MALAYSIAN ONLINE E-RESOURCES CONSORTIUM (MOLEC)

Oleh : Zainun Mat Nor, Setiausaha MOLEC (Timbalan Ketua Pustakawan UNIMAS)

Malaysian Online E-Resources Consortium (MOLEC) merupakan konsortium sumber elektronik atas talian Malaysia. Sebelum ini ia dikenali sebagai  Jawatankuasa Kecil Pangkalan Data Komersial (JKKPDK) dan ditubuh pada 2000 di bawah  Projek Sistem Perpustakaan Digital Negara (PERDANA).

 

Pada 2007, JKKPDK telah bertukar nama kepada Jawatankuasa Pangkalan Data Komersial (JKPDK) dan seterusnya pada Mesyuarat bertarikh 17 Mac 2010, di Perpustakaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ianya telah dijenama semula  kepada Konsortium Sumber Elektronik Atas Talian Malaysia atau Malaysian Online E-Resources Consortium (MOLEC).  Penjenamaan semula ini selaras dengan hasrat untuk mengangkat Jawatankuasa tersebut ke tahap global dengan visi sebagai sebuah konsortium kebangsaan melalui pengoptimuman  sumber ke arah kecemerlangan ilmu. Seiring dengan perkembangan semasa dan memenuhi kehendak pemegang taruh, misi MOLEC juga telah dimantapkan dengan memastikan perolehan dan penggunaan sumber elektronik dilaksana dengan cekap dan berkesan berdasar kepada pulangan atas pelaburan (ROI).

 

Objektif penubuhan MOLEC adalah untuk:

  1. menyumbang kepada pembangunan dasar perolehan sumber  elektronik, tertakluk kepada pekeliling sedia ada
  2. melaksana proses rundingan langganan dan pembelian dengan pembekal dan/atau penerbit
  3. melestari dasar perkongsian sumber  maklumat dalam kalangan ahli

 

Governan

  • Keahlian

Keahlian terbuka kepada Perpustakaan Negara Malaysia, perpustakaan universiti awam, perpustakaan universiti GLC  dan perpustakaan agensi kerajaan. Pusat Sitasi Malaysia bertindak sebagai wakil KPT bagi menasihati MOLEC mengenai dasar dan polisi Kementerian.

 

  1. Ketua Pustakawan/Ketua Jabatan/Ketua Perpustakaan akan melantik seorang ahli tetap sebagai wakil MOLEC.
  2. Ketua Pustakawan/Ketua Jabatan/Ketua Perpustakaan disyorkan melantik pustakawan yang mengendali perolehan sumber elektronik sebagai ahli MOLEC.
  3. Ahli bertanggungjawab untuk menghadiri mesyuarat atau menghantar wakil.
  4. Ahli bertanggungjawab memberi sumbangan idea, buah fikiran dan mengambil tindakan susulan di atas perkara yang dibincang dan dipersetujui dalam mesyuarat.
  5. Mana-mana ahli boleh dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa Kerja. Pemilihan ahli Jawatankuasa adalah berdasarkan persetujuan ahli mesyuarat.
  6. Ahli bertanggungjawab untuk melapor perkembangan mesyuarat MOLEC kepada Ketua Pustakawan/Ketua Jabatan/Ketua Perpustakaan masing-masing.
  7. Jika ahli mesyuarat tidak hadir mesyuarat tanpa alasan sebanyak tiga kali berturut-turut, Pengerusi MOLEC akan mengeluarkan surat peringatan kepada Ketua Pustakawan / Ketua Perpustakaan / Ketua jabatan masing-masing

Sekretariat

Sekretariat MOLEC terdiri daripada:

a) Pengerusi yang dilantik oleh PERPUN:

  1. Encik Mohammed Dzulkarnain bin Abdul Karim, UPNM : Oktober 2017 – kini
  2. Puan Margaret Simeng, UNIMAS : Mei 2015 – 3 Oktober 2017
  3. Dr Nor Edzan Haji Che Nasir, UM : Disember 2010 – April 2015
  4. Puan Noraini Ismail, UIAM : September 2007 – November 2010
  5. Prof. Madya Syed Salim Agha, UIAM : Mei 2006 – Ogos 2007
  6. Puan Putri Saniah Megat Abdul Rahman, UKM: Mac 2000 – April 2006

 

b)  Setiausaha yang dilantik oleh Pengerusi MOLEC:

