PENGALAMAN SEPANJANG PKP COVID-19

Oleh: Haslina binti Husain (P1139), Pustakawan Kanan, Perpustakaan Universiti Malaya.

Pada pertengahan Mac 2020, Malaysia telah digegarkan dengan virus COVID-19 yang menyerang manusia. Penyakit tersebut yang bermula dari Wuhan, China dan telah merebak ke banyak tempat di kawasan China. Pelbagai peringkat usia telah menjadi mangsa keadaan itu. Namun sehingga sekarang penawarnya belum dijumpai. Malaysia turut tidak terkecuali ramai juga yang meninggal akibat penularan wabak itu. Peningkatan mendadak serangan COVID-19 ke atas manusia menyebabkan Malaysia memerintahkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebanyak empat fasa sehingga awal Mei 2020. Bermula 4hb Mei 2020, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dikuatkuasakan di beberapa tempat.

Pengalaman sepanjang PKP ini sudah tentunya amat tertekan kerana keadaan yang memerlukan semua orang berada di rumah dan tidak boleh kemana-mana. Hanya ketua rumah yang boleh keluar mencari keperluan yang benar-benar diperlukan sahaja. Kerajaan mengetatkan lagi kawalan pergerakan dengan menempatkan Polis dan Tentera di beberapa kawasan seperti lebuhraya. Namun, sebenarnya di sebalik kawalan itu adalah tidak lain dan tidak bukan untuk menjaga keselamatan semua pihak. Ini kerana kita sedang berperang dengan virus yang kita tidak nampak.

Dalam akhbar atas talian Malaysiakini yang diakses 6hb Mei 2020 menyatakan rata-rata penduduk masih takut untuk keluar dan hanya keluar untuk membeli barang keperluan asas seperti beras, sayur dan keperluan lain di kedai runcit atau pasar raya berdekatan. Begitu juga pengalaman saya sendiri membeli barang dapur di 7-Eleven di Kg Badang, Jalan PCB, Kota Bharu, Kelantan di mana pelanggan perlu berbaris di luar dan menjarakkan diri antara satu sama lain kira-kira 1 meter.

Beratur di 7-Eleven di Kg Badang, Jalan PCB
Notis pemberitahuan untuk urusan ATM dan pembelian
ditampal di pintu masuk 7-Eleven
Notis pemberitahuan keperluan memakai mask/penutup muka
kepada pembeli ditampal di pintu masuk 7-Eleven

Manakala di Bandar Kota Bharu tidak banyak kenderaan seperti sediakala, gambar ini kebetulan saya ingin mencari barang keperluan dan mengambil kesempatan merakamkan gambar sebagai pengalaman.

Bandar Kota Bharu berdekatan Medan Ilmu, Kota Bharu

Pengalaman lain juga turut dirasai oleh saya sendiri di mana perlu memakai ‘mask’ dan membawa bersama ‘hand sanitizer’ setiap kali mahu keluar rumah mencari barang keperluan dapur. Fasa pertama dan kedua memberi gambaran bahawa semua orang perlu duduk di rumah dan tidak boleh keluar sesuka hati. Kereta lengang di jalan raya dan semua orang mengambil langkah berhati-hati supaya tidak dijangkiti penyakit COVID-19. Media massa dan media elektronik juga tidak lekang menyiarkan maklumat terkini tentang COVID-19. Media sosial seperti Whatsapp dan Youtube juga turut berkongsi cerita mengenai COVID-19. Perdana Menteri juga memberi ucapan dari semasa ke semasa tentang PKP dan PKPB. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga tidak terkecuali memaklumkan perkembangan terkini tentang wabak COVID-19 ini.

Bermulanya PKP, saya sudah bersiap sedia memandangkan virus tersebut tidak nampak dengan mata kasar kita. Oleh yang demikian, setiap kali ingin mencari barang dapur saya akan mengambil langkah keselamatan dan membuat penjarakan sosial antara satu sama lain seperti contoh berada di kedai runcit dan tempat jualan barangan basah seperti ikan, sayur dan ayam. Di tempat saya sendiri iaitu di Kg Kijang, peniaga dan penjual mengambil langkah keselamatan sosial dengan membuat tanda jarak 1meter sewaktu berurusan. Pihak Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) juga kerap membuat rondaan dan memberi arahan supaya mengambil langkah keselamatan. Tidak terkecuali juga van kesihatan bergerak yang memberi makluman tentang penularan wabak ini dan meminta orang ramai mematuhi aspek keselamatan seperti memakai mask, selalu mencuci tangan menggunakan sabun dan menggunakan hand sanitizer setiap kali berurusan jual beli, dan penjarakan sosial.

