APLIKASI-APLIKASI YANG DIGUNAKAN SEPANJANG TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP)

Oleh: Irni Izwah binti Abu Bakar (P1147), Pustakawan Kanan, Perpustakaan UIAM.

Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengisytiharkan Malaysia untuk menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada tarikh 18.3.2020. PKP dibuat untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang mudah berjangkit dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa seandainya pesakit tidak mendapatkan rawatan segera.  Bermulanya tempoh PKP, semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk duduk di rumah dan tidak dibenarkan keluar dari rumah bagi mengelakkan diri daripada terdedah dengan wabak COVID-19.  Lanjutan dari itu sekolah, universiti, masjid, taska, tadika dan sektor pekerjaan awam dan swasta diarahkan tutup.

Rutin biasa anak-anak belajar di sekolah dan ibubapa bekerja di tempat kerja masing-masing telah berubah.  Ketika PKP, anak-anak dan ibubapa bersekolah dan bekerja dari rumah.  Bermulalah kisah bekerja dari rumah (work from home/WFH) dikalangan ibubapa dan sekolah dari rumah (school from home/SFH) dikalangan anak-anak.  Untuk memudahcarakan WFH dan SFH penulis mengunakan aplikasi-aplikasi tertentu untuk mesyuarat secara maya, sesi dialog secara maya, pembelajaran anak-anak secara maya dan suntingan video menggunakan telefon pintar.  Coretan ini ditulis berdasarkan pengalaman, pemerhatian dan bacaan penulis mengenai aplikasi-aplikasi yang digunakan.  Diharapkan tulisan ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca sekalian.

Aplikasi Google Meet – Mesyuarat Secara Maya

Penulis menggunakan aplikasi Google Meet untuk mesyuarat bulanan dengan fakulti.  Tugas penulis sebagai liaison librarian adalah menjadi perantara di antara pihak perpustakaan dan fakulti.  Jadi di antara bidang tugas liaison librarian adalah menghadiri mesyuarat fakulti setiap bulan dan penulis akan membentangkan laporan daripada pihak perpustakaan.  Google Meet menjadi pilihan kerana aplikasi ini boleh dilancarkan melalui akaun gmail pengguna bagi yang menggunakan komputer atau laptop.  Bagi pengguna telefon pintar, aplikasi google meet versi telefon pintar juga boleh dimuat turun.  Google Meet tiada kekangan masa dan percuma.

Antaramuka Google Meet ketika peulis hadir
untuk mesyuarat dengan fakulti secara maya.

Aplikasi Zoom – Sesi Dialog Secara Maya

Penulis menggunakan aplikasi Zoom untuk menghadiri sesi dialog secara maya oleh pensyarah UIAM.  Ramai pensyarah UIAM menggunakan aplikasi Zoom untuk sesi dialog.  Penulis juga ada menghadiri sesi forum anjuran Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) menggunakan aplikasi ini.  Meskipun aplikasi Zoom telah dikhabarkan menjadi punca kebolosan maklumat akaun bank pengguna, penggunaan aplikasi ini masih menjadi pilihan pengguna.  Secara peribadi penulis melihat situasi ini lebih kepada saingan perniagaan dan kita tidak ulas perkara itu di tulisan ini.  Namun, pihak Zoom telah mengambil inisiatif mengemaskini aplikasi ini kepada versi 5.0 untuk menambahbaik ciri keselamatan dan privasi pengguna.  Zoom versi 5.0 boleh dimuat turun di https://zoom.us/download

Aplikasi Zoom menjadi pilihan pengguna kerana aplikasi ini adalah percuma dan ada menawarkan fungsi latar belakang maya (virtual background) di mana pengguna boleh menukar latar belakang asal kepada latar belakang lain.  Fungsi ini sangat membantu lebih-lebih lagi untuk sesi dialog di mana para panelis boleh menggunakan latar belakang korporat maya.

