UNIVERSITI MALAYSIA SABAH LANJUT MoU DENGAN KEDUTAAN AMERIKA SYARIKAT, BAHAGIAN PERHUBUNGAN AWAM

Oleh: En. Zawawi Tiyunin, Ketua Pustakawan UMS

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Perpustakaan UMS telah menandatangani perjanjian pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kedutaan Amerika Syarikat, Bahagian Perhubungan Awam untuk tempoh dua tahun lagi. Pemeterian itu berlangsung pada 26 Februari 2019 di American Corner, Perpustakaan UMS.
MoU berkenaan American Corner yang terletak di Perpustakaan UMS itu menyediakan perkhidmatan rujukan mengenai semua aspek tentang Amerika Syarikat dan telah menjadi salah satu rujukan utama bukan sahaja kepada warga UMS tetapi juga kepada masyarakat di negeri Sabah.

Pembaharuan MoU yang telah berlangsung sejak 2016 itu adalah sejajar dengan saranan Kementerian Pendidikan Malaysia agar universiti awam sentiasa bekerjasama dengan agensi luar dan antarabangsa. Selari dengan saranan ini, Perpustakaan UMS dan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun ini telah menjayakan pelbagai siri usaha dan aktiviti dengan melibatkan sumber kepakaran dari kedua-dua pihak.

Majlis pemeteraian pembaharuan MoU ini telah disempurnakan oleh Naib Cancelor UMS Ybhg. Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan disaksikan oleh Ketua Timbalan Pendaftar Mohd. Raffie Hj. Janau. Manakala, Kedutaan Amerika Syarikat diwakili oleh Bradly A. Hurst, Kaunselor Perhubungan Awam dan disaksikan oleh Penolong Hal Ehwal Kebudayaan Shanon Phang Yen Pin.

Selain UMS, American Corner turut bekerjasama dengan beberapa perpustakaan awam tempatan untuk menyediakan koleksi khas Amerika Syarikat kepada orang awam di Malaysia. Antaranya ialah American Corner yang terletak di perpustakaan awam di Kuala Lumpur, Melaka, Sarawak, Kedah, Pulau Pinang Seberang Jaya, George Town Pulau Pinang, Johor dan terbaharu Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Dari Kanan: Zawawi Tiyunin, Ketua Pustakawan; Mohd. Raffie Janau, Ketua Timbalan Pendaftar, Y.Bhg. Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, Naib Canselor UMS, Bradly A. Hurst, Kaunselor Perhubungan Awam dan Penolong Hal Ehwal Kebudayaan Shanon Phang Yen Pin, selepas selesai menandatangani perjanjian pembaharuan MoU.

Leave a comment