Posted in News from Malaysian Libraries, Recognitions

Karnival Sarawakiana : Warisan Budaya Tempatan

Oleh: Hayati Sabil, Pemangku Ketua Sektor Perkhidmatan Depositori, Pustaka Negeri Sarawak

 

Karnival Sarawakiana adalah program yang dianjurkan oleh Pustaka Negeri Sarawak dalam bentuk Karnival bagi menonjolkan warisan budaya tempatan Sarawak. Karnival ni dianjurkan untuk menarik minat semua lapisan masyarakat Sarawak untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

 

Karnival ini mula dianjurkan sejak tahun 2010 sempena dengan ulang tahun ke-10 Pustaka Negeri Sarawak dengan tema “1Warisan, 1Tradisi, 1Sarawak”. Ia seterusnya dianjurkan di Miri pada tahun 2011 dan 2015 dengan tema “Tradisi Kita, Khazanah Kita”. Pada tahun 2016, karnival ini dianjurkan sebagai acara tahunan di Miri dan Kuching bagi memberi impak yang lebih besar di Sarawak dengan mengekalkan tema “Tradisi Kita, Khazanah Kita”. Karnival Sarawakiana ini telah dilancarkan dan dimulakan di Pustaka Negeri Sarawak Miri pada 20 – 22 Mei 2016 bersempena dengan Miri May City Fest dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Pertandingan Bermukun, Pertandingan Nyanyian Lagu Tradisional, Pertandingan Masakan Tradisional, Demonstrasi Masakan Tradisional, Demonstrasi Tarian Tradisional dan sebagainya.

 

Acara kemuncak Karnival Sarawakiana ini diadakan di Pustaka Negeri Sarawak, Kuching pada 29 – 31 Oktober 2016. Majlis Penangguhan Karnival ini diadakan pada 31 Oktober 2016 dan disempurnakan oleh YB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin TunAbang Haji Openg, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan & Menteri Perumahan dan Urbanisasi.

 

Pelbagai program dan aktiviti menarik yang diadakan menjurus kepada warisan budaya tempatan negeri Sarawak seperti Pertandingan Hadrah, Permainan Mensia Marek, Ceramah/Pameran/Demonstrasi dan Jualan Keringkam, Gajah Olen, dan Songket Melayu Sarawak. Demonstrasi dan Jualan Kraftangan Sarawak, Demonstrasi Masakan Tradisional Sarawak, Pameran Seni Visual Para Artis Veteran dari era 20-an hingga 40-an juga dijalankan. Sesi Perkongsian Ilmu Seni bersama para artis terkenal Sarawak iaitu Raphael Scott Ahbeng dan Sylvester Jussem, Pameran dan Aktiviti Melakar bersama Urban Sketchers Kuching, Bengkel/Pameran dan Jualan Sape, Ceramah Baruk, Chinese Musical Performance dengan persembahan Bian Lian dan pertunjukan Opera Teo Chew turut dianjurkan. Anggaran peserta dan pengunjung Karnival Sarawakiana di Kuching pada tahun ini adalah seramai lebih kurang 3,000 orang dan jumlah ini dijangka akan meningkat pada tahun-tahun yang akan datang.

 

Objektif

Tujuan dan objektif mengadakan Kanival Sarawakiana adalah untuk menyokong pembudayaan ilmu dan wacana intelektual dalam bidang sejarah, kebudayaan, kesenian serta ilmu warisan tempatan Sarawak agar dapat:

  1. Mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan warisan budaya tempatan, sejarah dan kesenian masyarakat pelbagai etnik di negeri Sarawak serta menanam minat cintakan warisan budaya tempatan yang unik dan kaya dengan nilai-nilai teras kaum pribumi Sarawak serta memelihara identiti setempat sebagai rakyat Sarawak.
  2. Mempromosikan peranan Pustaka dan rakan-rakan bestari (smart partners) sebagai forum intelektual dan pusat pembelajaran sepanjang hayat.
  3. Memelihara dan membangunkan koleksi warisan budaya tempatan Sarawak melalui pembelian, hadiah (bequeath/donation) dan membina kandungan tempatan (local content) serta menyediakan akses kepada bahan-bahan tersebut kepada pengguna dan masyarakat global.
  4. Menyokong dan mencetuskan penyelidikan lanjut mengenai sejarah, kebudayaan, kesenian dan pengetahuan budaya tempatan.

 

Kepentingan Karnival Sarawakiana untuk rakyat Sarawak

Karnival Sarawakiana ini amat penting untuk rakyat Sarawak terutamanya generasi muda mengetahui dengan lebih lanjut mengenai warisan budaya tempatan Sarawak. Rakyat Sarawak harus menjadikan sumber-sumber maklumat yang tersedia dan program-program yang diadakan sebagai satu nilai tambah dalam pembelajaran sepanjang hayat untuk semua masyarakat menerokai ilmu seluas yang mungkin.

 

 

 

Peranan Pustaka Negeri Sarawak

Karnival Sarawakiana ini adalah salah satu dari usaha Pustaka untuk memartabatkan ilmu pengetahuan warisan budaya tempatan Sarawak yang unik dan memudahkan akses, termasuk menetapkan piawaian, meningkatkan kesedaran dan memantau kemajuan dalam membangun, memelihara dan menjadikan Pustaka dan seterusnya negeri Sarawak sebagai sebuah pusat kecemerlangan unggul berkaitan ilmu dan maklumat sejagat mengenai Sarawak atau “Sarawakiana”. Dengan adanya kesedaran mengenai kepentingan warisan budaya tempatan, Pustaka berharap mendapat kerjasama dan sokongan padu dari pelbagai pihak dan golongan masyarakat. sebagai sebuah perpustakaan negeri, Pustaka Negeri Sarawak tidak dapat bergerak atau bekerja secara sendirian tetapi memerlukan komitmen pelbagai pihak untuk melahirkan gedung ilmu yang berlandaskan warisan budaya tempatan yang unik serta masyarakat yang berbudaya membaca dan berpengetahuan.

 

Pustaka Negeri Sarawak juga berperanan untuk mendokumentasikan semua program dan aktiviti yang dianjurkan untuk dipelihara sebagai khazanah warisan negeri Sarawak agar ilmu tersebut terus berkekalan dan dapat digunakan oleh generasi akan datang.

Selain dari itu Pustaka juga ingin menyampaikan mesej kepada orang ramai serta menampilkan peranannya sebagai badan yang menerima sumbangan koleksi individu misalnya buku-buku, gambar, bahan nadir, manuskrip dan sebagainya bagi tujuan pemeliharaan dan penyelidikan bahan mengenai Sarawak.

Harapan Pustaka

Penganjuran Karnival Sarawakiana sebagai acara tahunan, bertindak sebagai landasan untuk Pustaka membentuk sinergi yang padu bersama-sama dengan rakan kongsi bestari di Sarawak, atau peringkat nasional mahupun global. Dengan sejarah yang unik, budaya dan komposisi etnik di Sarawak, Pustaka Negeri Sarawak bertindak sebagai pemangkin untuk mempamerkan, memelihara dan medokumentasikan sejarah, kebudayaan, kesenian dan pengetahuan tradisional/pribumi [Indigenous Knowledge (IK) dan Traditional Knowledge (TK)] di samping memelihara identiti Sarawak yang unik. Adalah diharapkan rakyat Sarawak akan bersama-sama memeriahkan karnival ini sebagai usaha menghargai budaya dan tradisi sendiri serta menjaga nilai-nilai murni dan kesepaduan rakyat untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran.

 

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s