaman dan rujukan, perpustakaan turut memberi perkhidmatan talian internet secara percuma kepada ahli perpustakaan sesuai dengan visi jabatan ke arah masyarakat berilmu dan terhubung dalam misi melestarikan misi budaya membaca.

 

This slideshow requires JavaScript.

Advertisements
Posted in ASEAN, Librarians, Malaysia, PPM

Mesyuarat Ke-2 Lembaga Eksekutif CONSAL XVII di Myanmar

Oleh: Hasnita Ibrahim, Naib Presiden I PPM

Mesyuarat Lembaga Eksekutif CONSAL XVII (Congress of Southeast Asian Librarians) yang ke-dua telah diadakan di Tawwin Garden Hotel, Yangon, Myanmar pada 8 Mei 2017. Mesyuarat Lembaga yang pertama telah diadakan di lokasi yang sama pada 29 Julai 2016. Mesyuarat ini selalunya diadakan di negara yang bakal menganjur CONSAL dan seperti semua sedia maklum, CONSAL terakhir telah diadakan di Bangkok International Trade & Exhibition Centre (BITEC) dari 11 hingga 13 Jun 2015. CONSAL XVII akan diadakan di Naypyitaw, ibu negara dan pusat pentadbiran baru kerajaan Myanmar dari 2 hingga 5 Mei 2018. Setiap kali mesyuarat diadakan, wakil dari Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) akan dijemput hadir dan pada kali ini PPM di wakili oleh Puan Hasnita Hj. Ibrahim dan PNM diwakili oleh Puan Siti Aisyah Sheikh Kadir.

17th Congress of Southeast Asian Librarians at Naypyitaw, Myanmar

 

Ahli mesyuarat yang hadir adalah dari kalangan negara Asia Tenggara, dua orang dari Brunei Darulsalam, tiga orang dari Indonesia, lima orang dari Myanmar, seorang dari Kemboja, dua orang dari Malaysia, tiga orang dari Filipina, dua orang dari Singapore, dua orang dari Vietnam dan tiga orang dari Thailand. Peserta dari Timor Leste tidak dapat hadir kerana masalah visa. Perlu ditekankan disini bahawa semua peserta CONSAL XVII memerlukan visa untuk ke Myanmar nanti.

Seawal pagi ahli mesyuarat telah bersalam-salaman dan bertukar cenderahati. Perasmian telah diadakan dengan kata-kata pembukaan dari Mr. U Aung Myint, Pemangku Ketua Pengarah, Jabatan Penyelidikan Sejarah dan Perpustakaan Negara. Ini diikuti dengan kata-kata aluan dari Mr. U Than Aung, Presiden, Persatuan Perpustakaan Myanmar. Upacara sumbangan buku untuk Perpustakaan Negara Myanmar dan sesi fotografi telah diadakan dan sejurus itu, mesyuarat yang dipengerusi oleh Mr. U Than Aung bermula.

Mesyuarat dimulakan dengan memperkenal diri dan seterusnya membentangkan laporan dari setiap negara. Mesyuarat diteruskan dengan perbincangan mengenai penganjuran CONSAL XVII oleh Myanmar selaku tuan rumah. Mesyuarat kali ini telah mempelawa Kemboja dan Laos sebagai penganjur CONSAL XVIII pada tahun 2021.

Ms. Mya Oo, Pengarah Perpustakaan Negara Myanmar, selaku Setiausaha Kehormat Persatuan Perpustakaan Myanmar telah membentangkan tadbir urus CONSAL XVII yang melibatkan sekretariat dan pelbagai jawatankuasa. Ms. Daw Ah Win, Naib Presiden 1 Persatuan Perpustakaan Myanmar, telah melaporkan perkembangan serta meminta pandangan ahli mengenai perjalanan CONSAL di Myanmar seperti tarikh, lokasi, topik sesi pembentangan, ucaptama, pembentang kehormat, sesi pembentangan dengan anggaran 90 kertas kerja; sesi poster yang akan dipilih dari lebihan kertas kerja yang telah menghantar abstrak untuk pembentangan, pemilihan kertas kerja, pendaftaran, penajaan, bengkel pra-CONSAL, CONSAL Outstanding Award yang mana setiap negara ahli akan menjadi juri, dan lain-lain perkara.

Malaysia bertuah kerana diberi peluang untuk membuat pembentangan bagi mempromosi dan mengalu-alukan penyertaan dari negara Asia Tenggara untuk menyertai IFLA WLIC di Kuala Lumpur dari 24 hingga 30 Ogos 2018. Penyertaan sebagai peserta, pembentang kertas kerja, poster, pameran dan mesyuarat satelit amat dialu-alukan. Malaysia juga akan menawarkan geran bagi peserta dari negara Asia Tenggara terpilih.