Antaramuka Zoom dengan latarbelakang maya ketika
Sesi Forum Bicara Pentadbir 2020 anjuran MASTI yang dihadiri penulis.

Zoom basic boleh dimuat turun secara percuma di https://zoom.us/download dan hanya membenarkan sesi berlangsung selama 40 minit.  Manakala, aplikasi berbayar Zoom Enterprise membolehkan sesi berlangsung dengan tiada had masa.  Yang menarik dengan Zoom Enterprise ini adalah pengguna boleh mendaftar dahulu untuk mengikuti sesi yang dijadualkan dan Zoom Enterprise secara automatik memaklumkan Zoom id dan password kepada pengguna menerusi email.

Aplikasi Cisco Webex – Pembelajaran Anak-anak Secara Maya

Ada guru menggunakan aplikasi Cisco Webex untuk membuat kelas secara maya dengan para pelajar.  Anak penulis yang berumur 8 tahun menghadiri kelas secara maya menggunakan Cisco Webex.  Cisco Webex boleh dimuat turun secara percuma di https://www.webex.com/downloads.html/. Aplikasi ini juga mempunyai versi komputer dan telefon pintar.  Aplikasi ini tiada had masa dan mempunyai fungsi asas seperti kongsi skrin, ruang sembang dan tukar susun atur (layout) skrin.

Antaramuka Cisco Webex ketika anak penulis menghadiri kelas secara maya

Untuk melancarkan sesi kelas anak, penulis membantu anak pada peringkat awal.  Penulis menunjukkan fungsi mute dan unmute, ruang sembang dan tukar susun atur skrin.  Di antara cabaran guru membuat kelas dengan para pelajar sekolah rendah ialah pelajar-pelajar ini sangat teruja dan semua ingin bercakap.  Ini mengakibatkan pelajar lain tidak dapat mendengar apa yang disampaikan oleh guru dan guru sukar mengawal keadaan.  Untuk mengatasinya, guru mengambil pendekatan memecahkan para pelajar kepada beberapa kumpulan kecil.  Untuk pelajar sekolah rendah, cara ini dilihat lebih berkesan dan para pelajar ini lebih mudah diurus jika di dalam kumpulan kecil.  Namun demikian, bantuan ibubapa juga perlu untuk melancarkan sesi kelas secara maya.

Aplikasi Google Classroom – Sekolah Anak-anak Secara Maya

Guru-guru telah mengoptimumkan aplikasi Google Classroom untuk memuatnaik tugasan, video tentang topik-topik pelajaran dan memantau kerja sekolah anak-anak.  Kerjasama dari ibubapa amat perlu supaya anak-anak dapat memanfaatkan aplikasi ini.  Aplikasi ini memandu ibubapa untuk membantu anak-anak dalam pelajaran semasa tempoh PKP.  Bagi setiap tugasan yang telah siap, ibubapa akan memuatnaik gambar atau video ke dalam aplikasi ini dan klik butang “hantar (Turn in)” tugasan.  Memandangkan anak-anak penulis berumur 8, 6 dan 3 tahun jadi penulis membantu anak-anak untuk setiap tugasan yang diberikan para guru.

Antaramuka Google Classroom untuk memantau tugasan
anak-anak penulis yang berumur 8, 6 dan 3 tahun

Jadi tidak hairanlah apabila statistik google trends menunjukkan Malaysia membuat carian Google Classroom tertinggi di dunia.  Rujuk alamat ini tren terkini carian Google Classroom:

https://trends.google.com/trends/explore?date=now%207-d&q=google%20classroom

Carian Google Classroom dari laman
Google Trends dari tarikh 29.4.2020 – 6.5.2020.

