Posted in PPM, Recognitions

T A H N I A H! Puan Dg Rukiah Ag Amit

T A H N I A H!
Puan Dg Rukiah Ag Amit
Ketua Pustakawan UMS
kerana memenangi  kerusi bagi mewakili Malaysia di
OCLC Asia Pacific Regional Council Executive Committee
bagi Julai 2017 hingga Jun 2020

Advertisements
Posted in PPM, Recognitions

PPM iktiraf pelajar cemerlang

Oleh: Harith Faruqi Sidek & Azlan Hamzah, Kumpulan Editor, Berita PPM (Pustakawan Kanan, UKM)

 

Bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) 2016/2017 pada 27 Mac 2017 yang lalu, seramai empat orang mahasiswa cemerlang dalam bidang sains perpustakaan telah dianugerahi dengan Anugerah Pingat Emas PPM. Mesyuarat Agung yang berlangsung di Auditorium Universiti Islam Malaysia itu telah dirasmikan oleh Presiden UIM, Tan Sri Dr. Yusof Noor yang turut menyampaikan Anugerah Pingat Emas PPM 2016 berkenaan. Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Selangor (UNISEL) berpeluang mencalonkan penerima bagi kategori peringkat ijazah manakala Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencalonkan seorang penerima bagi kategori peringkat lepasan ijazah.

 

Senarai penerima mengikut kategori adalah:

  1. a) Disertasi Terbaik Sarjana Sains Perpustakaan (UM)

    — Goh Sok Boon

  1. b) Program Sarjana Sains Perpustakaan (UIAM)

    — Nur Ezzati binti M. Taib

  1. c) Progam Sarjana Muda Sains Perpustakaan (UiTM)

    — Fadhilah binti Mat Noor

  1. d) Program Sarjana Muda Sains Perpustakaan (UNISEL)

    — Mohd. Jeffri bin Abu Hassan

 

Penerima Anugerah Pingat Emas PPM 2016 bagi kategori Disertasi Terbaik Sarjana Sains Perpustakaan iaitu Goh Sok Boon kini berkhidmat sebagai Pustakawan di Perpustakaan Pengajian Asia Timur, Universiti Malaya. Disertasi beliau yang mendapat pengiktirafan berkenaan berjudul “An Assessment of leadership qualities required among academic librarians”, dihasilkan sebagai syarat bergraduat peringkat sarjana dalam bidang Sains Perpustakaan dari Universiti Malaya.

 

Bagi kategori Program Sarjana Sains Perpustakaan pula, penerimanya, Nur Ezzati M. Taib kini baru memulakan kerjaya di ICAN College, sebuah kolej penyedia kursus sains kesihatan.  Dengan memperoleh CGPA 3.86 disamping aktif dalam kegiatan pelajar, Nur Ezzati telah  dicalonkan sebagai salah seorang daripada penerima Anugerah Pingat Emas PPM.  Beliau tidak dapat menghadirkan diri dan Puan Balqis Suja’ dari perpustakaan UIAM menerima anugerah tersebut bagi pihak Nur Ezzati. 

 

Fadhilah Mat Nor yang berkelulusan Sarjana Muda Sains Perpustakaan di UiTM kampus Puncak Perdana pula diangkat sebagai penerima Anugerah Pingat Emas PPM 2016 bagi kategori Program Sarjana Muda Sains Perpustakaan (UiTM). Selain aktif dalam aktiviti kampus, Fadhilah juga cemerlang dalam akademik, pencapaian beliau yang memperoleh CGPA 3.71 telah melayakkannya tercalon sebagai penerima Anugerah Pingat Emas PPM 2016.

 

Mohd Jeffri Abu Hassan, penerima Anugerah Pingat Emas PPM 2016 bagi kategori Program Sarjana Muda Sains Perpustakaan (UNISEL) merupakan graduan UNISEL yang aktif dalam badan kepimpinan pelajar.  Selama beberapa penggal beliau terpilih sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar selain pernah menjawat jawatan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar pada tahun 2012. Penglibatan aktif tersebut tidak menghalang pencapaian cemerlang beliau dalam bidang akademik yang mengkagumkan: penerima Anugerah Pelajar Terbaik Exco Pendidikan Negeri Selangor bagi tahun 2016 dan tujuh Anugerah Dekan sepanjang pengajian diperingkat Diploma dan Ijazah dalam bidang Sains Perpustakaan di UNISEL.