  1. Encik Ahmad Abdul Wafi Bin Abd Karim, UPNM : Oktober 2017 – kini
  2. Puan Zainun Mat Nor, UNIMAS : Mei 2015 – 3 Oktober 2017
  3. Cik Sutarmi Kasimun, UM : Disember 2010 – April 2015
  4. Puan Noorhasimah Aris, UIAM : September 2007 – November 2010
  5. Puan Noraini Mukhtar, UIAM: Mei 2006 – Ogos 2007
  6. Puan Hafsah Mohd, UKM : Mac 2000 – April 2006

 

Fungsi MOLEC

Perolehan Sumber Elektronik Atas Talian

  1. Menjadi sumber rujukan bagi tujuan perolehan sumber elektronik dalam kalangan ahli melalui pewujudan satu platform yang komprehensif berkaitan pengurusan perolehan sumber elektronik.
  2. Melaksana rundingan secara berkumpulan bagi mendapat harga terbaik seterusnya mengurangkan kos langganan oleh ahli.
  3. Memasti rundingan pakej/harga dipersetujui dan diterima oleh semua ahli.

               

Pengurusan Langganan Sumber Elektronik Atas Talian

  1. Menyedia templet perjanjian lesen kontrak dan mengemaskini senarai semak perjanjian untuk semua ahli berdasarkan nasihat daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang.

 

Perkongsian Sumber Maklumat

  1. Pembangunan sumber elektronik mengikut niche area atau teras universiti/institusi, tertakluk kepada keperluan universiti/institusi .
  2. Penyediaan senarai langganan mengikut niche area.
  3. Pengemaskinian dan pemantapan Senarai Induk Langganan oleh ahli.

 

Latihan

Pemantapan pengetahuan dan kompetensi ahli melalui latihan secara komprehensif.

Antara kemahiran yang perlu bagi ahli ialah:

  • Rundingan
  • Pengurusan langganan
  • Perhubungan awam
  • Pengurusan risiko
  • Penilaian Return of Investment

Perkongsian pintar dengan agensi berkaitan penganjuran kursus, antaranya AKEPT, PSM, PNM dan PPM.

 

Sehingga 3 Oktober 2017, hasil kerjasama semua ahli, MOLEC telah berjaya menggubal beberapa Garis Panduan dan Senarai Semak sebagai rujukan ahli. Antaranya ialah Garis Panduan Perolehan Sumber Maklumat Elektronik, Garis Panduan Rundingan Harga/Kajian Pasaran Sumber Maklumat Elektronik dan  Checklist Of Points To Be Addressed In A License Agreement Between Malaysian Subscribers And Providers Of Commercial Databases. Kesemua Garis Panduan dan Senarai semak ini adalah dalam peringkat penilaian oleh Majlis Ketua Pustakawan sebelum disahkan untuk digunapakai oleh semua ahli.

 

Mesyuarat terkini yang dilaksana oleh MOLEC ialah Mesyuarat Khas Bil. 1/2017 pada 3 Oktober 2017, di UPNM. Agenda utamanya ialah perbincangan langganan sumber ilmu elektronik bagi 2018. Tujuan rundingan langgganan adalah untuk mendapat harga yang sama dan optimum bagi sumber maklumat elektronik yang dilanggan oleh sekurang-kurangnya lima ahli MOLEC. Dalam mesyuarat pada kali ini, sebanyak 11 sumber maklumat elektronik telah melalui proses rundingan langganan, iaitu ACM Digital Library, IEEE Xplore, ASME, SpringerLINK, Ebrary, Emerald, ScienceDirect, Westlaw, Taylor & Francis Journals, LexisNexis dan CLJ Law.

 

Mesyuarat Khas tersebut juga menyaksikan penyerahan tugas sebagai Pengerusi MOLEC daripada Puan Margaret Simeng, Ketua Pustakawan UNIMAS yang akan bersara pada 12 Oktober 2017, kepada Encik Mohammed Dzulkarnain bin Abdul Karim, Ketua Pustakawan UPNM. Dalam ucapannya, Puan Margaret menyeru semua ahli supaya terus memberi komitmen kepada inisiatif yang dilaksana oleh MOLEC dan meneruskan kecemerlangan konsortium ini.

Mesyuarat MOLEC pertama yang dipengerusikan oleh Puan Margaret Simeng, Ketua Pustakawan UNIMAS di UNIMAS pada 21 September 2015
molec3
Mesyuarat Khas MOLEC  yang dipengerusikan oleh Ketua Pustakawan UNIMAS di UPNM pada 3 Oktober 2017
Ahli-ahli MOLEC dari universiti awam di Malaysia
Penyerahan fail MOLEC oleh Puan Margaret Simeng, Ketua Pustakawan UNIMAS kepada Encik Mohammed Dzulkarnain Abdul Karim Ketua Pustakawan UPNM sebagai simbolik penyerahan tugas sebagai Pengerusi MOLEC
Advertisements