Posted in PPM

IFLA WLIC : Beberapa tip persediaan sebelum dan semasa bersidang pengalaman Zawiyah.

IFLA WLIC : Beberapa tip persediaan sebelum dan semasa bersidang pengalaman Zawiyah.

Oleh : Harith Faruqi Sidek,  Kumpulan Editor, Berita PPM

 

Pada 14 Disember 2016 yang lalu, bertempat di Auditorium Perpustakaan Negara Malaysia, Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) telah menganjurkan Forum ‘IFLA Awareness’. Antara tokoh kepustakawanan negara yang dijemput berkongsi ilmu serta pengalaman ialah Dato’ Zawiyah Baba, mantan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia. Beliau memilih untuk berkongsi beberapa tip yang boleh diamalkan oleh para peserta, khususnya delegasi yang akan mewakili Malaysia ke persidangan IFLA WLIC akan datang. Tip yang beliau kongsikan meliputi persediaan sebelum dan semasa bersidang.

 

Dato’ Zawiyah memulakan perkongsian beliau dengan penekanan tentang niat yang betul bagi menyertai sesuatu persidangan. Niat itu harus tidak lain dari kerana mahu menimba ilmu, bertukar dan berkongsi maklumat selain iltizam ingin menaikkan imej kepustakawanan Malaysia di pentas dunia. Seterusnya bakal peserta perlu melakukan perancangan awal seperti mendapatkan maklumat berkaitan tempat, tarikh, dan yang tidak kurang penting juga ialah kos atau yuran penyertaaan. Jika persidangan berkenaan diadakan di luar negara, permohonan untuk kelulusan ke luar negara perlu dilakukan seawal mungkin agar tidak berlaku kekalutan disaat akhir, begitu juga dengan soal belanjawan yang perlu dimasukkan seawal mungkin dalam peruntukan tahunan organisasi.

 

Bakal perserta yang terdiri dari para pustakawan yang menjadi anggota PPM juga disaran agar sentiasa peka dengan kemudahan serta tanggungjawab mereka, antaranya elak sifat culas untuk meletakkan nombor keahlian PPM dalam borang penyertaan. Selain daripada itu, ahli PPM juga digalakkan untuk membentangkan kertas kerja penuh atau poster di persidangan berkenaan, malah percapaian terbaik peserta negara ialah apabila Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang memenangi anugerah poster pada tahun 2007 diikuti oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Johor pada tahun 2015.

 

Bakal peserta juga dinasihatkan agar turut serta dalam Mesyuarat Satelit atau bengkel yang pada kebiasaannya diadakan kira-kira seminggu sebelum persidangan IFLA WLIC. Penyertaan dalam bengkel ini akan menyediakan para peserta dengan ilmu dan maklumat semasa selain peluang berkenalan dengan bakal peserta dari luar negara. Jika terlibat sebagai penyelaras atau anggota jawatankuasa penganjur, para peserta disarankan sentiasa mengemaskini maklumat yang perlu mereka uruskan, umpamanya aspek pendaftaran, lokasi persidangan, lokasi penginapan, kemudahan asas tempat persidangan serta keperluan khusus yang berguna untuk para peserta luar negara, seperti waktu serta tempat solat.

 

Bagi yang pertama kali menyertai IFLA WLIC, mereka digalakkan menyertai sesi khusus yang diadakan bagi para peserta kategori ini. Sesi ini dirasakan dapat membantu mereka merasai pengalaman awal bergaul dengan para peserta yang datang dari pelbagai negara dengan kepelbagaian budaya dan latarbelakang. Menjelang hari persidangan, para peserta dinasihatkan menyemak senarai pembentangan kertas kerja mengikut masa dan hari. Perkara ini perlu bagi memastikan mereka berada di tempat dan waktu yang tepat bagi mendengar pembentangan kertas kerja yang menjadi pilihan mereka. Para peserta juga diharap membawa bersama kad nama atau setidak-tidaknya cenderamata yang mewakili organisasi atau negara mereka. Ini akan membantu memeriahkan lagi sesi perkenalan dengan peserta lain, khususnya peserta luar negara.

 

Peluang untuk menghadiri IFLA WLIC ini tidak datang setiap tahun, justeru para peserta perlu memanfaatkan setiap sesi yang mereka hadiri dengan memberi perhatian sepenuhnya pada pembentangan yang dijalankan, juga menyertai sesi soal jawab dengan bertanyakan soalan atau berkongsi pandangan dan maklumat berkaitan isu yang diperbincangkan. Lazimnya penganjur akan menawarkan slot lawatan ke perpustakaan. Peluang ini harus diambil oleh setiap peserta, kerana lawatan ini akan memberi pengalaman kepada mereka tentang bidang kepustakawanan di luar negara yang kelak boleh diadaptasi demi penambahbaikan di organisasi mereka. Walau bagaimanapun, mereka dinasihatkan agar peka dengan budaya serta peraturan negara luar agar tidak mendatangkan kesulitan.

 

Akhir sekali bakal peserta dinasihatkan agar melakukan tinjauan awal tentang aspek logistik jika bersidang di luar negara, seperti lokasi tempat makan, jarak perjalanan ke tempat persidangan, dan sebagainya. Diharapkan tip yang dikongsikan oleh Dato’ Zawiyah Baba ini dapat memberi pencerahan serta panduan kepada bakal peserta yang akan menyertai IFLA WLIC ke-28 pada 18 hingga 25 Ogos 2017 di Wroclaw, Poland.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s