 

Anugerah Pingat Emas PPM ini selain mengiktiraf pencapaian akademik yang cemerlang graduan Sains Perpustakaan, ianya juga sebagai satu wadah yang menjambatani industri dengan institusi pendidikan dan pelatihan bidang sains perpustakaan.  PPM sebagai badan ulung kepustakawanan Malaysia mengharapkan anugerah ini memberi motivasi kepada para mahasiswa yang bakal menjadi pelapis dalam bidang Sains Perpustakaan untuk menyumbang bakat dan usaha dalam memajukan kerjaya dan kepustakawanan melalui Perpustakaan di pelbagai agensi.

This slideshow requires JavaScript.

Posted in News from Malaysian Libraries, Recognitions

Karnival Sarawakiana : Warisan Budaya Tempatan

Oleh: Hayati Sabil, Pemangku Ketua Sektor Perkhidmatan Depositori, Pustaka Negeri Sarawak

 

Karnival Sarawakiana adalah program yang dianjurkan oleh Pustaka Negeri Sarawak dalam bentuk Karnival bagi menonjolkan warisan budaya tempatan Sarawak. Karnival ni dianjurkan untuk menarik minat semua lapisan masyarakat Sarawak untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

 

Karnival ini mula dianjurkan sejak tahun 2010 sempena dengan ulang tahun ke-10 Pustaka Negeri Sarawak dengan tema “1Warisan, 1Tradisi, 1Sarawak”. Ia seterusnya dianjurkan di Miri pada tahun 2011 dan 2015 dengan tema “Tradisi Kita, Khazanah Kita”. Pada tahun 2016, karnival ini dianjurkan sebagai acara tahunan di Miri dan Kuching bagi memberi impak yang lebih besar di Sarawak dengan mengekalkan tema “Tradisi Kita, Khazanah Kita”. Karnival Sarawakiana ini telah dilancarkan dan dimulakan di Pustaka Negeri Sarawak Miri pada 20 – 22 Mei 2016 bersempena dengan Miri May City Fest dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Pertandingan Bermukun, Pertandingan Nyanyian Lagu Tradisional, Pertandingan Masakan Tradisional, Demonstrasi Masakan Tradisional, Demonstrasi Tarian Tradisional dan sebagainya.

 

Acara kemuncak Karnival Sarawakiana ini diadakan di Pustaka Negeri Sarawak, Kuching pada 29 – 31 Oktober 2016. Majlis Penangguhan Karnival ini diadakan pada 31 Oktober 2016 dan disempurnakan oleh YB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin TunAbang Haji Openg, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan & Menteri Perumahan dan Urbanisasi.

 

Pelbagai program dan aktiviti menarik yang diadakan menjurus kepada warisan budaya tempatan negeri Sarawak seperti Pertandingan Hadrah, Permainan Mensia Marek, Ceramah/Pameran/Demonstrasi dan Jualan Keringkam, Gajah Olen, dan Songket Melayu Sarawak. Demonstrasi dan Jualan Kraftangan Sarawak, Demonstrasi Masakan Tradisional Sarawak, Pameran Seni Visual Para Artis Veteran dari era 20-an hingga 40-an juga dijalankan. Sesi Perkongsian Ilmu Seni bersama para artis terkenal Sarawak iaitu Raphael Scott Ahbeng dan Sylvester Jussem, Pameran dan Aktiviti Melakar bersama Urban Sketchers Kuching, Bengkel/Pameran dan Jualan Sape, Ceramah Baruk, Chinese Musical Performance dengan persembahan Bian Lian dan pertunjukan Opera Teo Chew turut dianjurkan. Anggaran peserta dan pengunjung Karnival Sarawakiana di Kuching pada tahun ini adalah seramai lebih kurang 3,000 orang dan jumlah ini dijangka akan meningkat pada tahun-tahun yang akan datang.

 

Objektif

Tujuan dan objektif mengadakan Kanival Sarawakiana adalah untuk menyokong pembudayaan ilmu dan wacana intelektual dalam bidang sejarah, kebudayaan, kesenian serta ilmu warisan tempatan Sarawak agar dapat:

  1. Mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan warisan budaya tempatan, sejarah dan kesenian masyarakat pelbagai etnik di negeri Sarawak serta menanam minat cintakan warisan budaya tempatan yang unik dan kaya dengan nilai-nilai teras kaum pribumi Sarawak serta memelihara identiti setempat sebagai rakyat Sarawak.
  2. Mempromosikan peranan Pustaka dan rakan-rakan bestari (smart partners) sebagai forum intelektual dan pusat pembelajaran sepanjang hayat.
  3. Memelihara dan membangunkan koleksi warisan budaya tempatan Sarawak melalui pembelian, hadiah (bequeath/donation) dan membina kandungan tempatan (local content) serta menyediakan akses kepada bahan-bahan tersebut kepada pengguna dan masyarakat global.
  4. Menyokong dan mencetuskan penyelidikan lanjut mengenai sejarah, kebudayaan, kesenian dan pengetahuan budaya tempatan.

