Posted in Events, News from Malaysian Libraries

Jom Baca Bersama Selama 10 Minit 2016 Meriah di Sarawak

Oleh : Japri Bujang Masli (Pengerusi PPM Kumpulan Sarawak)

 

Program Jom Baca Bersama Selama 10 Minit 2016 atau lebih dikenali dengan Lan Baca 2016 di Sarawak, telah dilaksanakan dengan jayanya pada 25 April 2016 yang lepas. Tarikh ini dipilih supaya bersamaan ataupun berhampiran dengan tarikh sambutan “World Book and Copyrights Day 2016”.  Pengerusi Lembaga Pengurusan, Pustaka Negeri Sarawak, Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Haji Hamid Bugo telah hadir sama bagi menyempurnakan majlis tersebut.

 

Program ini merupakan inisiatif Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam SeMalaysia yang dipengerusikan oleh Puan Hajah Rashidah Haji Bolhassan. Tahun ini merupakan kali ke-3 program Jom Baca dilaksanakan dengan serentak di seluruh negara. Pendekatan ini sama seperti sambutan “Earth Hour” tetapi ianya dilakukan serentak di seluruh dunia. Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai pentingnya amalan budaya membaca dalam pembentukan masyarakat yang maju dan berilmu.

 

Semua sekolah, jabatan kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah dijemput untuk bersama-sama menjayakan kempen memupuk budaya membaca ini dengan membaca serentak selama 10 minit tepat jam 11:00 sehingga 11:10 pagi. Penyertaan bagi program Jom Baca Bersama Selama 10 Minit 2016 Peringkat Negeri Sarawak telah berjaya mencapai seramai 139,112 orang yang mana 137,632 adalah terdiri daripada murid-murid sekolah. Jumlah penyertaan bagi seluruh Malaysia berjaya melepasi 4 juta orang berbanding hanya 2.54 juta orang pada tahun 2015. Peningkatan jumlah penyertaan ini menunjukkan kesedaran mengenai kepentingan amalan membaca juga telah bertambah. Walau bagaimanapun, penyertaan oleh orang awam selain pelajar masih perlu dipertingkatkan agar membaca akan benar-benar menjadi budaya masyarakat kita dan bukan hanya dilakukan sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan.

This slideshow requires JavaScript.

.

Advertisements
Posted in Events, MPAM, News from Malaysian Libraries

PROGRAM JOM BACA BERSAMA UNTUK 10 MINIT MENINGKAT KEPADA 60% PENYERTAAN BAGI TAHUN 2016

Oleh

Zawawi Tiyunin (UMS) dan,

Hjh Siti Sumaizan Ramli (UPSI)

Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit atau Let’s Read Together for 10 Minutes merupakan program tahunan bermula tahun 2014. Ia merupakan inisiatif Perpustakaan di Malaysia untuk bersama-sama meningkatkan tabiat atau budaya membaca di kalangan masyarakat. Ini penting dalam aspek life long learning dan melahirkan rakyat Malaysia sebagai masyarakat membaca dan berilmu pengetahuan.

Untuk tahun 2016, program ini telah dilaksanakan serentak di seluruh negara pada 25 April 2016 (Isnin) dari jam 11.00 pagi hingga 11.10 pagi. Ketetapan ini telah dipersetujui oleh Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dengan konsep Berhenti Sebentar dan Membaca Bersama Selama 10 Minit.

Statistik menunjukkan jumlah penyertaan untuk tahun 2016 adalah seramai 4,250,076 penyertaan. Jumlah ini telah meningkat hampir 60% iaitu sebanyak 1,707,437 penyertaan jika dibandingkan pada tahun 2015. Untuk tahun 2015 jumlah penyertaan adalah 2,542,639 dan 2,500,050 pada tahun 2014. Negeri Selangor, Johor dan Pulau Pinang mencatatkan penyertaan tertinggi iaitu melebihi 500,000 orang yang berjaya membaca secara serentak. Sementara Negeri Kedah, Perlis dan Kelantan mencatatkan penyertaan kurang dari 100,000 orang.

Penglibatan rakyat Malaysia dalam program ini telah menunjukkan peningkatan dari peringkat se awal boleh bertutur iaitu dua tahun. Sasaran pembaca meliputi pra sekolah, sekolah-sekolah, kakitangan awam dan semua agensi kerajaan, pusat pengajian tinggi awam dan swasta, badan-badan korporat dan GLC, kakitangan swasta atau syarikat, persatuan dan NGO, pengguna perpustakaan awam, akademik dan khusus, pusat membeli-belah serta individu atau orang perseorangan di seluruh negara.

Perpustakaan di Malaysia mampu menjalinkan kerjasama dalam menghasilkan inisiatif membaca yang bernilai tinggi bersama Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri yang disokong oleh Kerajaan Negeri. Kini ‘Membaca 10 Minit’ diberi keutamaan yang sama seperti sambutan hari-hari penting di peringkat kebangsaan.

Program membaca ini telah berjaya mencetuskan fenomena memupuk minat membaca  di kalangan masyarakat dan ahli perpustakaan di seluruh Malaysia. Program ini sangat relevan dalam kehidupan masyarakat masa kini dan memartabatkan pustakawan sebagai warga pendidik di peringkat sekolah, kolej dan universiti.

 

RUJUKAN

Majlis Pengarah-pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (2016). Laporan

Perlaksanaan Program Let’s Read Together for 10 Minutes.

Rangkuman Penuh Bergambar

This slideshow requires JavaScript.