Program Kepimpinan dan Pembangunan Profesional Perpustakaan UKM

Oleh: Siti Wahida Amanullah, Pustakawan, Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM

Program Kepimpinan dan Pembangunan Profesional yang melibatkan semua pustakawan dan pegawai Perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan pada 15 hingga 16 Mei 2024 bertempat di Pusat Kepimpinan dan Latihan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kem Kongkoi, Negeri Sembilan. Program ini julung kali diadakan dengan kerjasama Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Profesional (PKPP) UPNM bertujuan untuk mengasah kemahiran kepimpinan, mengenali diri demi memperkukuh jati diri selain mengaplikasi semangat kesepakatan dan kerjasama dalam kalangan pemimpin serta mereka yang dipimpin bagi mencapai visi dan misi organisasi.

Program yang dikendali dibawah pimpinan Kol. Dr. Haji Zahimi Zainol Abidin (B), Pengarah PKPP, dan pasukan dimulakan dengan sesi pengenalan dan ice-breaking yang dibahagi kepada lima kumpulan yang melibatkan pelbagai gred dan tempoh perkhidmatan. Setiap kumpulan dibantu oleh seorang fasilitator yang akan mengatur strategi untuk menyelesaikan aktiviti seperti Pena Bersarang, Bantu Si Buta, Transfer Hula Hoop, dan Jangan Basahkan Aku. Aktiviti ini dilihat secara asasnya berjaya mewujudkan rasa santai dan membina keserasian untuk penyesuaian ahli kumpulan dan urusetia program.

Sesi kedua diteruskan dengan slot survival melalui pengisian aktiviti rewang bermula dengan penyembelihan ayam, pembersihan, penyediaan bahan masakan sehingga aktiviti memasak menu yang telah dibahagi kepada kumpulan secara cabutan undi. Kesemua peserta dilihat berganding bahu, berkongsi kelebihan dan kekurangan untuk menyiapkan juadah masing-masing. Melalui aktiviti ini bakat terpendam pustakawan dalam bidang masakan terserlah selain memupuk semangat kerjasama dan kepimpinan untuk memastikan semua ahli menjalankan tugas secara konsisten dan setara. Paling menarik kerana makan malam peserta bergantung kepada menu masakan aktiviti rewang dan setiap menu akan dinilai dari segi rasa, kebersihan termasuk persembahan hidangan. Antara menu yang disediakan dengan nama hidangan yang dihasilkan adalah Nasi Putih-Putih Melati, Ayam Merah Fabulous Five, Ayam Berempah Kasih Sayang, Sup Ayam Bawah Khemah, Sambal Tempe Senduk Bulat, Sambal Belacan Air Matamu, Sambal Kicap Berdesing, Ulaman Hijau Bumi Tuhan dan Sirap Limau Kongkoi.

Tanpa mengabaikan kewajipan sebagai seorang muslim, setiap slot akan disulamkan dengan solat secara berjemaah dan tazkirah ringkas dengan topik pengurusan masa dan muhasabah diri sebagai santapan rohani. Usai sesi perkongsian dan percambahan idea topik Team Building dan Team Learning (TBTL) dan Slot Amanat (Nasihat Kepimpinan) oleh Cik Rohaya Umar, Ketua Pustakawan UKM, program diteruskan dengan aktiviti Night Walk dan Jangan Pandang Belakang yang dinantikan oleh semua peserta. Pada awalnya, aktiviti ini hampir dibatalkan berikutan faktor cuaca yang dijangka akan membahaya peserta apabila hujan lebat, guruh dan kilat yang melanda bumi Kem Kongkoi.