 

Kepentingan Karnival Sarawakiana untuk rakyat Sarawak

Karnival Sarawakiana ini amat penting untuk rakyat Sarawak terutamanya generasi muda mengetahui dengan lebih lanjut mengenai warisan budaya tempatan Sarawak. Rakyat Sarawak harus menjadikan sumber-sumber maklumat yang tersedia dan program-program yang diadakan sebagai satu nilai tambah dalam pembelajaran sepanjang hayat untuk semua masyarakat menerokai ilmu seluas yang mungkin.

 

 

 

Peranan Pustaka Negeri Sarawak

Karnival Sarawakiana ini adalah salah satu dari usaha Pustaka untuk memartabatkan ilmu pengetahuan warisan budaya tempatan Sarawak yang unik dan memudahkan akses, termasuk menetapkan piawaian, meningkatkan kesedaran dan memantau kemajuan dalam membangun, memelihara dan menjadikan Pustaka dan seterusnya negeri Sarawak sebagai sebuah pusat kecemerlangan unggul berkaitan ilmu dan maklumat sejagat mengenai Sarawak atau “Sarawakiana”. Dengan adanya kesedaran mengenai kepentingan warisan budaya tempatan, Pustaka berharap mendapat kerjasama dan sokongan padu dari pelbagai pihak dan golongan masyarakat. sebagai sebuah perpustakaan negeri, Pustaka Negeri Sarawak tidak dapat bergerak atau bekerja secara sendirian tetapi memerlukan komitmen pelbagai pihak untuk melahirkan gedung ilmu yang berlandaskan warisan budaya tempatan yang unik serta masyarakat yang berbudaya membaca dan berpengetahuan.

 

Pustaka Negeri Sarawak juga berperanan untuk mendokumentasikan semua program dan aktiviti yang dianjurkan untuk dipelihara sebagai khazanah warisan negeri Sarawak agar ilmu tersebut terus berkekalan dan dapat digunakan oleh generasi akan datang.

Selain dari itu Pustaka juga ingin menyampaikan mesej kepada orang ramai serta menampilkan peranannya sebagai badan yang menerima sumbangan koleksi individu misalnya buku-buku, gambar, bahan nadir, manuskrip dan sebagainya bagi tujuan pemeliharaan dan penyelidikan bahan mengenai Sarawak.

Harapan Pustaka

Penganjuran Karnival Sarawakiana sebagai acara tahunan, bertindak sebagai landasan untuk Pustaka membentuk sinergi yang padu bersama-sama dengan rakan kongsi bestari di Sarawak, atau peringkat nasional mahupun global. Dengan sejarah yang unik, budaya dan komposisi etnik di Sarawak, Pustaka Negeri Sarawak bertindak sebagai pemangkin untuk mempamerkan, memelihara dan medokumentasikan sejarah, kebudayaan, kesenian dan pengetahuan tradisional/pribumi [Indigenous Knowledge (IK) dan Traditional Knowledge (TK)] di samping memelihara identiti Sarawak yang unik. Adalah diharapkan rakyat Sarawak akan bersama-sama memeriahkan karnival ini sebagai usaha menghargai budaya dan tradisi sendiri serta menjaga nilai-nilai murni dan kesepaduan rakyat untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran.

 

Posted in News from Malaysian Libraries, Recognitions

‘Pustaka In A Box’ Menjuarai Pertandingan Cabaran Inovasi Inklusif 2016, Zon Sarawak

Oleh: Japri Bujang Masli, Timbalan Ketua Pustakawan, Pustaka Negeri Sarawak

Pustaka In A Box, hasil inovasi bersama Pustaka Negeri Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), telah menjuarai Pertandingan Cabaran Inovasi Inklusif 2016 Zon Sarawak pada 19-20 Disember 2016. Produk inovatif ini dibangunkan dengan menggunakan Raspberry Pi, sebuah komputer mikro, dan mampu menyediakan perkhidmatan e-buku sehingga 50,000 judul dan 6,000 artikel ilmiah bagi kegunaan pelajar ataupun masyarakat awam yang lain. Pengguna boleh mengakses kesemua maklumat ini dengan menggunakan gajet masing-masing seperti netbook, tablet ataupun telefon pintar. Usaha sedang dijalankan untuk menambah koleksi ini dengan video serta koleksi tempatan lain yang bersesuaian. Kos pembangunannya hanyalah kira-kira RM300 dan jumlah maklumat yang mampu dibekalkan melalui Pustaka In A Box ini melebihi koleksi kebanyakan perpustakaan desa tradisional. Kos pembinaan sebuah perpustakaan desa menelan belanja kira-kira RM350,000 (tidak termasuk kos tanah) serta memerlukan peruntukan RM35,000 setahun bagi kos operasi.

