Program Kesedaran IFLA WLIC 2018 untuk Perpustakaan Khusus

Oleh Nadia Shakiera M Bahiran, Pusat Sumber PETRONAS ; Ahli Jawatankuasa Tetap Perpustakaan Khusus (SLC)

 

Lebih kurang 36 orang pustakawan dan wakil dari perpustakaan khusus dari sekitar Lembah Klang telah menghadiri Program Kesedaran IFLA WLIC 2018 yang diadakan di Serambi Ilmu Rakyat (SIR), Menara Kembar Bank Rakyat pada 12 februari 2018. Antara pustakawan dan wakil perpustakaan khusus yang hadir adalah dari Badan Warisan Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad, Agrobank, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Majlis Amanah Rakyat, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Berita Nasional Berhad (BERNAMA), Astro Broadcast Centre, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), WISERF Technologies Sdn Bhd dan beberapa organisasi lagi.

 

Program yang bermula pada jam 9.30 pagi dan berakhir pada jam 1.00 petang bertujuan untuk berkongsi dan menyebar maklumat mengenai IFLA WLIC 2018 dikalangan perpustakaan khusus serta menggalakkan penyertaan serta penglibatan warga perpustakaan khusus dalam Kongres tersebut. Selain daripada itu, program ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan dan perkongsian mengenai Jawatankuasa Kebangsaan atau National Committee (NC) bagi IFLA WLIC 2018 dan peranan mereka dalam penganjuran IFLA WLIC 2018.

 

Melalui program ini juga, para peserta program didedahkan dengan maklumat berkaitan tarikh penting, penyertaan, sukarelawan, lawatan ke perpustakaan, penyertaan poster di Library Boulevard serta pembentangankertas kerja dan poster di IFLA WLIC 2018. Program ini mempunyai tiga sesi yang dijayakan oleh tiga orang ahli Majlis PPM dan dua daripada mereka adalah ahli Jawatankuasa Kebangsaan IFLA WLIC 2018. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perpustakaan Khusus (SLC), Puan Norhayati Abdul Malek. Beliau berharap lebih ramai lagi pustakawan akan menyertai program SLC dan program lain yang bakal diadakan pada masa hadapan bagi memberi nilai tambah dan penambahbaikan kepada perpustakaan khusus di Malaysia.

Puan Hasnita menerangkan maklumat lanjut tentang penyertaan sebagai pembentang kertas kerja di IFLA WLIC 2018

 

Penceramah sesi pertama, Puan Hasnita Ibrahim, Naib Yang Dipertua 1 PPM, telah terlebih dahulu memperkenalkan Ahli Majlis Tertinggi PPM yang juga Ahli Jawatankuasa Kebangsaan IFLA WLIC 2018 kepada para peserta. Beliau turut memberi penerangan mengenai IFLA WLIC 2018 serta faedah-faedah yang akan diperoleh terutamanya dalam profesion  kepustakawanan. Selain daripada itu, beliau menerangkan tentang jadual penuh IFLA WLIC 2018 yang akan berlangsung selama tujuh hari bermula 24 sehingga 30 haribulan Ogos tahun ini. Sebagai maklumat tambahan, IFLA WLIC 2018 terbahagi kepada tiga sesi utama iaitu persidangan di Kuala Lumpur Convention Center, pameran yang juga diadakan di Kuala Lumpur Convention Center dan lawatan ke perpustakaan yang terpilih sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri terdekat seperti Perak, Melaka dan Negeri Sembilan.

Encik Ghazali menerangkan berkaitan penyertaan di Library Boulevard IFLA WLIC 2018

 

Penceramah kedua, Encik Ghazali Mohammed Fadzil, telah menerangkan tentang penyertaan melalui pembentangan poster dan juga Library Boulevard. Beliau juga berkongsi kelebihan penyertaan seperti ini dapat mempromosi dan menaikkan nama perpustakaan di peringkat antarabangsa.

Puan Shamsiah berkongsi kelebihan menjadi ahli PPM dan penyertaan di IFLA WLIC sebagai sukarelawan

 

Puan Shamsiah binti Abu Bakar pula telah berkongsikan maklumat tentang sukarelawan dan pengalaman penglibatan beliau dalam IFLA WLIC 2017 di Poland. Pada masa yang sama, beliau turut mempromosi keahlian PPM. Menurut beliau, penglibatan dalam PPM akan memberi sumbangan positif terhadap bidang kepustakawanan selain membantu ahli PPM mendapat pengalaman yang berharga melalui program yang dianjurkan.

Penceramah juga telah menjawab beberapa soalan dan menerima komen yang membina hasil daripada perkongsian yang menarik dan berfaedah. Program diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada para pembentang oleh Puan Zatul Hasanah Radzhuan, Ketua Pustakawan SIR. Ini dikuti dengan sesi bergambar bersama peserta dan library tour di sekitar SIR yang dikendali oleh Pn. Zatul Hasanah dengan bantuan beberapa orang kakitangannya.

Peserta Program Kesedaran IFLA WLIC 2018 untuk Perpustakaan Khusus,
di Serambi Ilmu Rakyat (SIR), 12 Februari 2018

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s