Pada sebelah petang, rombongan diraikan dengan makan malam yang ditaja oleh Jabatan Penyelidikan Sejarah dan Perpustakaan Negara. Pada sebelah malam pula, rombongan telah dibawa untuk menyaksikan persembahan muzik klasik dari Russia dan Myanmar. Keesokan harinya, rombongan dibawa melawat Shwedagon Pagoda yang terletak di Singuttara Hill. Pagoda ini dianggap sebagai pagoda paling suci bagi rakyat Myanmar. Dengan sejarah 2,500 tahun, Shwedagon Pagoda adalah setinggi 110 meter, disaluti daun emas dan bermahkotakan 1,100 biji berlian dengan 1,300 biji batu permata menghiasi puncaknya. Pada sebelah petang pula, rombongan dibawa ke Bogyoke Market untuk membeli barangan tempatan Myanmar seperti permata, barangan antik, kraftangan seni dan tradisonal.

Setelah membina jalinan kerjasama di kalangan perpustakaan di negara Asia Tenggara dan perbincangan mengenai CONSAL XVII, kesemua ahli rombongan telah kembali ke negara masing-masing pada keesokan harinya.

Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai CONSAL XVII, sila layari Facebook mereka di https://www.facebook.com/consalxvii/

Posted in Librarians, Malaysia, Malaysia Islamic Libraries

Maklumat untuk Direktori Perpustakaan Islam / Information for Islamic Libraries Directory

Kepada semua warga kerja Perpustakaan Islam di seluruh Malaysia,

Sukacita dimaklumkan bahawa Jawatankuasa Kumpulan Khusus Perpustakaan Islam, Persatuan Pustakawan Malaysia berhasrat menerbitkan satu direktori perpustakaan Islam di Malaysia bagi membangunkan profil perpustakaan Islam Negara ini. Dengan yang demikian, kami ingin memohon sokongan dan kerjasama Tuan/Puan untuk mengisi maklumat yang berkaitan melalui borang yang disediakan pada pautan berikut:

 

Borang kaji selidik ini akan tersedia sehingga Isnin, 31 Ogos 2017.

Maklumat yang disediakan Tuan/Puan diharapkan dapat mengumpulkan senarai perpustakaan Islam yang komprehensif tanpa mengira keluasan fizikal dengan saiz koleksi lebih kurang 2,500 naskhah atau lebih.  Berikut adalah contoh hasilan entri yang dirangka:

055

International Islamic University Malaysia

Library

Jalan Gombak

53100 Kuala Lumpur.

 

Tel: +60 3-6196 5601 (Central library)

Fax: +60 3-6196 4855

Email: library@iium.edu.my

Website: www.iium.edu.my/lib

 

Open: 8:00-11:00

Vols.: 800,000

Founded: 1983

Key staff: Dr. Basri Hassan, Chief Librarian (2014-  )

 

Subject access: LCSH (verbal indexing); LCC (classification)

Special Islamic collections or Islamic section: Education and Islam; Islamic banking and finance; Islamic economics; Islamic law; and, Research collection and manuscripts on microform.

 

Kami akan berbesar hati jika Tuan/Puan dapat memanjangkan kaji selidik ini kepada perpustakaan Islam dalam pengetahuan Tuan/Puan, termasuk yang tersenarai dalam “Indicative list” pada buku Islamic librarianship and Malaysia Islamic libraries oleh Balqis Suja’ (2012).  Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan atas respon dan kesudian Tuan/Puan menjawab soalan ringkas yang dikemukakan.

Yang benar,

 

Balqis Suja’ (balqis@iium.edu.my)

Najibah Abu Bakar (najabakar@iium.edu.my)

Zaharani Aiyub (zaharaha@um.edu.my)

Posted in Librarians, Malaysia, Meeting, News from Malaysian Libraries

Bengkel Keserakanan dan Kesepunyaan Bidang Data dan Maklumat

Oleh: Kumpulan Editor, Berita PPM

 

Bengkel Keserakanan dan Kesepunyaan Bidang Data dan Maklumat telah diadakan pada 19 dan 20 April 2017 di Perpustakaan Tun Abdul Razak, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Bengkel ini telah dihadiri oleh ahli Majlis Ketua Pustakawan (MKP) beserta Timbalan Ketua Pustakawan Universiti Awam (UA).

 

Dalam ucapannya, Tuan Haji Salleh Hudin Mustafa selaku Pengerusi MKP, telah menjelaskan bahawa objektif utama bengkel adalah mengoptimumkan penggunaan data dan maklumat negara diperingkat kebangsaan dan antarabangsa seterusnya menjimatkan kos dalam pengurusan data dan maklumat, memantapkan tadbir urus data dan sumber maklumat secara lebih bersepadu, meningkatkan kerjasama perkongsian maklumat dan meningkatkan visibiliti bahan penerbitan universiti.