Selain kosnya yang murah, Pustaka In A Box mampu merapatkan jurang digital khususnya bagi kawasan pedalaman dan juga kawasan-kawasan yang mengalami masalah liputan Internet yang lemah. Ianya juga mampu meluaskan akses kepada sumber maklumat bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Objektif pertandingan ini diadakan ialah untuk:
1. Mengenalpasti produk inovasi yang berkualiti tinggi, mampu dimiliki, dan boleh dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat di sekitar negeri masing-masing di seluruh Malaysia.
2. Memberikan pengiktirafan kepada produk inovasi dan inovator yang telah diperkenalkan dan dipertandingkan.
3. Membangunkan produk-produk yang berpotensi untuk dimajukan melalui Program Berimpak Tinggi 6 – Inovasi Inklusif di bawah SME’s Master Plan.
4. Merapatkan jurang akses kepada keperluan asas, pendidikan, kesihatan dan produkviti melalui produk inovasi inklusif.

Sebanyak 33 produk inovasi telah dipertandingkan iaitu 10 dalam Kategori Awam, 8 dalam Kategori IPTA/S dan 15 dalam Kategori Kerajaan/ Swasta.

Encik Japri Bujang wakil Pustaka Negeri Sarawak menerima hadiah sempena Pertandingan Cabaran Inovasi Inklusif 2016 Zon Sarawak
Encik Japri Bujang wakil Pustaka Negeri Sarawak menerima hadiah sempena Pertandingan Cabaran Inovasi Inklusif 2016 Zon Sarawak
Posted in Information Management Faculty, Recognitions, UiTM

Pelajar Seliaan Allyarham Prof Madya Dr Mohd Sahrif Mohd Saad Ijazah Peroleh Doktor Falsafah Sains Maklumat

Oleh : Prof Madya Fuziah Mohd Nadzar  

 

Encik Siri Sena Baba Hamid, seorang pensyarah di Institut Pendidikan Guru Darul Aman Kedah, telah mendaftar sebagai calon PhD di Fakulti Pengurusan Maklumat pada Januari 2012 dibawah seliaan Prof. Madya Dr. Mohd Sharif Mohd Saad sebagai penyelia utama dan Prof. Madya Fuziah Mohd Nadzar sebagai penyelia kedua (pakar subjek).  Kajian beliau Information Literacy and Final Year Trainee Teachers: Perceptions and Practices of the Research Process melibatkan guru pelatih di lima buah kampus Institut Pendidikan Guru di utara Malaysia.

 

Skop kajian mengkaji guru pelatih dan kertas projek akhir mereka yang berasaskan action-research. Penemuan kajian beliau membuktikan para responden tidak menunjuk kemahiran literasi maklumat dalam proses penyelidikan mereka secara sama rata di kesemua kampus. Penemuan kajian beliau dapat menyumbang kepada pihak Kementerian Pendidikan untuk menambah baik Agenda Literasi Kebangsaan Malaysia sebagai memenuhi Malaysian Higher Education Blueprint, 2015-2025

 

Pengalaman membentang kertas kerja di dalam dan di luar negara menjadi sangat bermakna pada Siri Sena apabila pihak Jawatankuasa Program UNESCO telah menerima Information Literacy Process Model beliau sebagai Model Literasi Maklumat yang ke-16 di Persidangan Eropah mengenai Literasi Maklumat (ECIL 2013) di Turki.  Namun, lebih kurang dua bulan selepas itu, Siri Sena berhadapan dengan keadaan yang amat menyedihkan.  Dengan kembalinya Prof. Madya Mohd Sharif ke Rahmatullah pada 9 Disember 2013, Siri Sena berhadapan dengan masalah untuk mendapat seorang penyelia utama bagi mengganti arwah Prof. Madya Dr. Mohd Sharif. 

 

Episod sedih yang amat mengejutkan itu juga mengakibatkan beliau melalui tempoh yang sukar dalam pengajiannya kerana kehilangan seorang penyelia dan mentor yang amat dihormati dan dikasihinya.  Walau pun demikian, akhirnya dengan izin Allah SWT, Siri Sena telah lulus viva voce pada Mac 2016 dan dianugerah Ijazah Doktor Falsafah Sains Maklumat dari UiTM pada 21 Oktober 2016 dan kini bergelar Dr. Siri Sena Baba Hamid.

This slideshow requires JavaScript.