Posted in Events, News from Malaysian Libraries

Jom Baca Bersama Selama 10 Minit 2016 Meriah di Sarawak

Oleh : Japri Bujang Masli (Pengerusi PPM Kumpulan Sarawak)

 

Program Jom Baca Bersama Selama 10 Minit 2016 atau lebih dikenali dengan Lan Baca 2016 di Sarawak, telah dilaksanakan dengan jayanya pada 25 April 2016 yang lepas. Tarikh ini dipilih supaya bersamaan ataupun berhampiran dengan tarikh sambutan “World Book and Copyrights Day 2016”.  Pengerusi Lembaga Pengurusan, Pustaka Negeri Sarawak, Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Haji Hamid Bugo telah hadir sama bagi menyempurnakan majlis tersebut.

 

Program ini merupakan inisiatif Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia yang dipengerusikan oleh Puan Hajah Rashidah Haji Bolhassan. Tahun ini merupakan kali ke-3 program Jom Baca dilaksanakan dengan serentak di seluruh negara. Pendekatan ini sama seperti sambutan “Earth Hour” tetapi ianya dilakukan serentak di seluruh dunia. Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai pentingnya amalan budaya membaca dalam pembentukan masyarakat yang maju dan berilmu.

 

Semua sekolah, jabatan kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah dijemput untuk bersama-sama menjayakan kempen memupuk budaya membaca ini dengan membaca serentak selama 10 minit tepat jam 11:00 sehingga 11:10 pagi. Penyertaan bagi program Jom Baca Bersama Selama 10 Minit 2016 Peringkat Negeri Sarawak telah berjaya mencapai seramai 139,112 orang yang mana 137,632 adalah terdiri daripada murid-murid sekolah. Jumlah penyertaan bagi seluruh Malaysia berjaya melepasi 4 juta orang berbanding hanya 2.54 juta orang pada tahun 2015. Peningkatan jumlah penyertaan ini menunjukkan kesedaran mengenai kepentingan amalan membaca juga telah bertambah. Walau bagaimanapun, penyertaan oleh orang awam selain pelajar masih perlu dipertingkatkan agar membaca akan benar-benar menjadi budaya masyarakat kita dan bukan hanya dilakukan sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan.

This slideshow requires JavaScript.

.