PENGALAMAN SEPANJANG PKP

Oleh: Salasiah binti M Said (P1613). Universiti Teknologi MARA Cawangan Kedah.

Tanggungjawab merupakan salah satu amanah yang amat penting dalam sesebuah organisasi. Apatah lagi jika organisasi itu berpaksikan kepada kepelbagaian ragam manusia. Dalam konteks negara, nadi penggerak utama sudah semestinya rakyat atau orang awam. Tahun 2020, yang kerapkali disebut-sebut ketika sebelum kehadirannya, telah mempamerkan kisah yang paling duka buat umat manusia sejagat. Serangan wabak virus Corona ataupun nama lainnya COVID-19 telah membuka mata banyak pihak akan pentingnya disiplin, tolak ansur dan segala macam sifat perikemanusiaan. Badan Kesihatan Dunia, atau nama lainnya WHO telah mengisytihar wabak ini sebagai pandemik. Sebagai negara yang lengkap dengan serba serbi kemudahan, Malaysia telah mengambil langkah bijak bagi membendung wabak ini dari berterusan bermaharajalela di tanah air tercinta ini. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyedarkan rakyat Malaysia akan pentingnya patuh kepada arahan barisan hadapan. Barisan hadapan yang terdiri daripada pasukan kesihatan, keamanan dan keselamatan saling bekerjasama menggembleng tenaga bagi mengekang penularan wabak ini. Bermula pada 18 Mac 2020, segala aktiviti berbentuk penting dan separa penting telah dihentikan. Masyarakat terpinga-pinga, mengapa begitu drastik tindakan ini? Pada mulanya, agak membimbangkan apabila statistik pesakit dan pembawa virus maut ini kian memuncak hingga ratusan orang, namun dengan adanya kerjasama, nasihat dan panduan teratur dari pihak-pihak tertentu, orang ramai mulai peka dan berwaspada dengan gejala pembiakan virus ini.

Malaysia, yang terkenal dengan masyarakat berbilang bangsa, menyaksikan pelbagai kisah suka dan duka. Dimulai dengan berita kematian pertama akibat wabak ini, seterusnya masyarakat atau pun rakyat dibelenggu kebosanan untuk tinggal di rumah tanpa melakukan apa-apa aktiviti luaran. Media sosial menyajikan gelagat lucu rakyat Malaysia demi memenuhi masa terluang. Dari segi ini, ia sebenarnya memberi kesan yang positif bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan. Bagi ibubapa yang bekerja, inilah masanya mendidik anak-anak sendiri tanpa perlu mengharapkan pengasuh mahu pun penjaga. Dengan ini, barulah ibubapa tersebut lebih ‘mengenali’ anak-anak mereka, lantas memberikan mereka peluang untuk membesarkan anak sendiri siang dan malam. Pelbagai aktiviti dalaman telah direka demi menggembirakan anak-anak yang sudah pastinya terkesan dan mudah berasa tertekan akibat ‘terkurung’ begitu lama di dalam rumah. Tambahan pula, aktiviti riadah bersama keluarga seperti penanaman pokok, pembersihan dalam dan luar rumah, menikmati hidangan hasil masakan sendiri di rumah, amatlah memberi makna dan impak yang sihat terhadap tumbesaran anak-anak. Dari segi pembelian barang dapur, inilah masanya suami, atau lebih mesra digelar ‘ketua keluarga’ keluar bersendirian membeli barang-barang dapur. Ia sedikit sebanyak menyumbang kepada pembelajaran ilmu baharu di kalangan ketua keluarga yang rata-rata adalah kaum lelaki. Pelbagai aksi kekok dirakam lensa media sosial mengenai gelagat ketua keluarga ini. Kuasa viral media sosial seperti pokok Snake Plant atau lidah jin, kopi Dalgona, kehangatan makanan asas yang tidak kurang pentingnya iaitu ‘roti putih’ juga mendapat perhatian rakyat Malaysia. Sungguh, rakyat Malaysia begitu kreatif dalam mengendali menu untuk santapan keluarga. Bagi penulis, menyediakan santapan dari awal pagi sehingga lewat malam amatlah meletihkan namun menyeronokkan. Pelbagai menu masakan ‘viral’telah dicuba, namun ada kalanya masakan biasa-biasa sahaja lebih menyelerakan. Peristiwa ini mengingatkan saya kepada ucapan seloroh Perdana Menteri kita pada sidang medianya iaitu kumpulan masakan “Masak Apa Tak Jadi Hari Ni”. Sungguh, dalam pada usaha menangkis virus maut ini secara serius, ada masanya kita perlu merehatkan minda dengan hiburan berunsur lawak jenaka.

