Oleh: Haritah Tanaisus, Pustakawan, PNS & Biro Penerbitan PPM Kumpulan Sabah
16 Julai 2019 merupakan hari yang amat bersejarah bagi pustakawan dan ahli Persatuan Pustakawan Kumpulan Sabah (PPMKS) kerana pada tarikh tersebut Presiden Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) Dato’ Nafisah Ahmad telah sudi meluangkan masa beramah mesra dengan pustakawan dari Sabah. Perjumpaan yang berlangsung di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tg. Aru pada jam 2.30 petang diihadiri seramai lebih kurang 27 orang pustakawan daripada perpustakaan di Sabah iaitu Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) sebagai tuan rumah, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan juga INTAN Sabah.
Turut hadir dalam pertemuan ini ialah Dr. Khasiah Zakaria, Setiausaha PPM dan dua orang ahli majlis PPM iaitu Puan Siti Sumaizan Ramli dan Encik Zawawi Tiyunin. Di awal perjumpaan, Puan Dayang Salwah Pg. Abd. Razak selaku Pengerusi PPMKS, memulakan majlis dengan ucapan alu-aluan serta memberi sedikit penerangan tentang aktiviti dan program yang dirancang dan yang telah dilaksana oleh PPMKS kepada Dato’ Nafisah.
Ucapan balas Dato’ Nafisah menyatakan tujuan perjumpaan pada petang itu adalah untuk menarik lebih ramai pustakawan menjadi ahli PPM terutama sekali dari kalangan pustakawan muda. PPM adalah sebuah persatuan yang menjaga kepentingan pustakawan supaya profesion pustakawan tidak akan hilang. Dato’ Presiden PPM memaklum bahawa Persatuan banyak mengendali kursus bagi kepentingan pustakawan agar kekal relevan sejajar dengan peredaran masa. Kejayaan pustakawan adalah dengan adanya sokongan padu daripada semua pihak. Di era di mana banyak maklumat yang tidak tepat di salur melalui media sosial dan sebagai seorang pustakawan, kita sepatutnya membantu masyarakat untuk mengenalpasti samada maklumat yang diviralkan sahih atau tidak.
Selain daripada itu Dato’ Presiden PPM juga menyuntik semangat pustakawan agar perlu terus bergiat aktif dalam memaju persatuan untuk memartabat profesion ini ke peringkat yang lebih tinggi.

