PPM iktiraf pelajar cemerlang

Oleh: Harith Faruqi Sidek & Azlan Hamzah, Kumpulan Editor, Berita PPM (Pustakawan Kanan, UKM)

 

Bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) 2016/2017 pada 27 Mac 2017 yang lalu, seramai empat orang mahasiswa cemerlang dalam bidang sains perpustakaan telah dianugerahi dengan Anugerah Pingat Emas PPM. Mesyuarat Agung yang berlangsung di Auditorium Universiti Islam Malaysia itu telah dirasmikan oleh Presiden UIM, Tan Sri Dr. Yusof Noor yang turut menyampaikan Anugerah Pingat Emas PPM 2016 berkenaan. Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Selangor (UNISEL) berpeluang mencalonkan penerima bagi kategori peringkat ijazah manakala Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencalonkan seorang penerima bagi kategori peringkat lepasan ijazah.

 

Senarai penerima mengikut kategori adalah:

  1. a) Disertasi Terbaik Sarjana Sains Perpustakaan (UM)

    — Goh Sok Boon

  1. b) Program Sarjana Sains Perpustakaan (UIAM)

    — Nur Ezzati binti M. Taib

  1. c) Progam Sarjana Muda Sains Perpustakaan (UiTM)

    — Fadhilah binti Mat Noor

  1. d) Program Sarjana Muda Sains Perpustakaan (UNISEL)

    — Mohd. Jeffri bin Abu Hassan

 

Penerima Anugerah Pingat Emas PPM 2016 bagi kategori Disertasi Terbaik Sarjana Sains Perpustakaan iaitu Goh Sok Boon kini berkhidmat sebagai Pustakawan di Perpustakaan Pengajian Asia Timur, Universiti Malaya. Disertasi beliau yang mendapat pengiktirafan berkenaan berjudul “An Assessment of leadership qualities required among academic librarians”, dihasilkan sebagai syarat bergraduat peringkat sarjana dalam bidang Sains Perpustakaan dari Universiti Malaya.

 

Bagi kategori Program Sarjana Sains Perpustakaan pula, penerimanya, Nur Ezzati M. Taib kini baru memulakan kerjaya di ICAN College, sebuah kolej penyedia kursus sains kesihatan.  Dengan memperoleh CGPA 3.86 disamping aktif dalam kegiatan pelajar, Nur Ezzati telah  dicalonkan sebagai salah seorang daripada penerima Anugerah Pingat Emas PPM.  Beliau tidak dapat menghadirkan diri dan Puan Balqis Suja’ dari perpustakaan UIAM menerima anugerah tersebut bagi pihak Nur Ezzati. 

 

Fadhilah Mat Nor yang berkelulusan Sarjana Muda Sains Perpustakaan di UiTM kampus Puncak Perdana pula diangkat sebagai penerima Anugerah Pingat Emas PPM 2016 bagi kategori Program Sarjana Muda Sains Perpustakaan (UiTM). Selain aktif dalam aktiviti kampus, Fadhilah juga cemerlang dalam akademik, pencapaian beliau yang memperoleh CGPA 3.71 telah melayakkannya tercalon sebagai penerima Anugerah Pingat Emas PPM 2016.

 

Mohd Jeffri Abu Hassan, penerima Anugerah Pingat Emas PPM 2016 bagi kategori Program Sarjana Muda Sains Perpustakaan (UNISEL) merupakan graduan UNISEL yang aktif dalam badan kepimpinan pelajar.  Selama beberapa penggal beliau terpilih sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar selain pernah menjawat jawatan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar pada tahun 2012. Penglibatan aktif tersebut tidak menghalang pencapaian cemerlang beliau dalam bidang akademik yang mengkagumkan: penerima Anugerah Pelajar Terbaik Exco Pendidikan Negeri Selangor bagi tahun 2016 dan tujuh Anugerah Dekan sepanjang pengajian diperingkat Diploma dan Ijazah dalam bidang Sains Perpustakaan di UNISEL.

 

Anugerah Pingat Emas PPM ini selain mengiktiraf pencapaian akademik yang cemerlang graduan Sains Perpustakaan, ianya juga sebagai satu wadah yang menjambatani industri dengan institusi pendidikan dan pelatihan bidang sains perpustakaan.  PPM sebagai badan ulung kepustakawanan Malaysia mengharapkan anugerah ini memberi motivasi kepada para mahasiswa yang bakal menjadi pelapis dalam bidang Sains Perpustakaan untuk menyumbang bakat dan usaha dalam memajukan kerjaya dan kepustakawanan melalui Perpustakaan di pelbagai agensi.

This slideshow requires JavaScript.

Mesyuarat Agung Tahunan PPM Kali Ke-61 Meriah

Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Ke 61 pada 27 Mac 2017 di Universiti Islam Malaysia. MAT kali ini telah dirasmikan oleh Ybhg. Tan Sri Prof. Dr. Mohd Yusof Noor, Presiden Universiti Islam Malaysia dan lebih 250 ahli  pelbagai kategori telah menghadiri sesi mesyuarat. Pada majlis tersebut juga  seramai 4 orang graduan telah menerima Anugerah Pelajar Terbaik Sains Perpustakaan 2016 mengikut kategori universiti masing-masing. Pada kali ini terdapat penyertaan baru kategori anugerah iaitu pemenang kategori anugerah daripada Universiti Selangor.  Seterusnya, sesi MAT telah berlangsung dengan jayanya sehingga  mendapat perhatian yang sangat luar biasa daripada beberapa ahli ketika membincangkan beberapa usul. Antaranya usul Hari Pustakawan ditukar kepada Hari Perpustakaan telah mendapat bantahan majoriti keahlian profesional PPM. Kemudian, disusuli usul berkaitan struktur baru pembayaran yuran keahlian. Selain itu,  pelbagai isu sampingan juga dibincangkan. Sesi mesyuarat bermula pada pukul 11:20 pagi dan ditangguhkan pada pukul 2 petang. Pada pukul 2:45 petang, sesi pembentangan KMaya dan beberapa panel kesedaran IFLA WLIC 2018 pula mengambil bahagian. Bagi melengkapkan kemeriahan MAT, aktiviti selingan cabutan bertuah juga diadakan. Ramai ahli mesyuarat yang hadir meluahkan perasaan sangat gembira apabila mendapat pelbagai bentuk hadiah cabutan bertuah yang menarik. Disamping itu juga, seramai 10 pemenang Kuiz Dalam Talian 2016/2017 telah diraikan. Pemenang yang bertuah En. Adnan Rizal bin Haris@Harib telah menjadi johan bagi sesi kuiz kali ini. Tahniah diucapkan. Sementara itu, terdapat penyertaan pameran beberapa syarikat pembekal buku, sistem pengurusan pengetahuan dan pangkalan data yang  turut sama memeriahkan aktiviti mesyuarat. Terima kasih diucapkan kepada syarikat-syarikat yang terbabit. Nantikan berita lengkap daripada pihak kumpulan editor PPM pada edisi seterusnya.

Pautan Galeri Gambar AGM PPM (KLIK DISINI)