BICARA ILMU SIRI KE-4. SIAPAPUN PERLU MINAT MEMBACA

OLEH: JULIAWATI BINTI SAKIMAN

GPM SMK Dato’ Abu Bakar Baginda, Sepang, Selangor

AJK JK TETAP PSS, PPM

Sekali lagi, Pertubuhan Guru Perpustakaan Media Malaysia(PGPMM) telah berkolaboratif dengan Persatuan Pustakawan Malaysia(PPM) dengan menganjurkan Bicara Ilmu bagi siri yang ke-4 dengan tajuk Siapapun Perlu Minat Membaca. Bicara ilmu ini telah diadakan pada 25 Mei 2021 (Selasa) dari 8.30 hingga 10.30 malam melalui pelantar Streamyard dan live streaming di YouTube dan Facebook PGPMM. 

Bicara ilmu kali ini agak berlainan iaitu tidak seperti sebelum ini yang mana pada kali ini, Pengawas Pusat Sumber telah dijemput untuk turut sama menonton dan mendengar sendiri tips-tips serta motivasi yang diberikan oleh panel jemputan. Seramai lebih kurang 1,940 peserta dalam kalangan murid dan juga Pengawas Pusat Sumber Sekolah dan ahli berdaftar telah menyertai bicara ilmu pada kali ini.

Ahli panel yang terlibat merupakan individu yang sangat layak untuk membincangkan tajuk pada kali ini dan masing-masing mempunyai kepakaran dalam bidang penulisan dan motivasi.

  1. Pn Ain Maisarah bt Dalimin (Seorang penulis novel dan pemilik syarikat Blink Sdn Bhd)
  2. En Ahmad Fadzli bin Abd Aziz (Seorang motivator dan bekas ahli kumpulan nasyid UNIC)

Panel jemputan istimewa :

Datin Hajjah Che Normadiah bt Haji Che Abbas (Pengerusi Tetap JK PSS, PPM)

Moderator :

Pn Juliawati binti Sakiman (GPM SMK Dato’ Abu Bakar Baginda, Sepang, Selangor)

Poster Program

PN AIN MAISARAH BINTI DALIMIN

MEMBACA MEMBENTUK INSAN BERJAYA

Pn Ain Maisarah telah memulakan bicaranya tentang ciri-ciri orang yang berjaya iaitu individu itu mestilah ada karisma, bercakap mengikut fakta dan bijak berbicara. Menurut beliau, untuk menjadi orang yang bijak berbicara, kita mestilah suka membaca. 

Beliau turut berkongsi rahsia bagaimana untuk hidup dengan lebih baik. Antaranya, cari satu ilmu dalam satu hari. Beliau turut berkongsi fakta berkenaan Bill Gates, lelaki terkaya di dunia yang membaca 50 buah buku setahun. Ini bermakna, untu kerjaya seperti Bill Gates kita perlu membaca satu buku setiap minggu.

Pn Ain Maisarah turut menekankan tentang kepentingan membaca buku yang menarik dan yang kita sukai. Ini dapat membantu kita menghayati isi kandungannya dan seterusnya berkongsi ilmu tersebut dengan rakan-rakan yang lain. Menurut beliau lagi, membaca akan membezakan orang yang tahu dengan orang yang tidak tahu.

Membaca bahan ilmiah dan mencatat apa yang dibaca agar dapat disebarkan kepada orang lain mampu menjadikan seseorang yang pada asalnya ‘zero’ kepada menjadi lebih tahu.

Puan Ain Maisarah dalam Slot Pertama

DATIN HJH CHE NORMADIAH BT HJ CHE ABBAS

IMPAK MEMBACA DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

            Datin Hjh Che Normadiah merupakan panel jemputan khas pada bicara ilmu kali ini. Ini disebabkan oleh tajuk perbincangan yang sangat dekat dengan hati beliau. Beliau telah membincangkan tentang impak membaca terhadap anak-anak dan masyarakat. Antaranya, membaca dapat memberikan ketenangan dan dapat merawat jiwa semasa pandemik ini. Jika kuat akal dan iman, kita dapat menimbang apa sahaja yang dibaca pada musim pandemik ini, hidup akan jadi lebih baik dan sentiasa positif.

Murid yang suka membaca juga dapat mengubah kehidupan dan amalan mereka seharian. Lebih berjaya, seronok dan sentiasa dahagakan ilmu tanpa membuat perkara tidak berfaedah.

