BENGKEL “KNOWLEDGE CAFÉ BIBLIOTHERAPY”

Oleh: Rafidah Abdul Aziz, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM; dan Hasnita Ibrahim, Pengurus Maklumat BERNAMA, Naib Presiden 1 PPM dan Pengerusi Jawatankuasa Latihan PPM

Infografik tentang biblioterapi

Selepas dua tahun berlalu penganjuran Bengkel Biblioterapi pada tahun 2017 di Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya, yang dikenali sebagai Bengkel “Knowledge Café Biblioterapi”, siri kedua bengkel telah diadakan pada 12 Mac 2019 yang lalu. Kali ini sesi bengkel dianjurkan oleh Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) bersama Persatuan Biblioterapi Malaysia (PERBIMA) dengan sokongan Perpustakaan Negara Malaysia sebagai hos. Lebih 25 orang peserta telah menghadiri bengkel tersebut.

 

Sama seperti sesi yang lalu, tujuan diadakan program ini adalah memberi kesedaran tentang kepentingan biblioterapi (BT). Fasilitator yang mengendalikan program ini pula adalah personaliti yang sama seperti sesi pada tahun 2017. Namun, berlainan dengan sesi yang lepas adalah sesi kali ini dapat mengumpulkan maklumbalas atau perkongsian pengalaman dalam membangunkan inisiatif BT oleh peserta-peserta yang telah menghadiri sesi bengkel pada tahun 2017. Antaranya, peserta dari International School @ Parkcity, Kuala Lumpur yang telah membentangkan pengalaman beliau tentang usaha perpustakaan memperkenalkan buku-buku berkaitan BT seperti buku bertemakan topik buli sebagai terapi kepada pelajar sekolah. Manakala, wakil dari Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor pula membentangkan pengalaman dalam hal berkaitan cabaran ketika mewujudkan ruang BT dan membeli buku-buku bertemakan BT.

Para peserta memberi tumpuan ketika taklimat diberikan.

Semasa sesi berlangsung, peserta dibahagikan mengikut jenis perpustakaan dan digalakkan berbincang mengenai cabaran yang mereka hadapi untuk melaksana inisiatif BT di perpustakaan masing-masing serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk melaksanakannya. Menariknya, sesi perbincangan tersebut telah dilakukan secara knowledge café yang diadakan pada waktu petang selepas sesi taklimat oleh Puan Rafidah Abdul Aziz pada waktu pagi sebelumnya.  Peserta telah memberi idea, pandangan, komen serta berkongsi pendapat mengenai pelaksanaan BT di perpustakaan masing-masing.  Ramai peserta yang memberi maklumbalas positif bahawa pelaksanaan BT di perpustakaan wajar dilaksana bagi membantu warga perpustakaan dan pengguna untuk menyedari terdapatnya pelbagai kaedah yang boleh diaplikasi untuk membantu mereka yang menghadapi tekanan, stres, kemurungan serta pelbagai gangguan kesihatan mental. Bagaimanapun, masalah peruntukan dan sokongan oleh pihak atasan terhadap program BT adalah cabaran utama bagi para peserta.

 

Diakhir sesi perbincangan merumuskan bahawa peserta berharap agar lebih ramai daripada kalangan warga perpustakaan memperoleh sijil asas BT, dimana ianya bukan bermaksud pustakawan perlu diakui menjadi bibliotherapist, sebaliknya ianya adalah bonus disamping meningkatkan pengetahuan pustakawan sendiri tentang hal-hal mengenalpasti bahan untuk BT, memperkenal  BT sebagai satu kaedah alternatif dalam menangani masalah berkaitan mental serta peranan perpustakaan bertindak sebagai “farmasi” yang menyediakan naskah buku kepada pengguna serta kaunselor yang ingin menggunakan teknik BT kepada pelanggan mereka.

 

Selain itu, rumusan juga menyebut tentang keperluan BT menjadi satu cabang dalam bidang kepustakawanan dengan aktiviti BT dilaksanakan di Perpustakaan dengan lebih baik lagi. Bagi memantapkan program BT, Perpustakaan boleh melaksanakan juga mengikut kemampuan menganjurkan lawatan penandaarasan BT ke luar negara seperti Indonesia dan Korea; atau mengadakan program latihan BT dalam negara sendiri seperti menjemput dari masa ke semasa PPM dan PERBIMA menganjurkan program latihan berkaitan BT sama ada di dalam mahupun di luar kawasan Lembah Klang. Hal ini juga dapat mengenalpasti perpustakaan yang berpotensi tinggi mengembangkan aplikasi BT dalam kalangan perpustakaan awam, akademik, khusus dan pusat sumber sekolah; dengan menjadikan BT sebagai salah satu aktiviti rutin di perpustakaan; dan kemudian, membentangkan usaha yang telah dilakukan berkaitan BT di Persidangan Tahunan Perpustakaan Malaysia (PTPM) 2020 anjuran PPM akan datang.