Usaha mencantikkan laman rumah daripada terbiar kosong

Dari segi kesihatan dan pencegahan wabak COVID-19 ini, penyiar rasmi sidang harian keselamatan dan kesihatan, sentiasa memberikan nasihat dan panduan yang perlu diikuti oleh orang ramai demi memutuskan rantaian wabak ini. Walau ada yang masih ingkar dengan arahan ini, hukuman sewajarnya patut diambil bagi mengekang wabak ini dari terus berleluasa. Hampir setiap tengahari, rakyat disajikan dengan sidang harian keselamatan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub. Pelbagai kerenah dan ragam orang ramai yang masih berdegil mahu merentas negeri atas sebab alasan yang tidak munasabah. Kemudian, pada jam 5 petang pada setiap hari, penyiar rasmi akan menyiarkan sidang media oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. Penantian adalah sesuatu yang mendebarkan. Hati melonjak sedikit gembira dan bersyukur jika statistik kes baharu menunjukkan penurunan atau angka yang tidak banyak. Begitu juga dengan jumlah pesakit yang telah pulih. Berkat doa Perdana Menteri ke 7, Tan Sri Muhyiddin Yassin, angka kes baharu telah pun turun dalam masa beberapa minggu di sepanjang PKP. Selain itu, mungkin tanpa kita sedar, anak-anak yang masih kecil, kurang diserang penyakit seperti demam. Ini adalah contoh yang bagus kerana anak-anak tidak didedahkan dengan persekitaran luaran seperti di pusat membeli belah yang sesak dengan orang ramai. Seperti penulis, mempunyai anak-anak kecil berumur 1 hingga 6 tahun, amatlah mencabar. Mereka masih tidak faham mengapa tiba-tiba sahaja cuti sekolah terlalu panjang. Namun begitu, penulis menyatakan kepada anak, di luar sana ada kuman. Kuman itu jahat. Namanya virus Corona atau nama singkatannya COVID-19. Lalu penulis dihujani perlbagai jenis soalan di luar kotak. Penulis menjawab sahaja segala pertanyaan anak-anak sambal menunjukkan gambar-gambar suasana di luar yang penuh dengan sekatan jalanraya, sudut kecil untuk memeriksa suhu badan dan sebagainya. Alhamdulillah, anak-anak penulis mudah faham apa yang sedang berlaku di dunia luar rumah. Pemakaian pelitup hidung dan mulut, penggunaan sabun pencuci tangan dan pencuci tangan segera, amatlah laku bagai pisang goreng panas. Baik di farmasi mahu pun pusat jualan atas talian, permintaan pelitup hidung dan mulut amatlah tinggi sehingga dijual dengan harga yang tidak masuk akal. Namun peristiwa itu berlaku sekejap sahaja kerana kerajaan Malaysia pantas bertindak demi mendapatkan bekalannya. Seperti juga keperluan asas di hospital seperti Personal Protection Equipment (PPE), ada segelintir individu dan badan sukarelawan bertungkus lumus menjahit PPE tersebut dan menyerahkannya ke pusat rawatan COVID-19. Sungguh, penulis berasa terharu dengan kesanggupan dan keikhlasan rakyat Malaysia yang ikhlas dan luhur dalam memberi bantuan. Itu tidak termasuk lagi dengan pemberian tudung, makanan dan pelbagai macam keperluan untuk membantu dan sebagai tanda ucapan terima kasih kepada pasukan barisan hadapan.  

Kasih seorang kakak kepada adiknya

Penulis juga telah mempelajari pelbagai jenis definisi yang tidak pernah didengar sebelum ini, termasuklah perkataan baharu yang jarang atau tidak pernah didengari oleh orang awam. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah termaktub di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Perintah ini antara lainnya, mengarahkan semua premis ditutup atas sebab mengelakkan pengumpulan orang ramai dalam satu-satu masa. Dalam masa PKP, ada lagi perkataan baharu iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat dan Perintah Pergerakan Kawalan Pemulihan (PKPP). Pelbagai andaian dicanang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Namun, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) amat pantas bertindak dengan menghantar mesej berwaaspada kepada pengguna telefon bimbit.

Namun begitu, antara kisah tersedih yang pastinya terpahat di hati seluruh umat Islam adalah menyambut Aidilfitri di rumah sendiri. Rata-rata umat Islam sebak dan sedih di pagi raya kerana terpaksa berjauhan dengan ibu bapa di kampung. Sambutan hanya dapat dijalankan di rumah masing-masing. Nampak pelik, namun itulah di antara norma baharu yang terpaksa ditempuh demi kesihatan yang tersayang di kampung. Bagi mereka yang hanya pulang ke kampung berlainan daerah tetapi masih satu negeri, ia adalah satu bonus dan rezeki untuk mereka. Seperti penulis, Aidilfitri kali ini amatlah terasa asing kerana kampung di negeri Johor. Perjalanan dari Kedah ke Johor bukanlah dekat dan berapa banyak sekatan kami perlu tempuh jika kami berdegil mahu pulang ke kampuan halaman.Semasa di bulan Ramadhan pula, ketua keluarga juga berpeluang menjadi imam kepada isteri dan anak-anak di rumah. Para isteri pula tidak kurangnya mencuba resipi untuk juadah berbuka puasa dan juadah manisan santapan Aidilfitri.

Setiap petang di hari bekerja, penulis akan menemani anak sulung untuk belajar secara atas talian. Pada waktu malam pula, penulis akan menghadapi pelbagai kerja di hadapan komputer riba. Berurusan dengan pelajar universiti di kala waktu-waktu begini bukanlah mudah. Pelbagai medium telah dicuba demi memberi ilmu yang terbaik kepada para pelajar. Memberi ilmu secara tidak bersemuka, amatlah memberatkan para guru untuk mengakses maklumat yang perlu diuruskan. Kerajaan juga amat berbesar hati untuk meringankan bebanan bagi yang terkesan. Bantuan Prihatin umpamanya, amat diperlukan oleh keluarga yang besar untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Sesungguhnya, kunci bagi membendung wabak ini adalah, membasuh tangan dengan sekerap yang boleh, menjarakkan diri dengan orang ramai sebanyak 1 meter, pemakaian pelitup hidung dan mulut dan pencuci tangan. Semoga virus maut ini dapat dinyahkan oleh barisan hadapan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s