Membaca juga memberi kesan terhadap kepimpinan. Pemimpin yang baik diadun oleh pemikiran yang rasional, komunikasi berkesan, serta mempunyai kemahiran kepimpinan yang tinggi. Semua kenahiran ini dapat diserap melalui pembacaan dan juga membawa kepada kebahagian dan keseronokan dalam diri seseorang.

Siapa yang tidak seronok jika kita tahu semua benda dan perkara yang berlaku dalam dunia ini. Membaca memberikan satu keseronokan kerana secara tidak langsung seseorang boleh menjadi ‘pakar rujuk’ kepada orang lain. Ilmu pengetahuan yang ada juga dapat memberi manfaat jika disebarkan kepada orang lain.

Membaca juga merupakan asas utama kepada kemahiran belajar sepanjang hayat. Dengan membaca, kita menimba, menambah ilmu dan mendapat kemahiran baharu.

Membaca juga memberi impak kepada penulisan. Apa yang dibaca akan diserap oleh otak, akan dilontarkan oleh kata-kata melalui penulisan, dizahirkan melalui perbuatan. Jika banyak bacaan puisi, maka kata-kata dan penulisan juga berbentuk puisi dan puitis.

Bersama Panel Jemputan Istimewa Datin Hajjah Che Normadiah

EN AHMAD FADZLI BIN ABD AZIZ

MEMBINA KELUARGA MEMBACA

            Slot seterusnya menampilkan seorang motivator yang juga merupakan seorang motivator keluarga berdaftar. Encik Ahmad Fadzli Abdul Aziz telah menerangkan tentang peranan institusi kekeluargaan dalam membina keluarga membaca kerana segala-galanya bermula dari rumah.

Dalam sesi ini, beliau telah menerangkan tentang bagaimana cara menggalakkan anak-anak minat membaca dengan memberi penekanan terhadap Iqra’ yang merupakan ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi. Jelaslah menunjukkan membaca ini bukanlah satu keperluan tetapi kemestian yang patut diamalkan dan menjadi darah daging dalam diri manusia.

Ibu bapa juga merupakan individu yang perlu menggalakkan anak-anak membaca. Ibu bapa perlu minat membaca dan sentiasa memperuntukan masa membaca bersama anak-anak agar dapat menanamkan bibit-bibit tabiat membaca dalam diri mereka.

Menyediakan ruang bacaan dengan bahan-bahan yang menarik serta digemari sama ada bahan ilmiah atau lain-lain juga merupakan salah satu cara untuk menarik minat anak-anak membaca. Menggunakan ruang bacaan di rumah sebagai ruang kualiti keluarga agar dapat menyuburkan benih minat membaca.

Jadikan buku sebagai ganjaran dan hadiah kepada anak-anak agar mereka kenal dan dekat dengan buku. Tak kenal, maka tak cinta.

Sentiasa menjadi pendorong dan memantau kegemaran anak-anak. Ibu bapa juga perlu memberi ruang dan peluang anak-anak untuk memilih bahan bacaan kegemaran mereka. Namun, dalam masa yang sama ibu bapa perlu memantau dan memberi nasihat dalam proses membuat pilihan bahan yang berkualiti.

Menjawab kepada persoalan Aplikasi digital: Mengundang masalah ataupun sebenarnya memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada anak-anak untuk meneroka sesuatu di luar kotak.

Slot Kedua bersama En Fadzli Aziz

Tumpuan diberikan sepenuhnya kepada perbincangan tentang transformasi digital yang semakin pesat serta telah menukar fenomena membaca. Beberapa penekanan dan nasihat berguna telah diberi melihatkan kepada kegusaran beliau sebagai motivator terhadap kegemaran anak-anak pada masa kini terhadap penggunaan aplikasi digital. Beberapa nasihat telah diberikan antaranya:

  1. Kalau kita nak popular, biarlah kita popular dengan ilmu
  2. Kalau kita nak popular, biarlah kita popular dengan adab dan akhlak
  3. Kalau kita nak popular, biar kita popular dengan kebaikan dan kebajikan
  4. Jangan popular hanya dengan kecantikan
  5. Jangan popular dengan mendedahkan sesuatu yang tidak sepatutnya didedahkan
  6. Jangan popular dengan dosa dan maksiat.

PGPMM ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr Zuridah Hanim (GPM SMK Sultanah Bahiyyah, Kedah), Pn Shazrizuliana binti Salimon (GPM SK Lukut, N. Sembilan) dan Pn Roslinda bt Abdullah (GPM SK Matang Gerdu, Perak) kerana telah berkongsi idea penulisan melalui media sosial di Facebook.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s