Sebaik sahaja pulang dari pasar, saya perlu membersihkan diri dan mencuci pakaian supaya penyakit COVID tidak menjangkiti saya mahupun keluarga saya di rumah. Langkah-langkah keselamatan ini perlu diamalkan bukan sahaja semasa COVID malah perlu dijadikan amalan seharian semua orang. Ini kerana semasa kita berada di pasar tahap kebersihan amatlah rendah. Apabila membawa pulang barang basah perlulah kita cuci bersih supaya segala kekotoran dan kuman mati.

Apabila keperluan bahan kering sudah habis saya perlu mendapatkannya di pasar raya yang jauh sedikit. Saya memulakan perjalanan melalui jalan kampung dan sesudah sampai, pekerja pasar raya mengambil suhu badan dan menyembur ‘hand sanitizer’ ke tangan saya dan pengunjung lain yang datang ke pasar raya tersebut. Tapi saya tidak lupa memakai mask. Setelah selesai saya melalui jalan yang lain namun terserempak dengan sekatan Polis dan Tentera. Pegawai Polis bertanyakan tujuan saya keluar dan saya memaklumkan kepada beliau saya mencari barang keperluan dapur dan beliau melepaskan saya. Alhamdulillah, satu hari saya pergi mendapatkan ubat susulan untuk ibu saya di Klinik Kesihatan Penambang dan sekali lagi saya perlu melalui sekatan Polis, lalu saya memaklumkan kepada beliau yang saya ingin mendapatkan ubat untuk ibu saya dan beliau melepaskan saya. Kawalan oleh pihak Polis dan Tentera ini bukan sahaja menjaga keselamatan saya dan orang ramai malah mengurangkan lagi jenayah di kawasan saya.  Kedai roti berdekatan rumah saya juga mengamalkan penjarakan sosial dan penggunaan sabun pencuci sebelum membuat urusan pembelian di dalam kedai tersebut.

Peralatan sabun, tisu dan air diletakkan di luar kedai roti,
juga notis terhad dua orang sahaja boleh memasuki kedai

Pengalaman bekerja dari rumah juga menuntut kesabaran kerana saya menggunakan ‘prepaid’ yang mana perlu ditambah nilai setiap kali kehabisan. Walaubagaimanapun, saya gigih menyelesaikan kerja yang dipertanggungjawabkan seperti contoh mengajar Sesi Kemahiran Maklumat GIG1004 melalui ‘video call’ setiap hari selasa jam 9.00 – 10.00 pagi bermula 28 April 2020 yang lalu, menyemak latihan pelajar melalui ‘Spectrum’, menjawab soalan ‘livechat’ daripada pengguna setiap hari Selasa dan Khamis jam 3.30 – 5.00 petang. Pihak Perpustakaan juga turut menyediakan ‘group whatsapp’untuk memudahkan makluman dan membincangkan kerja yang perlu dilakukan dari semasa ke semasa samada di rumah mahupun yang perlu hadir ke pejabat (dengan kelulusan Ketua Pustakawan). Untuk ibu bapa yang mempunyai anak yang masih bersekolah seperti saya juga menerima pengajaran dan pembelajaran (PDP) melalui ‘group whatsapp’. Anak perempuan saya yang berumur 11 tahun turut menggunakan telefon untuk membuat kerja sekolah yang diberi oleh guru melalui ‘Google Classroom’ dan juga mengikuti tusyen atas talian setiap hari Sabtu bermula 10.45 pagi – 12.15 tengahari menggunakan aplikasi zoom.

Panggilan video bagi kursus GIG1004 antara saya
dengan salah seorang pelajar Kumpulan 18

Banyak pengalaman pahit dan manis semasa PKP ini, yang manisnya sudah tentu dapat duduk bersama keluarga di kampung itupun secara kebetulan kerana saya pulang ke kampung semasa cuti sekolah. Pada masa itu juga, pihak kerajaan mewujudkan PKP sehinggalah hari ini 9hb Mei 2020. Pahitnya ialah saya sendiri tidak tahu keadaan harta benda di Kuala Lumpur kerana dekat sebulan lebih saya berada di kampung. Namun, saya bernasib baik kerana jiran saya di Kuala Lumpur kerap memaklumkan keadaan rumah dan kereta saya di sana. Untuk urusan kerja pula, seperti mengkatalog tidak dapat saya lakukan kerana kegagalan memuatnaik sistem Workflows disebabkan saya menggunakan ‘prepaid’. Namun, saya cuba juga menyiapkan kerja yang lain seperti membuat ulasan buku (berjaya membuat 1 ulasan buku dan 1 ulasan artikel kertas kerja persidangan untuk dimuatkan dalam penerbitan Perpustakaan iaitu Kekal Abadi), menjawab soalan ‘livechat’, memberi konsultasi kepada pelajar, mengajar GIG1004 secara atas talian dan menjawab soalan daripada pihak pengurusan Perpustakaan melalui ‘group whatsapp’ bagi memenuhi pencapaian Penilaian Prestasi Tahunan 2020.

Pengalaman ini tidak dapat saya lupakan dan akan saya jadikan sebagai memori indah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s