MAJLIS PENYERAHAN BUKU KOLEKSI: PROFESOR DATUK DR. AWANG BIN SARIYAN, PENYANDANG KURSI ZA’BA KEPADA PERPUSTAKAAN TUANKU BAINUN

Oleh: Najah Saghirah Haroman, Pustakawan Kanan, Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI

Majlis penyerahan buku koleksi Prosefor Datuk Dr. Awang Sariyan diadakan pada 6 Januari 2021 sebagai pembuka tirai tahun baru aktiviti Perpustakaan Tuanku Bainun. Majlis berlangsung di Auditorium Perpustakaan Tuanku Bainun pada jam 3:00 petang, yang telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) mewakili Naib Canselor UPSI.

Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan merupakan Penyandang Kursi Za’ba, Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris sejak 1 Julai 2019. Sebelum itu, beliau pernah dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Bahasa dan Komunikasi,  Universiti Pendidikan Sultan Idris sebanyak dua kali, iaitu pada Julai 2009 – Julai 2011 dan Ogos 2013 – Julai 2015. Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan sebelum itu pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Beijing Foreign Studies University, Profesor Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia; Profesor Bahasa di Akademi Pengajian Melayu Universti Malaya, Profesor di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu(ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan beberapa jawatan akademik dan pentadbiran di pelbaga institusi lain. Selain itu beliau turut pernah menjadi Pensyarah Kanan di Universiti Brunei Darussalam, Profesor Tamu Pusat Pengajian Asia Tenggara Universiti Johann Wolfgang Goethe dan Universiti Sumatera Utara, Indonesia.

Merupakan seorang ahli Bahasa Malaysia terkenal yang telah banyak menulis rencana bimbingan Bahasa Melayu. Karya tulisan beliau meliputi hampir 100 judul yang terdiri dari buku ilmiah, buku umum, buku teks, kamus dan buku kumpulan puisi, ratusan makalah ilmiah dan umum dalam pelbagai jurnal, majalah, akhbar serta bab dalam buku.

Pada hari yang bersejarah ini Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan telah menyerahkan 500 naskhah koleksi buku beliau kepada Perpustakaan Tuanku Bainun. Jumlah ini akan terus ditambah pada masa akan datang. Diharapkan ‘Koleksi Tokoh’ di Perpustakaan Tuanku Bainun akan menjadi sumber rujukan pelajar dan penyelidik yang membuat kajian berkenaan tokoh-tokoh berkenaan. Perpustakaan Tuanku Bainun amat berbesar hati menerima sumbangan peribadi daripada Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan yang bertepatan dengan program dan kursus-kursus universiti terutamanya berkaitan bahasa dan pemeliharaan Bahasa Melayu. Sumbangan sebegini akan dapat membantu usaha universiti menggalakkan budaya membaca dalam kalangan warga universiti sesuai dengan pemilihan Kuala Lumpur sebagai World Book Capital pada tahun 2020.

Profesor Dr. Suriani Abu Bakar dalam ucapannya menyeru seluruh hadirin supaya sentiasa menanam minat suka membaca kerana amalan membaca merupakan salah satu proses pembelajaran yang harus berterusan sepanjang hayat yang akan  membentuk masyarakat yang berilmu dan bertamadun. Beliau juga merakamkan setingggi-tinggi penghargaan kepada Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan yang telah memberikan khidmat bakti sebagai Penyandang Kerusi Za’ba dan menyumbang buku untuk dijadikan ‘Koleksi Tokoh’, sesuai dengan hadith;

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah bersabda: “Apabila manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalnya kecuali tiga perkara: iaitu sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kepadanya” (HR Muslim).

Leave a comment