Program Galakan Membaca ‘Heritage Trail 2’ Dalam Talian Sempena Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020

Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia(KLWBC) oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi tahuun 2020. Pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia Ke-20 ini merupakan bukti komitmen tinggi oleh Malaysia dalam penganjuran aktiviti, promosi buku dan pembacaan.

Sebagai badan profesional dan bukan kerajaan(NGO) Persatuan Pustakawan Malaysia(PPM) telah menerima dana bagi melaksanakan beberapa program dengan kerjasama perpustakaan awam, akademik, khusus serta penulis buku yang terpilih.

Pelbagai program bermula dari 23 April 2020 hingga 22 April 2021 telah diatur oleh PPM sejajar dengan slogan KL Baca, iaitu: Menyantuni Masyarakat Melalui Pembacaan. Ia melibatkan agensi kerajaan seperti Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Majlis Tindakan Buku Negara, Perpustakaan Negara Malaysia, Perbadanan Kota Buku dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Turut terlibat ialah agensi swasta serta badan pertubuhan profesional dan bukan kerajaan.

Bagi memeriahkan sambutan, PPM merancang melaksanakan program di sepanjang Heritage Trail 2 iaitu di Jalan Melaka dan Jalan Raja Chulan. Namun, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) telah dikuatkuasakan dan ia kemudian ditukar kepada format secara dalam talian dengan latar belakang penganjur(host) yang berbeza.

Sebanyak 13 Siri Program Galakan Membaca secara dalam talian telah dilaksanakan sepanjang bulan Disember 2020 lalu dengan pelbagai tajuk menarik. Sepanjang bersiaran ia telah berjaya meraih seramai 20,878 tontonan, 2,302 sukaan dan 5,869 ulasan. Antara program yang mendapat sambutan hangat ialah penampilan khas oleh dua orang tokoh selebriti Dr Soo Wincci dan Tuan Amin Idris seorang motivator, penulis, dan pengacara TV. Mereka berdua telah yang berkongsi pendapat masing-masing mengenai budaya membaca.

Disamping program yang dinyatakan di atas, PPM turut menganjurkan aktiviti Reading in the Park secara dalam talian pada 17 Disember dan Bookhunt pada 25 Disember bermula dari 10.00 pagi hingga 1.00 petang. Lain-lain program ialah majlis Pelancaran Kebun Bandar PPM dan Little Free Library(LFL) sempena program Bookwalk & Bookhunt@Bunus River.

PPM juga sempat 13 kali bersiaran secara Live di Facebook dan setiap kali bersiaran, penonton berpeluang menyertai kuiz yang hadiahnya adalah buku sebagai galakan kepada aktiviti membaca. Kemuncak program ialah pada 31 Disember 2020 apabila PPM bersiaran dari Jalan Melaka Kuala Lumpur.

Adalah diharapkan semua program yang dilaksanakan dapat mencapai objektif meningkatkan budaya membaca, meningkatkan literasi maklumat dan media serta kepentingan dan faedah membaca dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Setinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah mengambil bahagian baik secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan program yang dirancang khususnya kepada Sekretariat KLWBC, Yayasan Bank Rakyat, Jawatankuasa Kerja Aktiviti PPM, pasukan host, ahli panel jemputan, moderator, petugas teknikal dan lain-lain. Terima kasih juga kepada semua yang menonton dan telah mengambil bahagian dalam program yang dilaksanakan.

PPM dan BERNAMA juga telah menyumbang buku untuk diletakkan di kiosk buku di Heritage Trail di hadapan Bank Muamalat. Antara buku yang disumbangkan ialah buku yang mempunyai elemen biblioterapi(terapi buku). Buku seumpama ini sesuai di baca oleh semua peringkat umur agar dapat merawat emosi dan minda terutama semasa situasi pandemik Covid-19 melanda yang mana lebih banyak masa dihabiskan di rumah.

Walaupun tempoh sebagai Ibu Kota Buku Dunia Ke-20 ini akan berakhir, namun PPM dan semua perpustakaan di Malaysia akan terus komited dan tidak jemu menganjurkan program serta aktiviti galakan membaca. Semoga setelah berakhirnya pandemik Covid-19 yang melanda dunia kini, kegiatan pembacaan boleh dijalankan seperti sebelumnya dan ditambah pula dengan format secara dalam talian.

PPM merupakan Pertubuhan Bukan Kerajaan yang profesional dalam bidang kepustakawanan dan maklumat dalam Malaysia. Sejak ditubuhkan pada tahun 1955 PPM telah berjaya menganjurkan pelbagai persidangan, kursus, bengkel dan aktiviti dalam bidang berkaitan dengan perpustakaan dan maklumat peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Semoga segala perkongsian bermanfaat bagi meningkatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat dalam negara kita. Tahniah kepada semua agensi yang telah menjadi host program kerana telah memberikan komitmen yang tinggi bagi menjayakannya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s