Walau bagaimana pun, sekitar jam 11.00 malam, program diteruskan setelah mendapat kelulusan daripada pasukan keselamatan. Aktiviti dimulakan setelah semua peserta dihidang kopi panas dan penyampaian taklimat keselamatan. Berbekalkan kesuraman cahaya bulan, suasana kegelapan malam dilalui oleh semua peserta dengan penuh debaran, tanpa sedikit pun mengetahui tentang cabaran di hadapan. Bermula dengan cabaran mengharungi Titian Sirat dengan kelebaran sekitar 8 inci sepanjang 750 meter, semua peserta berjaya melepasi cabaran tersebut dengan bantuan dari segi saling memberi maklumat dan tips kepada rakan sepasukan dan sesama peserta. Cabaran ini memerlukan fokus yang tinggi selain kekuatan dalaman untuk keyakinan dan keberanian diri, memandangkan semua individu perlu berjalan sendiri, dalam jarak yang selamat untuk mengelakkan daripada terjatuh dalam paya atau kolam (keadaan malam yang gelap menyukarkan peserta untuk menjangka apa sebenarnya yang berada dibawah titian tersebut).

Kepuasan selepas mengharungi titian tidak berakhir pada malam itu kerana semua peserta akan dilepaskan secara bersendirian dalam kepekatan malam di pinggir hutan Kem Kongkoi yang berbukit untuk ke tapak khemah bagi meneruskan aktiviti pendengaran malam. Tidak dapat dinafikan rasa ketakutan dan kebimbangan yang bersarang dalam hati, cabaran ditempuhi peserta dengan panduan daripada urusetia supaya menghayati suasana kegelapan mengguna deria pendengaran selain doa supaya selamat sampai ke destinasi. Sungguh pun begitu, pengalaman itu sangat berharga untuk mengisi pengalaman dan perjalanan kerjaya seorang pustakawan yang selama ini sekadar berhadapan dengan kesunyian dalam perpustakaan.

Membuka tirai, program hari kedua dimulakan dengan solat subuh berjemaah dan tazkirah ringkas berkenaan hikmah Surah Al-Fatihah, Surah Al-Asr serta panduan solat jamak dan qasar. Seawal jam 7.30 pagi, peserta berkumpul untuk senaman pagi yang memberi kelonggaran kepada ketegangan peserta. Senaman pagi ini diketuai oleh Tuan Haji Sofian Harun, Komandan Kem Kongkoi, yang turut berkongsi pengalaman beliau sepanjang berkecimpung dalam arena ketenteraan.

Program diteruskan dengan slot Flying Fox yang menjadi kegusaran peserta tentang kebolehan dan kemampuan diri masing-masing untuk merasai pengalaman ini. Berpandukan keyakinan terhadap taklimat keselamatan yang dikendali oleh Encik Tibrani Yim, Jurulatih Kem Kongkoi, kem tersebut menjadi saksi hampir kesemua pustakawan UKM dengan pelbagai gaya dan jeritan kepuasan berjaya melepasi cabaran flying fox merentasi tasik kem sepanjang 300 meter pada ketinggian menara setinggi enam tingkat. Pada hari terakhir ini juga, peserta melepasi sesi Explorace sebagai dorongan tenaga terakhir dengan mendepani cabaran seperti tempur halangan dan aktiviti yang melibatkan strategi berkumpulan.  

Sebelum bersurai, slot khas berkenaan pengurusan stress dan perubatan Islam telah diadakan dengan perkongsian oleh Lt. Kol. Prof. Madya Dr. (Ust) Haji Daud Haji Mohamed Salleh (B), Pengarah Pusat Islam UPNM. Majlis penutup program dijalankan dengan sesi rumusan dan maklum balas peserta juga urusetia, selain meraikan pencapaian semua peserta menerusi majlis penghargaan dan penyampaian hadiah kepada setiap kumpulan. Peserta Terbaik Kem diungguli oleh Encik Abdul Muhaimin Sabron (Kategori Lelaki) dan Puan Rohalia Mohd Rohani (Kategori Wanita).  

Program kepimpinan Kem Kongkoi telah membawa keseronokan, pengalaman, dan pembelajaran baharu kepada setiap peserta, meninggalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan malahan mewujudkan semangat setia kawan dalam kalangan pustakawan UKM dan juga urusetia UPNM. Mudahan berjumpa lagi untuk program akan datang, Insyallah.

* Maklumat rujukan lisan diperoleh daripada Encik Muhammad Safwan Jaafar, Penolong Pegawai Tadbir, PKPP UPNM.

Leave a comment