Posted in Charity, News from Malaysian Libraries, PPM

Kempen Membaca Sempena Program NILAM di Sekolah Taman Daya, Johor Bahru

Oleh:     Noraziah Sharuddin

Timbalan Ketua Pustakawan UTM merangkap

Pengerusi PPM Kumpulan Selatan

 

Pada 3 April 2016, bertempat di Sekolah  Menengah  Taman Daya, Johor Bahru, Pengerusi PPM Kumpulan Selatan telah menyampaikan ceramah mengenai kepentingan membaca kepada pelajar sekolah tersebut. Ceramah yang disampaikan adalah sempena perasmian Program NILAM yang disempurnakan oleh Ketua Pustakawan, Perpustakaan UTM, Dr. Kamariah Nor Mohd Desa.  Selain dari menyampaikan ceramah, Pengerusi PPM Kumpulan Selatan telah juga mengadakan kuiz ringkas mengenai kepentingan membaca dengan memberi hadiah sumbangan peribadi beliau berupa  buku kepada pemenang kuiz. Beliau juga telah mencadangkan supaya pihak sekolah mengadakan Sesi Berkongsi Keseronokan Membaca Buku sesama pelajar di sekolah tersebut.

selatankuiz1

 

Advertisements
Posted in Charity, Events, News from Malaysian Libraries, PPM

Bantuan Bahan Bacaan Untuk Masyarakat Orang Asli di Kluang, Johor

Oleh:     Noraziah Sharuddin

Timbalan Ketua Pustakawan UTM merangkap

Pengerusi PPM Kumpulan Selatan

 

Keperluan masyarakat minoriti orang asli terhadap bahan bacaan perlu diberi perhatian oleh pustakawan dalam memastikan mereka tidak ketinggalan dalam mendapatkan akses kepada bahan bacaan berkualiti. Selaras dengan hasrat  tersebut, PPM Kumpulan Selatan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru (PPD JB) serta Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berusaha mengumpul koleksi bahan bacaan untuk disumbangkan kepada Pusat Sumber, Sekolah Kebangsaan Punan, Kluang, Johor. Pusat sumber  sekolah yang terletak di perkampungan orang asli ini  memerlukan  koleksi yang bukan sahaja untuk keperluan  murid-murid sekolah tersebut tetapi juga untuk digunakan oleh penduduk orang asli sekitarnya.

 

PPM Kumpulan Selatan telah melancarkan kutipan buku terpakai serta baharu bersesuaian dengan keperluan murid sekolah serta masyarakat setempat berjumlah hampir 200 judul buku.  Sumbangan  telah disampaikan pada 13 Mac 2016 kepada guru yang  mewakili PPD JB  untuk disalurkan  ke Pusat Sumber tersebut. Semoga usaha murni PPM Kumpulan Selatan ini dapat sedikit sebanyak membantu meningkatkan koleksi Pusat Sumber tersebut serta meningkatkan minat membaca dalam kalangan masyarakat orang asli setempat.

 

slide1

Posted in Events, News from Malaysian Libraries, PPM

JOM BACA BAH DI SABAH MERIAH

Oleh:

Yunis Helena Rojin (Pustakawan, PNS)

Zawawi Tiyunin (Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, UMS)

Program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit Peringkat Negeri Sabah telah berlangsung pada 25 April 2016 di seluruh negeri Sabah. Program tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Puan Janet K.L. Chee, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna mewakili Yang Berhormat Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna. Sesi Webinar secara lintas langsung juga telah diadakan bersama Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) Wilayah Tawau dan telah dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Anita Baranting Pembantu Menteri Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna.

Program Jom Baca di Sabah telah dipengerusikan oleh Encik Wong Vui Yin, Pengarah PNS dengan kerjasama tujuh agensi iaitu PPM Kumpulan Sabah, Universiti Malaysia Sabah, Politeknik Kota Kinabalu, Yayasan Sabah, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. Penyertaan program kali ini amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 103,582 peserta dari seluruh negeri Sabah. Penyertaan meriah dilihat di peringkat institut pendidikan dengan 94,801 peserta, PNS dengan 5,999 peserta, perpustakaan akademik dengan 2,403 peserta dan jabatan kerajaan dengan 379 peserta. Program kali ini telah berjaya menarik lebih ramai penyertaan di Sabah. Semoga program ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan pembaca dan tabiat membaca di Sabah.

This slideshow requires JavaScript.

Posted in Events, Librarians, PPM

Memantapkan Literasi Maklumat Untuk Pengguna

Oleh : Shamsiah Abu Bakar (Pustakawan Kanan, UM)

Limpahan maklumat sedia ada menyukarkan proses pencarian maklumat secara berkesan. Sehubungan dengan itu, mereka yang mencari maklumat perlu diperkenalkan kepada proses yang terlibat dalam pencarian maklumat melalui kaedah literasi maklumat. Dengan cara ini, maklumat yang diperolehi dapat digunakan dengan cara lebih berkesan.

Perpustakaan Universiti Malaya (UM) dan Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) telah menganjurkan Bengkel TOT Literasi Maklumat selama dua hari, dari 26 hingga 27 Oktober 2016 bertempat di Perpustakaan UM. Bengkel ini telah mengenengahkan konsep pencarian maklumat, sumber maklumat dan kitaran maklumat. Selain daripada itu kepentingan sumber maklumat asas seperti kamus, ensiklopedia, direktori, almanak dan sebagainya juga diberi penekanan. Bagi memudahkan kefahaman, latihan secara hands-on juga diadakan untuk kaedah pencarian melalui katalog atas talian perpustakaan, pangkalan data dalam talian dan Web.

Kesemua peserta telah melalui Bengkel ini dengan baik dan pada masa akan datang penganjuran bengkel sebegini akan diadakan lagi dengan memberi penekanan kepada kaedah penilaian maklumat.

 

This slideshow requires JavaScript.