Aplikasi Kinemaster – Suntingan Video Menggunakan Telefon Pintar

Aplikasi KineMaster boleh dimuat turun ke telefon pintar secara percuma.  Untuk suntingan video yang ringkas, cepat dan mudah urus aplikasi ini banyak membantu kerana ia boleh dicapai dengan hanya menggunakan telefon pintar.  Rata-rata kita kini memang cepat mencapai telefon pintar berbanding dengan komputer atau laptop kerana telefon pintar lebih kecil dan mudah urus di telapak tangan dan jari. Aplikasi ini mempunyai fungsi asas seperti pembuka, penutup, teks, font, transisi, trim video, memasukkan suara, memasukkan lagu latarbelakang, rendering video dan menghasilkan video dalam format *.mp4.  Penulis ada mengikuti kelas online untuk mengoptimumkan penggunaan KineMaster yang ditawarkan di laman sesawang https://weekan.my/courses secara percuma.  Laman sesawang ini juga ada menawarkan kelas-kelas secara maya untuk aplikasi-aplikasi lain.

Antaramuka KineMaster untuk menyunting video pendek anak penulis.

Dengan menggunakan aplikasi KineMaster, penulis berkesempatan menyunting video untuk pertandingan video pendek berdurasi 2-3 minit untuk anak-anak anjuran IKRAM Kawasan Batu, Wilayah Persekutuan.  Tema video adalah “Covid-19 di bulan Ramadhan” dan pihak penganjur membuat 2 kategori iaitu kategori umur 3-6 tahun dan 7-12 tahun.

Sangat mengujakan apabila penulis dan suami berkesempatan menjadi pengarah video pendek kepada anak-anak kami yang berumur 6 tahun dan 8 tahun.  Kami membuat skrip, jalan cerita dan rakaman.  Setelah rakaman-rakaman dibuat, kami menggunakan KineMaster untuk menggabung dan menyunting video anak-anak kami dengan tema “Covid-19 di bulan Ramadhan”.  Kami telah menghantar 2 video pendek untuk 2 kategori umur ke laman facebook peribadi saya dan kongsikan link di laman facebook IKRAM Kawasan Batu, Wilayah Persekutuan untuk dipertandingkan.  Kami bersyukur kerana video anak kami yang berumur 6 tahun telah dipilih sebagai pemenang tempat ke-3 manakala video anak kami yang berumur 8 tahun telah dipilih memenangi hadiah saguhati.  Anak-anak berasa sangat teruja apabila berkesempatan menjadi da’i cilik dan diharap tazkirah pendek yang disampaikan oleh anak-anak kami memberi manfaat kepada anak-anak lain dan juga para penonton.

Disamping itu, penulis juga berkesempatan membuat 2 tutorial video senaman mudah menggunakan aplikasi ini.  Penulis telah memuatnaik tutorial video senaman mudah ini ke laman facebook peribadi penulis dan diharap dapat memberi manfaat kepada penonton.  Jadi untuk pengguna baru dalam arena suntingan video, aplikasi KineMaster ini mudah digunakan untuk membuat video pendek mengikut kesukaan masing-masing.  Video pendek anda boleh bertemakan masakan, aktiviti keluarga, kraftangan dan pelbagai lagi.

Secara keseluruhannya, aktiviti work from home dan school from home secara sepenuh masa bagi penulis dan anak-anak adalah pengalaman yang berharga dan baru ketika PKP ini.  Tidak dinafikan untuk mengurus kerja-kerja pejabat dari rumah dan mengurus pembelajaran 3 orang anak dari rumah secara sepenuh masa dan serantak sangat mencabar.  Penulis mengambil pendekatan bergilir-gilir dengan suami untuk menjaga anak-anak.  Ketika suami bekerja dari rumah, penulis akan menjaga anak-anak dan begitulah sebaliknya ketika penulis bekerja dari rumah, suami akan menjaga anak-anak pula.  Meskipun ada ketika anak-anak kami terlepas juga dan kelihatan di skrin ketika mesyuarat secara maya sedang berlangsung, rata-rata ahli mesyuarat akan faham dengan situasi masing-masing kerana kita semua sekarang adalah work from home dan school from home.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s