 

Untuk pengetahuan semua, kebelakangan ini semakin banyak dipaparkan isu remaja, kanak-kanak dan orang dewasa yang mempunyai masalah kemurungan, trauma, kecelaruan jantina, tekanan perasaan dan juga masalah sosial di mana ibubapa, penjaga, pendidik tidak menyedari golongan tersebut sebenarnya mempunyai gangguan kesihatan mental yang serius.  Oleh itu, kaedah terapi menggunakan buku ini mampu memberi harapan kepada masyarakat bahawa jiwa dan minda mereka sedikit sebanyak, selain melalui rawatan psikologi; boleh dirawat dengan cara mengakses buku-buku BT yang berada di dalam perpustakaan.

 

Peranan perpustakaan kini bukan sekadar melahirkan masyarakat bermaklumat malah melahirkan masyarakat yang mempunyai minda yang sihat dan positif.  BT boleh digunakan ke atas diri sendiri mahupun orang lain yang memerlukan untuk mencegah masalah daripada menjadi lebih serius. Aktiviti BT baik untuk kesihatan mental, mengurang tahap stres, merangsang kreativiti serta imaginasi, meneroka idea, merehatkan badan, meningkatkan komunikasi dan pemikiran positif. Kini, perpustakaan juga boleh memainkan peranan sebagai pusat sokongan rawatan dan juga pencegah masalah minda yang tidak sihat. Ianya sekaligus membawa perpustakaan terus relevan dan menambah nilai perkhidmatan seperti mana telah lama dipraktikkan oleh perpustakaan di United Kingdom, Amerika Utara dan Selatan dan Australasia.

 

Selain itu juga, bagi warga Perpustakaan yang baru saja menunjukkan minat untuk melaksana BT, anda perlu menghadiri sesi bengkel yang akan datang supaya dapat menilai dan mengenalpasti bahan yang sesuai bagi koleksi BT serta dapat mewujudkan sudut/ruang BT dan aktiviti bersesuaian dengan lebih tepat. Sudut/ruang BT dan aktiviti yang dirancang pula adalah perlu dipastikan mampu memberi nafas baru kepada kepelbagaian perkhidmatan kepada perpustakaan kerana pengguna sekarang amat dahagakan buku yang mampu merawat jiwa dan memotivasi mereka untuk terus maju kehadapan. BT dan kaunseling berkait rapat dan kini digunakan bukan saja pustakawan malah kaunselor dan rakan pembimbing perkhidmatan awam (AKRAB)  sebagai salah satu alat untuk digunakan semasa bertemu dengan pelanggan.

 

PERBIMA sebagai badan bukan kerajaan telah mula bekerjasama dengan PPM untuk bergerak memperkenalkan BT kepada anggota masyarakat terutama kepada ahli PPM sendiri.  Puan Rafidah Abdul Aziz, pensyarah kanan Fakulti Pengurusan Maklumat UiTM yang juga Presiden PERBIMA, merupakan figura yang berpengetahuan luas mengenai BT dan berkemahiran menjalankan BT sering kali banyak memberi ceramah serta bimbingan mengenai BT dan bagi sesiapa yang ingin merujuk beliau tentang BT boleh hubungi beliau.

Fasilitator, Puan Rafidah sedang memulakan taklimat

Selain itu, penulis dan penerbit buku juga amat dialu-alukan untuk mengenali BT kerana Malaysia sebernanya masih kekurangan buku terbitan sendiri yang mempunyai elemen BT pada masa kini. Akhir sekali, warga perpustakaan, kaunselor, AKRAB, guru pusat sumber sekolah, penulis buku, pembekal buku dan juga sukarelawan, marilah kita bergabung tenaga untuk menjalankan inisiatif ini kerana peningkatan kes yang melibatkan tekanan jiwa dan kemurungan berada di tahap yang amat membimbangkan.  Bagi anggota masyarakat yang tidak berkemampuan untuk membeli buku, dimana lagi kalau bukan perpustakaan-lah yang akan menjadi pusat untuk mereka mendapat bantuan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s