Posted in Librarians, Malaysia, News from Malaysian Libraries, Recognitions

Datin Che Normadiah Tokoh Teknologi Pendidikan dan Pembestarian Sekolah Negeri Johor 2016

Oleh : Anis Isnaizah MD Hariri, Pegawai Teknologi Pendidikan, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Johor

 

Anugerah Kecemerlangan Teknologi Pendidikan dan Pusat Sumber Sekolah diadakan bertujuan untuk mengiktiraf dan menghargai usaha dan pencapaian warga pendidik dan pentadbir yang telah berusaha untuk membudaya dan melestarikan teknologi pendidikan dan pembestarian di peringkat sekolah. Pengiktirafan dan penghargaan yang menyeluruh bermula daripada Amalan Terbaik Pengajaran dan Pembelajaran serta Pengurusan dan Pentadbiran sehinggalah kepada penglibatan warga sekolah di dalam pertandinga anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia, FrogAsia Foundation dan lain-lain. Dengan adanya  pengiktirafan dan penghargaan seperti ini akan membantu merangsang dan memberi inspirasi kepada warga pendidik untuk melestarikan teknologi pendidikan dan pembestarian di sekolah. Anugerah ini telah disampaikan oleh En. Md Buang Saibani, Ketua Sektor, Sektor Penilaian Dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri Johor selaku wakil rasmi Pengarah Pendidikan Johor. Turut hadir bersama mengiringi beliau pada majlis penganugerahan tersebut adalah suami beliau, Brig. General (B) Dato’ Roslan Bin Abdul Rashid.

 

Pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Teknologi Pendidikan dan Pusat Sumber Sekolah Peringkat Negeri Johor 2016 anjuran Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang telah berlangsung pada 6 Disember 2016 bertempat di Dewan SJK(C) Chong Hwa 2, Kluang Johor, Datin Che Normadiah binti Hj. Che Abbas telah dinobatkan sebagai Tokoh Teknologi Pendidikan Dan Pembestarian Sekolah Negeri Johor 2016.

 

Datin Che Normadiah merupakan Mantan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Johor yang telah bersara pada 6 Julai 2016. Beliau dilahirkan di Ipoh dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah dan Menengah Raja Perempuan Ipoh. Beliau seterusnya memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim untuk memulakan kerjayanya sebagai seorang guru dan berjaya muncul sebagai Penuntut Terbaik Keseluruhan dengan keputusan Cemerlang pada 1977.

 

Dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan kelayakan di dalam kerjayanya, beliau diberi peluang untuk mengikuti Kursus Sijil Perguruan Khas dalam Teknologi Pendidikan di Maktab Perguruan Ilmu Khas Cheras pada 1988, mengikuti Kursus Diploma Pengurusan Pusat Sumber Sekolah di Institut Perguruan Darul Aman pada 1997 dan Sarjana Muda Pendidikan dalam Pengurusan Pusat Sumber di Universiti Teknologi MARA pada 1999. Beliau juga telah mengikuti Program Sarjana Sains dalam bidang Pengurusan Maklumat di Universiti Teknologi MARA pada 2003.

 

Dengan pengetahuan dan pengalaman yang ada padanya, beliau telah dilantik sebagai Jurulatih Eksekutif oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2005 semasa beliau bertugas di Johor. Beliau telah berkongsi kepakaran dalam Pengurusan Pusat Sumber Sekolah, Pengurusan Maklumat, Pengendalian Majlis Rasmi, Protokol dan Keterampilan Diri serta menjadi fasilitator untuk kem motivasi kecemerlangan murid-murid sekolah rendah dan menengah. Beliau juga mewakili Malaysia sebagai Regional Associate untuk Persidangan International Association of School Librarianship (IASL).

 

Di sepanjang kerjayanya sebagai seorang pendidik, Datin Che Normadiah telah menerima beberapa penganugerahan. Antaranya Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pendidikan 1990, Guru Cemerlang Wilayah Persekutuan 1991, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPM 1992 dan 1993, Guru Inovatif Negeri Kedah 1994 dan lantikan Guru Cemerlang Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai Guru Pakar dalam Bahasa Inggeris pada 1995. Semasa di Universiti Teknologi MARA , beliau telah menerima Anugerah Dekan pada 1998. Pada 2004 dan 2009 beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelajaran Malaysia.

 

Sepanjang memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Johor, beliau banyak mempelopori usaha ke arah penggunaan teknologi dalam pendidikan seperti terlaksananya Program Frog Classroom Makeover atau CRMO, memastikan Johor sentiasa selangkah di hadapan dalam pengurusan teknologi pendidikan dan juga pembudayaan Program Membaca ke seluruh sekolah Johor. Setelah bersara beliau kini masih bergiat aktif sebagai Pengerusi Tetap Pusat Sumber Sekolah Persatuan Perpustakaan Malaysia.

 

This slideshow requires JavaScript.