 

Bengkel selama dua hari ini telah diadakan secara perbincangan dalam kumpulan dan pembentangan. Hasil dari bengkel ini ialah Laporan Merekabentuk Perkhidmatan Perpustakaan Universiti Awam Sejajar Dengan Amanat Menteri Pendidikan Tinggi 2017 yang akan diperhalusi dan dibentangkan kepada ahli MKP untuk dipanjangkan kepada Menteri Pengajian Tinggi.

 

Bengkel ini juga diselitikan dengan ceramah oleh Dato’ Prof. Dr.Ahmad Mujahidin bin Ahmad Zaidi, Pengerusi Garis Panduan Kesepunyaan dan Keserakanan.

 

This slideshow requires JavaScript.

 

Posted in Events, Librarians, Malaysia, News from Malaysian Libraries

Literasi Maklumat di KD PELANDOK, TLDM

Oleh : Azraai bin Abidin, Pustakawan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Bermula Januari 2016, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah menjalinkan kerjasama dengan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) bagi memulakan Program Diploma Pengurusan Logistik (DPL) dan Program Diploma Pentadbiran Perniagaan (DPP) bagi anggota Lain-Lain Pangkat dari Cawangan Bekalan dan Urus Setia, KD Pelandok, Pangkalan TLDM. Menerusi perjanjian ini, tenaga pengajar yang berkelayakan daripada UPNM dan TLDM diatur untuk mengendalikan program ini. Kini, terdapat kira-kira 600 anggota Lain-Lain Pangkat TLDM menyertai program diploma ini.

 

Meski KD Pelandok mempunyai Perpustakaan mereka sendiri, namun, Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim (PJTI) tidak pernah meminggirkan golongan pengguna ini. Oleh itu, Program Taklimat Literasi Maklumat telah diadakan pada 6 April 2017 (Khamis) dan mendapat penyertaan hampir 150 orang pelajar Diploma Pengurusan Logistik (DPL) dan Diploma Pentadbiran Perniagaan (DPP), KD Pelandok, TLDM, Lumut, Perak. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai perkhidmatan dan sumber-sumber PJTI yang boleh diguna oleh mereka untuk tujuan pembelajaran.

 

Taklimat Literasi Maklumat ini telah disampaikan oleh Encik Azraai Bin Abidin, Pustakawan Unit Rujukan dan memfokuskan kepada pangkalan data-pangkalan data yang bersesuaian dengan keperluan pelajar DPL dan DPP. Selama hampir dua jam, para pelajar telah diberi tunjuk ajar tentang cara-cara mengakses dari luar kampus dan strategi-strategi pencarian yang boleh membantu pengguna mendapatkan carian yang tepat dan berguna selain memperkenalkan perkhidmatan-perkhidmatan PJTI yang tersedia untuk mereka.

 

Program sebegini sememangnya memberi peluang kepada PJTI untuk memperluaskan ruang lingkup perkhidmatan di luar kampus dan menggunakan sesi ini untuk beramah mesra dengan para pelajar serta mengambil peduli mengenai keperluan-keperluan pembelajaran oleh pelajar PPL dan PPD. Maklumbalas yang diperoleh sejurus selepas program juga amat memberangsangkan dan para pelajar berpendapat program seumpama ini perlu diadakan setiap tahun memandangkan kedudukan geografi diantara KD Pelandok dengan UPNM yang jauh dan menyukarkan untuk mereka memperoleh sumber-sumber rujukan tambahan.

 

Seluruh warga PJTI mengucapkan jutaan terima kasih kepada Fakulti Belakan dan Pengurusan, KD Pelandok dan Institut Pengajian Eksekutif UPNM (NIEEd) kerana telah memberi kerjasama yang tidak berbelah bagi untuk menjayakan program ini. Semoga segala perkongsian yang diberikan sepanjang sesi Taklimat Literasi Maklumat ini dapat memberi manfaat kepada semua yang terlibat. Diharapkan agar program sebegini dapat diteruskan lagi di masa hadapan.

 

This slideshow requires JavaScript.

 

 

 

 

Posted in Librarians, PPM

TAHNIAH AHLI SEUMUR HIDUP 2016 PPM

Berikut adalah ahli seumur hidup PPM yang berdaftar pada tahun 2016. Tahniah diucapkan.

  1. NOR AZZAH BINTI MOMIN
    Timbalan Ketua Pustakawan Kanan
    Perpustakaan
    Universiti Sains Islam Malaysia,
  2. DR KHASIAH ZAKARIA
    Timbalan Ketua Pustakawan Kanan
    Perpustakaan Kampus Puscak Alam
    Universiti Teknologi MARA
  3. HASLINA BINTI ABU SEMAN @ TALIB
    Timbalan Ketua Pustakawan Kanan
    Perpustakaan Sultan Abdul Samad
    Universiti Putra Malaysia,
  4. SITI SUMAIZAN RAMLI
    Timbalan Ketua Pustakawan Kanan
    Perpustakaan Tuanku Bainun
    Universiti Pendidikan Sultan Idris

slide1 slide2