PAMERAN PENCEMARAN PLASTIK DI PERPUSTAKAAN KOLEJ DISTED PULAU PINANG

#SDG2030 #SustainableDevelopmentGoals #GlobalGoals

Oleh : Nurul Anisah bt. Mohamed Sultan, Library & Educational Services DISTED College, Penang

 

Peranan perpustakaan sebagai institusi ilmu amatlah penting dalam menyemai kesedaran dan menyebarkan maklumat berkaitan isu-isu semasa. Antaranya adalah isu pencemaran plastik yang menjadi isu utama dalam 12thGoal of Sustainable Development Goals iaitu Responsible Consumption and Production di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) dimana ianya merupakan isu global yang perlu diberi perhatian dan ditangani bersama bagi memelihara ekosistem dunia. Pencemaran plastik bukan sahaja boleh mengancam hidupan dan ekosistem marin malah memberi impak negatif terhadap kehidupan manusia. Menurut satu kajian saintifik yang diterbitkan di Jurnal Sains pada tahun 2015 bertajuk ‘Plastic waste inputs from land into the ocean’, negara Malaysia pada ketika itu telah berada di tangga kelapan (8) ranking dunia dalam pencemaran sisa plastik yang tidak terurus.

Atas kesedaran tersebut, Kolej DISTED telah mengambil peluang melaksanakan kempen “Say No to Plastic” di sekitar perkarangan kampus. Hal ini bertepatan dengan inisiatif progam induk yang telah ditekankan dalam konsep pembelajaran di Kolej DISTED iaitu Let’s Go Green’ bagi membentuk sahsiah kendiri pelajar untuk menjadi warga masyarakat yang bertanggungjawab dan tahu menjaga alam sekitar.

Di peringkat Perpustakaan DISTED pula, satu penganjuran program berbentuk pameran berkaitan bahaya pencemaran plastik telah diadakan selama dua bulan iaitu bermula pada bulan Ogos hingga Oktober 2019. Antara kandungan paparan pameran adalah kesedaran tentang bahaya kandungan bahan kimia plastik, apa yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan pencemaran plastik,  paparan pelan hala tuju Malaysia ke arah sifar dan sekali guna penggunaan plastik 2018-2030, paparan senarai ranking negara yang tidak mengurus dengan baik pembuangan sisa plastik, lain-lain jenis poster, dan tayangan video. Secara objektifnya pameran ini adalah untuk memberi kesedaran dan mendorong warga Kolej DISTED untuk bertindak mengurangkan kebergantungan plastik dalam kehidupan seharian mereka.

 

Keadaan ruang pameran tentang bahaya pencemaran plastik

Selain itu, program ini turut menyediakan ruangan bagi pengunjung menulis tentang tindakan atau “aku janji” yang mereka akan dan sedang ambil bagi mengurangkan atau menghapuskan pencemaran plastik. Majoriti pengunjung menitipkan “aku janji” untuk menggunakan beg kitar semula ketika membeli belah, membawa bekas makanan dan minuman sendiri dan juga tidak menggunakan penyedut plastik.

Selain itu, bagi mengukur keberkesanan program, Perpustakaan DISTED juga tidak ketinggalan meminta pengunjung untuk memberi maklum balas tentang program tersebut. Respon yang diterima mengenai keseluruhan program adalah positif terutama meliputi aspek keberkesanan susun atur bahan pameran, kandungan maklumat serta kreativiti pameran. Respon juga menekankan mengenai maklumat baru yang mereka pelajari seperti risiko pencemaran bahan kimia daripada plastik yang boleh menjejaskan manusia dan bahaya kepada alam sekitar, kepentingan pelan hala tuju Malaysia ke arah sifar plastik 2018-2030, kedudukan ranking negara Malaysia di tangga kelapan (8) daripada 20 negara yang tidak menguruskan pembuangan sisa plastik dengan baik dan kaedah yang betul bagi mengurangkan penggunaan plastik. Beberapa cadangan turut dikemukakan oleh warga DISTED bagi memperbaiki kandungan pameran antaranya mempamerkan secara langsung sampel bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan plastik.

Sebagai penutup, progam sebegini adalah langkah yang baik bagi meningkatkan kesedaran pengunjung Perpustakaan tentang pencemaran sisa plastik. Namun, usaha sama yang lebih drastik amatlah diperlukan dalam menangani isu pencemaran plastik yang semakin kritikal ini. Walaupun pelbagai inisiatif diambil oleh pihak kerajaan bagi menangani isu ini, namun adalah menjadi tanggungjawab bagi setiap individu itu sentiasa menyedari dan mendidik diri sendiri untuk menjadi pengguna bijak yang bebas plastik.

Aku Janji mengurangkan plastik dikalangan pengunjung Perpustakaan Kolej DISTED